Siapa
penerima laba terbesar agenda Akta 355
ULASAN l Himpunan
RUU355 PAS pada 18 Februari 2017 ini bakal menjadi himpunan solidariti untuk
terus mengukuhkan lagi survival 'Malaysian Official 1' (MO1).
Himpunan yang pada awalnya
riuh sekampung dicanang sebagai agenda perlaksanaan hudud akhirnya hanyalah
sandiwara PAS. Apa yang gegak gempita itu hakikatnya bukanlah perihal hudud
yang dianggap 'nyawa PAS'.
Sebagai perbandingan,
berbeza dengan kemuncak permuafakatan politik PAS dalam Pakatan Rakyat era
Almarhum Tuan Guru Nik Aziz (TGNA), pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS
tergambar dalam slogannya 'PAS For All' atau 'PAS Untuk Semua'.
Ia berjaya dilihat sebagai
agenda ke arah menyatu-padukan rakyat Malaysia yang pelbagai ke arah satu hala
perjuangan menentang pemimpin yang fasad yang menjarah harta negara sehingga
memangsakan rakyat.
Untuk rekod, pada waktu
itu juga tidak timbul isu berhubung komitmen Pakatan Rakyat dalam
mempertahankan apa yang telah sedia termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Menerusi Buku Jingga,
penegasan dibuat pada perihal mempertahankan Raja berperlembagaan, Islam
sebagai agama persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu serta kedudukan bahasa
Melayu.
Hudud dan PAS bukanlah
sesuatu yang baru. Menyedari pelbagai kekangan yang ada dan memahami konteks
perjuangan dalam kerangka 'rule of law', PAS era TGNA telah menggembeling
amarah rakyat kearah punca sebenar permasalahan negara iaitu melawan pemimpin
yang korup dan salahguna kuasa.
Ia adalah cerminan
kebijaksanaan Almarhum menghalakan kompas perjuangan parti Islam itu.
Kedangkalan
PAS
Namun PAS era Hadi Awang
ternyata gagal. Mereka yang bersorak sorai pusingan kali ini adalah Umno.
Himpunan RUU355 adalah
gambaran kedangkalan PAS daripada melihat isu sebenar melanda negara yang
terpalit dengan pelbagai skandal.
Malaysia terjerumus ke
arah kleptokrasi global dan rakyat terus 'tidak cukup makan' dengan peningkatan
kos sara hidup akibat polisi negara yang tempang.
Kesannya, kompas
pergelutan sebenar rakyat telah dikaburkan oleh sebuah parti Islam bernama PAS.
'Aulawiyat' atau keutamaan
PAS yang tergambar ketika ini bukanlah agenda menyelamatkan Malaysia dari
menjadi sebuah negara kleptokrasi global. PAS bukan lagi berjuang untuk melawan
kejahatan MO1 dan sekutunya.
Sehingga kini kita terus
tertanya-tanya, siapakah penerima laba terbesar dalam agenda RUU355 ini?
Sebagai parti yang
memimpin Kerajaan, Umno/BN yang sepatutnya membentangkan usul RUU di Parlimen
bagi meminda akta 355 mahkamah syariah sendiri pun, masih belum bertindak
apa-apa mengikut kerangka legislatif.
Lantas
di manakah letaknya rasional PAS?
Sebab itu, Umno sebenarnya
yang mendapat laba paling besar dalam hal ini. Lebih tepat lagi adalah MO1 yang
pastinya sedang bekerja keras mencari jalan mengalih perhatian rakyat dari
melihat isu sebenar.
'Ya
hanana'
Himpunan RUU355 18
Februari ini adalah sebahagian daripada noktah penting buat MO1. Ia ibarat
'rezeki terpijak' yang boleh menenggelamkan isu sebenar Malaysia.
Apa tidaknya. Berbanding
membawa haba'ib-haba'ib dari luar untuk disumbat ke program-program 'Ya
hanana', Himpunan RUU355 PAS adalah momen penting yang pastinya tidak boleh
dilepaskan.
Pada satu aspek lain,
begini komentar saya berhubung isu RUU355 yang kononnya 'road to hudud' PAS.
'Hudud' dari segi bahasa
berasal dari perkataan 'had' yang membawa erti 'limitasi'.
Dari sudut bahasa juga,
semangat hudud yang dibawa oleh Islam umumnya kearah mencegah kejahatan dari
membawa kerosakan kepada umum.
Dalam kerangka
perlembagaan Malaysia yang memiliki latar belakangnya tersendiri, saya amat
yakin RUU355 PAS ini tidak akan membawa kepada penyelesaian sebenar di bawah
suluhan Islam dalam konteks kenegaraan.
Dalam keadaan kos sara
hidup yang menekan rakyat akibat urustadbir negara yang culas, RUU355 PAS tidak
akan membawa kepada akar penyelesaian isu melanda Malaysia.
Oleh
itu, apakah keberahian PAS sebenarnya?
Akar permasalahan di
Malaysia berpunca dari Umno yang telah mentadbir negara selama lebih 60 tahun.
Rakus
yang membengkak
Dengan segala sifat tamak
dan rakus yang membengkak, Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi di bawah
pimpinan MO1.
Soalan saya, apakah RUU355
PAS ini mampu menghambat MO1 ke muka pengadilan demi menyelamatkan rakyat dan
negara?
Keutamaan kita pada ketika
ini adalah menghentikan kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin yang sedang
meratah dan menggadai kekayaan negara tanpa 'had'nya. Inilah tuntutan 'hudud'
yang mesti diperjuangkan pada masa ini dalam konteks Malaysia.
Perjuangan 'hudud' demi
menyelamatkan Malaysia daripada terus dirompak MO1 yang menjerumuskan negara ke
arah kleptokrasi global.
Saya yakin PAS hari ini
tidak lagi berani melaungkan slogan 'selamatkan Malaysia dari kerakusan MO1'
yang selaras dengan semangat 'berkata benar di hadapan pemimpin zalim'.
Justeru, jika berbalik
kepada soal Himpunan RUU355 yang akan dijalankan pada 18 Februari 2017 nanti,
saya sifatkan ia tidak lebih dari sekadar bakal menjadi himpunan solidariti
mengukuhkan lagi survival MO1.
Samada PAS sedar ataupun
tidak, itulah hakikatnya.
SHEIKH
OMAR ALI adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor.