Mega/Agama
Susahnya bersuamikan
gay
BAGI Maisara (bukan nama sebenar)
sudah tiga tahun dia cuba menahan diri dan bersabar untuk menyelamatkan
perkahwinannya daripada runtuh kerana cinta yang terlalu mendalam terhadap
Hafiz (juga bukan nama sebenar).
Sepanjang tiga tahun itu jugalah
dia melalui pelbagai cabaran dalam perkahwinan. Selain sentiasa ditinggalkan
suami, dia juga terpaksa menjadi insan yang pandai berbohong kepada ibu dan
ayahnya dengan memberi pelbagai alasan demi menyelamatkan air muka dan maruah
Hafiz, yang kini bekas suaminya.
Apa yang paling mengejutkan,
sepanjang perkahwinan tersebut dia tidak pernah 'disentuh' oleh Hafiz
menyebabkan dia kekal dengan statusnya sebagai anak dara sejak berkahwin
sehinggalah dia diceraikan baru-baru ini.
Perkenalannya dengan Hafiz, yang
ketika itu bergelar duda, hanya berlangsung selama enam bulan sebelum lelaki
itu bertindak menghantar pinangan.
Ternyata Maisara yang sedang
kemaruk cinta dan asyik mahsyuk dengan Hafiz yang bertubuh sasa dan agak
tampan, cepat sahaja melontar persetujuan biarpun mengetahui perkenalan mereka
cukup singkat.
"Hafiz cinta pertama saya.
Walaupun dia pernah berkahwin dan bercerai kerana dakwanya sudah tiada
persefahaman, semuanya tidak menjadi hal bagi saya.
"Rombongan peminangan pun
dihantar di kampung saya di Johor. Peliknya dari sebelah pihak lelaki dia hanya
mewakilkan dua orang sahabat tanpa ada saudara-mara yang rapat.
"Dia menyatakan ibu dan
bapanya tidak boleh hadir kerana mereka tidak sihat. Alasan itu tetap saya
terima seadanya kerana ingin bersama dengan dia sehidup dan semati," ujar
Maisara lembut.
Tiba hari perkahwinan, sekali
lagi hanya Hafiz dan dua tiga orang rakan rapatnya menghantar pengantin.
Apabila ditanya baharu dia
mengaku perkahwinan itu tidak mendapat restu daripada orang tuanya.
Namun dia meyakinkan Maisara,
semua itu hanya sementara kerana selepas ini mereka akan cuba berbaik dengan
orang tuanya.
"Pernikahan dan persandingan
pun diteruskan dan saya telah sah menjadi isterinya. Pada malam pertama kami,
Hafiz tidak tidur bersama saya tetapi memberi alasan terpaksa balik ke Kuala
Lumpur petang itu juga kerana ada hal penting berlaku di pejabat.
"Memandangkan enggan
berprasangka buruk terhadap suami sendiri saya bersetuju apatah lagi masa kami
sebagai suami isteri masih panjang, biarpun ibu, ayah dan adik-beradik
mempersoalkan tindakan Hafiz.
"Sehari selepas majlis
pernikahan dia mengarahkan saya balik ke Kuala Lumpur dengan segera dan dia
hanya menunggu di stesen bas di Puduraya," jelasnya.
Bulan pertama perkahwinan, rumah
tangganya berjalan seperti biasa. Hafiz melayannya dengan baik dan segala
keperluan rumah semua disediakan.
Cuma seperkara yang menjadi
kemusykilan Maisara iaitu Hafiz masih enggan mendekatinya secara intim.
Ada sahaja alasan yang diberi.
Paling tidak pun dia akan balik kerja lewat malam selepas Maisara tidur.
Pada hujung minggu pula dia
sering ditinggalkan kerana Hafiz sering memberi alasan perlu balik ke kampung
untuk mengambil hati ibunya yang masih menentang perkahwinan mereka.
"Apabila saya memohon izin
untuk ikut balik kampung bertemu dengan keluarganya dia melarang dengan alasan
ibunya tidak boleh menerima saya sebagai menantunya.
""Selepas bercerai baru
saya tahu bukan itu sebabnya. Memang dia balik kampung tetapi bukan bertemu
ibubapanya tetapi melepak bersama rakan-rakan lelakinya," jelas Maisara
panjang lebar.
Bulan membawa ke tahun, kehidupan
Maisara begitu juga tanpa ada tanda-tanda perubahan. Begitu pun dia cuba
mengawal kesabaran dan kerap kalijuga berbohong kepada keluarganya di Johor
apabila Hafiz seringkali tidak balik ke kampung mertuanya.
Puas Maisara berfikir apa
sebenarnya yang menjadi masalah bekas suaminya dan apa punca kepada keadaan
rumah tangganya yang tidak menentu.
Hendak mengadu kepada rakan atau
ibu bapa, Maisara terasa malu kerana rumah tangganya tidak sampai setahun sudah
mempunyai masalah sedangkan majlis persandingan tempoh hari dibuat secara
besar-besaran.
"Saya pernah cuba bertanya
pada suami kemungkinan dia ada masalah kesihatan dan menyarankan berjumpa doktor.
Tapi akhirnya saya pula dimarahi dan dituduh cuba mereka-reka cerita.
"Selepas daripada itu,
hubungan kami makin dingin. Dia semakin jarang menegur saya dan tabiatnya balik
lambat semakin menjadi-jadi hingga kadang kala langsung tidak pulang ke rumah.
"Apabila ditanya, seperti
biasa dia akan memberi alasan, lepak di rumah kawan-kawan bujangnya."
Buntu dengan keadaan tersebut,
Maisara akhirnya nekad untuk mencari jawapan sendiri.
Dia berusaha menjejaki bekas
isteri Hafiz, Ila (bukan nama sebenar) dan berjaya memperoleh nombor telefon
wanita tersebut.
" Akhirnya kami bersetuju
berjumpa di satu tempat yang telah dirancangkan. Saya cerita segala masalah
yang saya lalui dan apa yang mengejutkan saya, dia juga melalui pengalaman yang
sama," jelasnya.
Menurut Ila, , mereka hanya
sempat menjalani kehidupan berumahtangga selama setahun dan setelah dirisik
pada rakan-rakan Hafiz barulah diketahui lelaki itu merupakan seorang gay.
"Berita yang disampaikan Ila
amat mengejutkan saya. Saya pulang ke rumah dan berdepan dengan Hafiz tentang
perkara yang sebenarnya. Pada mulanya dia cuba menafikan, namun akhirnya dia
mengaku.
"Dia mengamuk dan mula
memarahi saya dengan melemparkan kata-kata nista dan penghinaan. Dia cuba halau
saya dari rumah tetapi saya tidak berganjak sehingga akhirnya dia sendiri yang
keluar," kata Maisara.
Biarpun sudah mengetahui
kecenderungan Hafiz, Maisara tetap setia menunggu dan berdoa agar sikap
suaminya itu berubah serta kembali ke pangkal jalan dengan meninggalkan
rakan-rakan lelakinya.
Kesabaran Maisara akhirnya
menemui titik noktah. Biarpun rasa cintanya masih menebal, akhirnya dia nekad
memohon fasakh daripada mahkamah.
"Sebelum Ramadan tahun ini
saya dengan rasminya telah dijatuhi talak hidup bersendirian tanpa lelaki
bergelar suami di sisi," kata Maisara.
Persoalannya sekarang kata
Maisara, mengapa Hafiz terdesak menikahi dirinya sedangkan dia tahu nafsunya
terarah kepada lelaki.
"Untuk apa pernikahan demi
pernikahan kalau sekadar untuk melukakan hati dan perasaan seorang wanita yang
juga isterinya yang sah," kata Maisara bungkam.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130911/ke_01/Susahnya-bersuamikan-gay#ixzz2ednCow2r
Utusan Malaysia Online 11
September 2013
<<<<<<<<<<<< ® v ® >>>>>>>>>>>>
** catatan w@gim@n**
Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel
ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal
penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana artikel ini di salin. Sebarang penerbitan
semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada
penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan
mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.
2013 ® ©HAK CIPTA
SELEBET INTERNATIONAL ™
* Jadilah seorang bloger
yg sentiasa menghargai
hasil kerja
blogers @ penulis @ penerbit lain dengan tanpa segan silu
memberi
kredit line kepada mereka .
Paparkan kreativiti
mereka
dengan menampilkan dari mana asal
usul
bahan asal yg anda salin dan tempek itu.