Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

02 October 2014

Soal Jawab Haji: Ustaz Hj.Mohd Hasnil: Solat Dalam Manasik

Debaran Mabrur
Solat Dalam Manasik
Oleh
Ustaz Hj Mohd Hasnil Abu Bakar


Menjadi tetamu Allah Azza wa Jalla berziarah ke Madinah al-Munawwarah dan mengerjakan ibadah umrah dan haji, bermakna seseorang jemaah kembara taubat itu semakin menghampiri kiblatnya yang sangat mulia.

Maka sayugia ia menginsafi bahawa dirinya telah diberi peluang untuk semakin khusyuk di hadapan bukti keagungan-Nya iaitu al-Kaabah al-Musyarrafah. Berusahalah menambahkan kekusyukan dalam solat, munajat, taubat dan istighfar. Begitu juga dalam segala bentuk ibadah yang lain.

Solat yang menjadi tiang agama tetapi menjadi 'rumit' semasa manasik haji dan umrah, mengapa ustaz?

Sesuai dengan besarnya ganjaran solat dan besarnya dosa akibat mengabaikan solat, maka ujian yang besar juga disediakan bagi tetamu Allah yang terpilih sebagai dhuyufurrahman. Oleh itu, fokus kepada penghayatan makna ibadah ialah keutamaannya pada berjemaah. Selain itu, jadikan perjalanan itu juga sebagai ibadah dan tidak hanya rukun/wajib umrah dan haji semata-mata.

Perlaksanaan solat menjadi sukar apabila jemaah tidak bersedia dengan solat semasa musafir dan solat dalam penerbangan atau kenderaan. Mulakan solat sunat Taubat serta solat sunat Musafir sebagai tanda kita redha dengan kembara taubat yang akan kita lalui dalam usaha mengapai maghfirah-Nya.

Bagaimanakah solat dalam musafir ke Tanah Suci?

Apabila seorang jemaah keluar daripada permukiman sama ada dalam waktu harus jamak atau tidak, maka dia dan rombongannya sudah diberi rukhsah (keringanan) untuk jamak dan qasar.

Contohnya, Pak Kasim dan Mak Munah keluar bermusafir haji jam 12 tengah hari ke Kompleks Haji Kelana Jaya dari kediamannya di Gombak Setia. Ketika sibuk mendaftarkan diri, masuk waktu solat Zuhur. Harus jamak dan qasar bagi Pak Kasim dan isterinya kerana telah cukup syarat musafir yang membolehkannya mendapat rukhsah tersebut.

Namun bagi jiran-jiran Pak Kasim yang turut menghantar Pak Kasim, mereka tidak boleh jamak qasar kerana tidak cukup syarat musafir yang mengharuskan jamak dan qasar.

Bolehkah jemaah yang bermukim di Makkah pada hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) ingin melakukan jamak taqdim solat Zuhur di Masjidil Haram sebelum bertolak meninggalkan Makkah? Tujuannya adalah untuk mengelakkan kesukaran bersolat di Padang Arafah dan Mina.

Tidak diharuskan kerana perjalanan atau musafir tersebut tidak menepati syarat yang mengharuskan jamak. Jemaah haji akan melaksanakan jamak taqdim tamam bermula pada 9 Zulhijjah bagi solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah, manakala solat Zuhur dan Asar pada tengah hari 9 Zulhijjah pada hari Arafah ketika berwukuf.

Rasulullah     beserta para Sahabat menunaikan solat secara jamak dan qasar ketika wuquf di Arafah dan mabit di Muzdalifah semasa Hajjatul Wadak. Semasa di Mina pula Baginda mengerjakan solat secara qasar pada setiap waktunya.

Imam Syafi'i r.a. berpendapat, pelaksanaan tersebut adalah kerana Rasulullah dan rombongan ketika itu dalam keadaan musafir, berbeza dengan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal yang menyatakan kerana nusuk.

Berdasarkan pendapat tersebut, apakah yang perlu dilakukan oleh Jemaah haji Malaysia?

Jemaah haji Malaysia tidak harus menunaikan solat secara qasar ketika berada di Masy'air kerana ia merupakan rukhsah yang khusus bagi musafir, sedangkan jemaah haji Malaysia pada umumnya dikira sebagai orang yang bermukim. Adapun pelaksanaan solat secara jamak tamam pula, ulama Syafi'iyyah telah mengharuskannya, sama ada semasa bermusafir atau ketika bermukim sekiranya terdapat darurat atau keperluan mendesak. Justeru, atas alasan al-masyaqqah yakni kesulitan yang sering ditempuh oleh jemaah haji ketika berada di Masya'ir, Tabung Haji menerusi resolusi yang telah dicapai dalam Muzakarah Haji Kebangsaan Kali ke-22 pada 2006 telah bersetuju menerima pakai pandangan harus jamak tamam sama ada secara jamak taqdim atau jamak takhir dalam pelaksanaan solat fardu semasa jemaah haji berada di Masya'ir, atas sebab al-masyaqqah yang dilihat mencapai tahap keperluan mendesak.

Dalam kursus asas haji, ada diterangkan bahawa solat menghormati waktu merupakan pilihan terakhir dalam perlaksanaan solat. Bilakah biasanya ia berlaku kepada jemaah manasik?

Ya , benar apabila seorang jemaah menghadapi masalah:

# Mendapatkan air untuk berwuduk atau ketiadaan debu tanah untuk bertayamum. Ataupun ada air atau debu tanah tetapi tidak dapat menggunakan keperluan bersuci tersebut disebabkan faktor keselamatan, contohnya seperti ketika berada dalam penerbangan.

# Apabila terdapat najis pada badan, pakaian atau tempat solat sedangkan tiada air mutlak untuk menyucikannya.

# Juga berlaku kepada pesakit yang terlantar di hospital masih sedar dan berakal, tetapi tiada sesiapa yang dapat menyucikannya daripada hadas dan najis.

Apabila berdepan dengan situasi begini sedangkan waktu solat fardu sudah masuk dan tiada harapan pula untuk bersuci hingga luput waktu solat, maka dia hendaklah menunaikan solat mengikut kesesuaiannya seperti berdiri, duduk atau berbaring tanpa wuduk atau tayamum kerana menghormati waktu.

Bukankah jemaah ada pilihan untuk jamakkan solat fardhunya ustaz?

Ya, solat hormat waktu hanya khusus untuk solat fardu dalam waktunya. Diharuskan ketika jamak takhir serta boleh dilaksanakan secara tamam atau qasar.

Perlukah diulangi semula solat tersebut?
Apabila jemaah tersebut selamat sampai ke tanah air iaitu di tempat dia boleh bersuci (mencukupkan syarat sah solat), dia hendaklah segera mengulangi solat tersebut jika masih dalam waktu solat ('iadah), atau menggantikannya (qadha) jika telah luput waktunya.

Jelasnya, dengan mendirikan solat hormat waktu maka terlepaslah individu tersebut daripada rasa bersalah dan kerugian meninggalkan solat fardu.

[Lihat kitab Sabil al-Muhtadin jld.1/133 karangan Syeikh Muhammad Arsyad Al Banjari]





Q&A Isu #26  m/s 60-61