Qadha & Fidyah: Bilakah
Perlu Kedua duanya?
Oleh
Ustazah
Maznah Daud
Soalan:
Kakak saya
sedang sarat hamil. Pada suatu hari bulan Ramadan, dia kelihatan sangat letih.
Emak saya menyuruhnya berbuka puasa lalu dia pun berbuka. Adakah kakak saya
berdosa? Adakah dia perlu membayar fidyah untuk puasanya itu?
Jawapan:
Wanita
hamil diberi kelonggaran atau rukhsah untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan.
Begitu juga wanita yang menyusukan anak, sama ada anak kandunq atau anak
susuan. Mereka boleh berbuka atau tidak berpuasa kerana dua sebab: pertama,
dirinya tidak mampu untuk meneruskan puasa sebagaimana dinyatakan di dalam
soalan di atas, atau yang kedua, kerana bimbang menjejaskan perkembangan anak
di dalam kandungan atau kekurangan air susu untuk anak yang sedang menyusu,
walaupun dirinya sendiri tidak menghadapi apa-apa masalah keletihan, kelaparan
dan sebagainya.
Wanita
hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa kerana tidak mampu, tidak wajib
membayar fidyah. Dia wajib qadha (ganti) sahaja. Manakala wanita hamil atau
menyusu yang meninggalkan puasa kerana bimbang menjejaskan
keselamatan/kesihatan anak, wajib qadha dan membayar fidyah. Dalam hal ini,
kakak anda berbuka kerana sangat letih. Dia tidak berdosa dan tidak wajib
membayar fidyah.
Soalan:
Dijangkakan,
kakak saya itu akan melahirkan anak pada bulan Ramadan. Jika dia melahirkan
anak pada siang hari Ramadan, perlukah dia meneruskan puasanya?
Jawapan:
Selepas
melahirkan anak, akan keluar darah nifas. Dalam keadaan nifas, wanita tidak
wajib malah haram berpuasa sama seperti dalam keadaan haid. Maka dia tidak
boleh meneruskan puasanya. Kalau diteruskan pun puasanya tidak sah. Sebaliknya
dia perlu segera mengambil makanan berkhasiat untuk memulihkan tenaganya di
samping persediaan untuk mengeluarkan susu sebagai makanan fitrah untuk
bayinya.
Soalan:
Bilakah masa
yang sepatutnya membayar fidyah puasa? Adakah perlu menunggu sehingga bulan
Ramadan atau boleh dibayar pada bila-bila masa sahaja?
Jawapan:
Fidyah
boleh dibayar pada bila-bila masa selepas berlalu hari ditinggalkan puasa.
Tidak sah membayar fidyah sebelum tiba Ramadan kerana kita masih belum wajib
berpuasa lagi ketika itu. Apabila masuk bulan Ramadan, dan kita tidak berpuasa
kerana bimbangkan keselamatan anak di dalam kandungan yang mungkin
perkembangannya akan terjejas, bolehlah membayar fidyah untuk setiap hari kita
berbuka. Boleh juga pembayarannya ditangguhkan sehingga ke akhir Ramadan supaya
dapat dibayar sekali gus menurut jumlah hari yang ditinggalkan puasa.
Soalan:
Saya telah meninggalkan
puasa beberapa hari atas sebab tertentu. Saya perlu menggantikan puasa tersebut
berserta fidyah. Malangnya saya hanya dapat mengqadhakan puasa, sementara
fidyah saya masih terhutang hinggalah Ramadan tahun yang berikutnya. Bagaimana
dengan fidyah saya, perlukah dibayar berganda dan perlukah diulang semula qadha
puasa
Jawapan:
Orang tidak
mengqadhakan puasanya sehingga tiba bulan Ramadan berikutnya dengan sengaja
melengah-lengahkan qadha pada hal dia mampu, wajib qadha dan bayar fidyah
selepas itu. Jika dia tidak qadha kerana sepanjang tahun itu dia tidak mampu
seperti sakit atau musafir, tidak wajib bayar fidyah. Hanya wajib qadha sahaja.
Dalam kes puan, jika telah qadha puasa, maka tidak wajib fidyah. Jika fidyah
itu wajib ke atas puan kerana kes hamil atau menyusu seperti dinyatakan di
atas, fidyah tidak berganda dan puasa qadha juga tidak perlu diulang.
Soalan:
Kepada
siapakah fidyah perlu dibayar? Bolehkah diserahkan kepada amil atau mencari
orang miskin yang layak menerima fidyah tersebut?
Jawapan:
Fidyah
wajib diberikan kepada golongan fakir dan miskin. Boleh serahkan kepada amil,
tetapi mesti diasingkan daripada zakat kerana zakat dibahagikan kepada lapan
asnaf (golongan) sedangkan fidyah untuk fakir dan miskin sahaja. Boleh juga
serahkan secara langsung kepada fakir miskin yang kita kenali. Lebih afdhai
(utama) kalau dari kalangan keluarga kita sendiri.
Soalan:
Bagaimanakah
mengira jumlah fidyah jika dinisbahkan dalam nilai ringgit?
Jawapan:
Fidyah yang
dikenakan adalah satu cupak makanan asasi atau bagi Malaysia dikira satu cupak
beras. Satu cupak anggarannya adalah 600 gram. Setiap orang mesti menilai 600
gram dengan harga beras yang dia makan. Jika dia makan beras yang murah,
murahlah nilainya. Jika dia makan beras yang mahal, mahallah nilainya. #
Q&A Isu 31