Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

18 April 2016

Taubat seorang samseng

Taubat seorang samseng jalanan
oleh
Mohd Nazirul Afiq Ismail


gambar hiasan

Penghujung 1970-an sekitar Bandar Raya Kuala Lumpur

KELEPUK!! Kepala    Sayyaf    diluku oleh salah seorang daripada beberapa pelajar kelas tingkatan tiga Anggur.

"Janganlah marah ya budak baru! Dalam kelas tiga Anggur ini aku paling samseng! Semua budak-budak baru yang masuk ke sekolah ini kalau dibuli itu perkara biasa," kata Jack sambil disambut gelak tawa rakan-rakannya yang lain. Budak baru itu tadi menggosok-gosokkan kepalanya. Sakitnya berpijar! Hendak saja dibalas lepuk yang baru singgah di belakang kepalanya tadi.Tapi Sayyaf hanya membisu. Bukan takut, tapi dia teringat pesan ibunya yang jauh di kampung supaya bila tinggal dengan ayah di Kuala Lumpur nanti jaga diri, timba ilmu dan pengalaman. Sabar Sayyaf, sabar!

"Woi budak kampung. Kau orang miskin ya? Bapak engkau kerja apa ya?" tanya Jack sambil tersengih dengan gigi yang tak bergosok. Jack geram dengan budak baru nama Sayyaf ini.


Sedari minggu lepas dia mengusik budak yang baru berpindah ke sekolahnya itu, tapi tak ada respons. Maka, makin seronoklah Jack mengusik Sayyaf apabila budak dari kampung ini diam bodoh membatu.

"Eh? Jawablah! Kau ni tak ada mulut ke, budak? Kesian mak bapak kau dapat anak bisu macam engkau."

Kelepakk! Kelepukkk! Bede-bukkk! Tidak sempat Jack hendak menghabiskan kata-katanya, beberapa das tumbukan dan sepakan ditunjal Sayyaf menjengah ke muka dan perut Jack. Melihatkan keadaan Jack disepak terajang, lima lagi rakan Jack cuba masuk dan hendak menangkap Sayyaf, namun kelima-lima rakan Jack juga dilipat dan ditendang hingga tumbang, sama seperti Jack.

Masing-masing cuba melawan, namun Sayyaf sudah siap sedia untuk menghadiahkan buah pukul yang dipelajari semasa menuntut ilmu persilatan setiap malam Selasa, Rabu dan Khamis di kampung suatu masa dahulu. Sebaik beberapa cubaan untuk menghentamnya, tangannya menahan lalu memintas dengan jurus siku dan pelempang.

Kali ini masing-masing berpinar biji mata terkena buah pukulan Sayyaf yang makin padu. Mana yang kena perut mengerang kesakitan macam nak terbujal usus, yang terkena muka hampir berterabur gigi! Mana yang kena kemaluan, aduhai senaknya bukan kepalang!

"Samseng konon! Puiihh! Ini apa cerita enam lawan satu, enam yang tumbang?" kata Sayyaf sambil berlalu tersengih melihatkan 'badigol-badigol' itu lemah dan tak terdaya nak bangun.

Selepas kejadian itu, nama Sayyaf makin masyhur di kalangan rakan-rakan sekolahnya. Kalau sebelum ini Sayyaf seorang pelajar yang tak banyak cakap, kini asal ada saja aktiviti pertengkaran dan bergaduh, Sayyaf akan turut serta. Pantang dicabar, Sayyaf tak segan-silu membeli tawaran budak-budak yang cuba nak beradu tenaga dengannya. Seperti biasa, kesemua budak-budak sekolah yang berhajat tadi akan dilipat dan diterajang sampai tak boleh bangun. Begitulah hebatnya Sayyaf. Sayyaf sebenarnya seorang remaja yang alim dan taat kepada ibu bapa. Semasa dia tinggal di kampung dahulu, orang-orang kampung cukup mengenali peribadi Sayyaf.

Anak remaja ini seorang yang rajin ke masjid. Tetangga pun mengetahui amalan agama Sayyaf boleh tahan tingginya. Kiranya, kelak besar nanti orang kampung mengandaikan  remaja sepertinya akan membesar sebagai alim ulama malah mungkin boleh jadi seorang wali. Namun rentetan peristiwa di-buli itulah menyebabkan Sayyaf menjadi semakin berang dan ganas. Semakin lama pesan ibu Sayyaf dilupakan. Semenjak tinggal dengan bapanya di Kuala Lumpur pun, bapanya langsung tak pernah ambil peduli hal yang berlaku di sekolah. Bapanya sibuk bekerja, pergi pagi balik malam.

Lantas apabila dipuja-puja se-bagai 'raja pukul', Sayyaf semakin tidak mengendahkan pelajaran. Dia selalu ponteng sekolah dan merayau-rayau di sekitar bandar raya terutama Benteng Masjid India. Kalau dia ke kelas pun Sayyaf akan tidur daripada menelaah pelajaran atau menumpukan perhatian dalam kelas. Tiba masa rehat, bertumbuk dan tendang terajang.

Potong tangan Sam Gajah

PADA suatu hari, beberapa rakan mengadu kepada Sayyaf tentang perihal seorang pelajar yang selalu membuli pelajar lain. Mendengarkan cerita rakannya membuatkan Sayyaf jadi panas telinga. Dia seorang samseng yang paling hebat! Mana mungkin ada samseng yang  lebih  hebat daripadanya! Semakin  lama  mendengar rungutan teman-temannya, Sayyaf jadi makin panas hati. Lalu pada suatu hari Sayyaf punya satu akal untuk menumbangkan samseng yang budak-budak sekolah ini gelar Sam Gajah.

Sebaik tamat waktu persekolahan, Sayyaf mendapatkan Sam Gajah. Kononnya Sayyaf nak berkawan baik dengan remaja berbadan gempal itu. Sayyaf mengajak Sam minum-minum dan tonton wayang gambar di tengah bandar. Selepas tengok wayang gambar, Sayyaf ajak Sam pergi makan pula. Kemudian apabila menjelang waktu senja, Sayyaf mengajak Sam pulang. Dua remaja ini pun berjalan pulang mengikut lorong belakang Brickfields.

Ketika lorong yang dilalui itu dimamah kegelapan malam, Sayyaf terus menerajang perut Sam hingga senak. Kepala Sam dipelangkung dan diterajang berkali-kali. Kemudian Sayyaf mengeluarkan sebilah pisau rambo berkilat daripada beg sekolahnya.
Kemudian... ZASSS!!!

"Aduhh!! Arghhhh!!!" jeritan yang kuat bergema dari lorong gelap Brickfields. Sam mengerangkesakitan melihat   pergelangan tangannya bercerai dari lengan. Sam langsung   tak menyangka Sayyaf yang baru berbuat baik dengannya tadi hanya bersandiwara untuk mengelar pergelangan tangannya. Jari-jemarinya masih bergerak-gerak sambi darah memancut keluar tanpa henti. Remaja itu menjerit meminta tolong apabila melihat daging dan tulang tangannya sudah tersembul keluar.

"Terima habuan kau, samseng konon! Huh!" Sayyaf terus berlari meninggalkan remaja yang sedang mengerang kesakitan itu. Hatinya cukup puas melihat pergelangan tangan musuhnya itu terputus dari lengannya. Dia terus berlari, sambi menyemat kembali pisau rambo ke dalam sarung. Apa yang bakal terjadi kepada mangsanya, langsung Sayyaf tak peduli. Paling penting misinya memotong tangan remaja tersebut terlaksana sudah. Dendam kesumatnya terlerai     sebaik    melihat mangsanya mengeletek seperti ikan sembilang yang masih hidup ditabur garam. Sayaf terus berlari dan berlari. Hinggalah hilang kelibat mangsanya dan dirasakan cukup selamat.

Jadi orang pelarian
SELEPAS kejadian tersebut, Sayyaf tidak lagi pergi ke sekolah. Sayyaf akan merayau-rayau sekitar Chow Kit atau Masjid India serta di sekitar kota metropolitan Kuala Lumpur. Sayyaf tiada arah. Kalau kembali ke sekolah dia bimbang akan ditangkap polis dan akan disabitkan ke mahkamah. Silap-silap hari bulan, dia akan menghabiskan sepanjang zaman remajanya di sekolah budak-budak jahat. Paling tidak pun dia akan dikeroyok oleh geng-geng si kudung itu tadi. Lebih baik Sayyaf jadi pelarian!

Ketika menjadi orang pelarian itulah dia tidak lagi kenal halal haram, dosa atau pahala. Sepanjang hidup sebagai gelandangan di tengah kota, Sayyaf menjalankan aktiviti sebagai seorang pemeras ugut di kaki lima terutama di bahagian terowong bangunan UMBC, tempat laluan pejalan kaki serta Benteng Masjid India. Hasil wang peras ugut itulah digunakannya untuk berhibur di kelab malam Kowloon, tempat muda-mudi berjoget bersama gadis-gadis kabaret. Sisa remajanya dihabiskan di jalanan, mencabar individu yang mahu cuba beradu tenaga sehingga nama Sayyaf disebut-sebut sebagai 'penyangak nombor satu' di Kuala Lumpur.

Siapa tak kenal dengan Sayyaf, pantang ada yang menjeling atau berlaga siku, Sayyaf tibai! Kerjanya asyik bergaduh dan bertumbuk! Kalau tak bertumbuk, memeras ugut hidupnya tidak sah

Episod baru hidup Sayyaf

KEGIATAN jenayahnya berlanjutan sehingga Sayyaf bernikah dengan gadis pilihan hatinya. Isterinya nyata banyak merubah jalan hidupnya yang penuh liku.
Dari seorang kaki pukul, pemeras ugut dan penyangak, Sayyaf kini hidup bahagia bersama isteri dan keluarganya. Setelah berkeluarga, barulah Sayyaf sedar, selama ini banyak masa telah disia-siakan dalam hidupnya.

Sayyaf bertekad untuk mengubah perjalanan hidupnya yang sia-sia itu lantaran usianya sudah mencecah angka 40 tahun. Sayyaf sedar jika dia tidak berhenti menuruti jalan songsang itu pada usia 40-an, peluangnya untuk bertauba tsemakin kelam. Sejahat-jahat manusia sekali pun masih terdetik di hati kecilnya untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Begitulah yang terjadi pada Sayyaf.

Sayyaf rindukan saat-saat semasa kecilnya dulu ibarat kain putih yang tiada sebarang dosa. Sayyaf juga terkenangkan saat pada zaman kanak kanaknya yang rajin ke masjid sehingga ada yang meramalkan dia akan jadi alim ulama atau manusia bertaraf wali.

Lantas setelah bermuhasabah diri, dia mengambil keputusan menghentikan terus amalan peras ugut dan kaki pukul. Sayyaf perlu balik ke pangkal jalan. Dia perlu menyucikan diri, memohon ampun kepada Tuhan atas segala salah dan silap serta dosa yang pernah dilakukannya dulu. Sejak dia bertaubat, hidupnya semakin tenang. Hari-hari yang dilaluinya semakin indah dan bermakna. Bagi mengelak terjebak semula dengan kegiatan lama, Sayyaf menyibukkan diri dalam dunia perniagaan yang diusahakan dengan modal sendiri.

Sedikit demi sedikit usahanya mula menampakkan hasil. Duit pusingan modalnya disimpan dan disedekahkan kepada anak yatim. Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa tahun, usaha Sayyaf makin dirahmati Allah apabila perniagaannya semakin kukuh.

Kini, Sayyaf tidak mahu lagi mengenangi zaman remajanya yang penuh dengan liku-liku sehingga terjebak ke dalam dunia samseng. Baginya anak-anak muda tidak perlu mengikuti jejak langkah sia-sia seperti yang pernah dilaluinya dulu. Bagi Sayyaf, tiada gunanya menjadi samseng atau hero, jika hanya sekadar untuk menunjukkan kekuatan kepada orang lain! Sebaliknya, gunakan kekuatan yang ada untuk membangunkan bangsa sendiri yang masih lemah dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi yang jauh ketinggalan berbanding kaum lain


Mastika Mei 2012