Memoir Cikgu Mad dan SuperMokh
MOKHTAR DAHARI 25 TAHUN DALAM KENANGAN
Oleh Nasir
Ahmad (Nasi Siru)
TIDAK sukar
untuk memahami perasaan mereka yang berada di sekelilingnya – wartawan sukan,
jurulatih, sahabat handai apa lagi anak isteri – sebaik saja tersebar berita
kematian penyerang terbilang bola sepak negara, Mokhtar Dahari – hari ini, 8.25
pagi, 25 tahun lalu.
Hanya ada tiga
tarikh/tahun terpenting dalam naratif bola sepak negara: 2 Oktober 1971,
Malaysia mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Munich 1972 selepas menewaskan
Filipina 5-0 dan sebelum itu menumbangkan Jepun 3-0, Korea Selatan 1-0.
Sembilan tahun
kemudian, 6 April 1980, Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow
selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 di atas padang becak Stadium Merdeka.
Sebanyak 65 buah negara termasuk Malaysia diketuai Amerika Syarikat kemudian
memulau sukan itu. Selebih adalah sejarah.
Dan 11 Julai 1991 – hanya sebulan 10 hari saya menyertai Berita Harian selepas 17 tahun bersama Utusan Melayu – Mokhtar atau SuperMokh pergi meninggalkan bola sepak Malaysia yang kian kelam, mengakhiri penderitaan tiga tahun penyakit misteri yang sukar dilerai sains dan teknologi ketika itu – ‘Motor Neuron Disease’. MND adalah sejenis penyakit amat jarang berlaku. Ia berkaitan serangan sistem saraf dan otot menyebabkan mangsa lemah – terlalu lemah hingga percakapan menjadi kabur, semua pergerakan tubuh tidak berfungsi baik. Kaku dan beku!
Hanya enam tahun dua bulan sebelum itu (19 Mei 1985), secara tidak sengaja, saya dan Mokhtar berkongsi bangku bas pemain dalam perjalanan pulang dari Stadium Chamsil menuju Hotel Shilla di tengah kota Seoul, Korea Selatan.Perjalanan yang seharusnya tidak sampai satu jam, memakan masa begitu lama kerana Seoul ketika itu pesat membangun. Laluan banyak ditutup, sibuk menyiapkan prasara sebagai tuan rumah Sukan Asia 1986 dan Sukan Olimpik 1988. Sepanjang perjalanan membosankan itu, semua pemain tenggelam dalam kekecewaan selepas ditewaskan Korea Selatan 2-0 sekali gus mengakhiri buruan tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 1986 di Mexico. Selepas menang 1-0 pada perlawanan pertama di Kuala Lumpur menerusi jaringan Dollah Salleh, Malaysia berpeluang cerah untuk ke pusingan kedua.
Mokhtar ketika itu
tidak lagi bersama skuad kebangsaan. Dia antara beberapa pemain digugurkan
selepas gagal dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Kuwait pada 1981, termasuk
dibelasah tuan rumah 4-0, kalah kepada Korea Selatan 1-2 dan seri 2-2 menentang
Thailand.
Kegagalan itu dianggap ‘malapetaka’ kerana itulah kali pertama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya menghimpun semua pemain terbaik era itu termasuk penjaga gol terbilang, Chow Chee Keong dan pemain tengah pro, Yip Chee Keong, Shukor Salleh, Soh Chin Aun sekadar menyebut beberapa nama.
Kegagalan itu dianggap ‘malapetaka’ kerana itulah kali pertama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya menghimpun semua pemain terbaik era itu termasuk penjaga gol terbilang, Chow Chee Keong dan pemain tengah pro, Yip Chee Keong, Shukor Salleh, Soh Chin Aun sekadar menyebut beberapa nama.
Dua tahun sebelum
itu, selepas membantu Malaysia mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Jakarta,
Mokhtar menyisihkan diri – hanya pada usia 28 tahun. Spekulasi mengenai
pengunduran itu bukan faktor usia tetapi dia dikatakan lemas dengan skuad
negara yang makin kuat ‘dicengkam’ bookie.
Walaupun lama tidak lagi bersama skuad kebangsaan, Mokhtar kekal menyinar bersama Selangor – membawa ‘Gergasi Merah Kuning’ ke final Piala Malaysia empat musim berturut-turut sejak itu, tiga daripadanya muncul juara. Semangat cintakan negara tidak pernah pudar. Kecergasan tidak perlu dipertikai. Mokhtar menyahut pelawaan pada Mei 1985 itu untuk membantu menentang skuad ‘The Land of the Morning Calm’ tetapi kesudahannya amat memeritkan semua orang.
“Lepas ni macam mana, terus bermain untuk Malaysia?” Saya memberanikan diri bertanya dalam perjalanan bas tersangkut-sangkut itu. Dalam wajah yang suram sesekali nampak ‘bengis’, Mokhtar memberi reaksi: “Cukuplah, letih, umur pun dah banyak.”
Berbual dalam pelbagai isu selepas itu, saya mula memahami lebih mendalam ‘siapa Mokhtar’ juga imbasan wajah bola sepak kita di sebalik pintu. Dia bersara terus termasuk menanggalkan jersi Merah Kuning pada 1987. Tahun berikutnya, bermulalah perjalanan ‘hari-hari terakhir seorang legenda’. Berpunca daripada hanya ‘sakit tekak’, ia kemudian disahkan menghidap MND – maut menanti di hujung terowong.
Sebulan lalu, saya mula terfikir untuk menulis tentang Mokhtar sempena tarikh pemergiannya. Sudah ditakdirkan, 18 Ramadan lalu, bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar mempelawa saya dan beberapa rakan, melawat dan berbuka puasa di Dusun Damai miliknya di Pagoh. Bersamanya turut serta tiga individu bukan dari kelompok kami. Dua daripadanya saya kenal tetapi tidak rapat iaitu Yassin Salleh, filem arahannya, ‘Dia Ibu Ku’ memenangi 10 Anugerah di Pesta Filem Malaysia dan Ahmad Mahmud, bekas jagoan dekatlon negara 1960an. Ahmad atau Cikgu Mad pernah menyertai Sukan SEAP 1969 (Rangoon), 1971 (Kuala Lumpur) dan Sukan Asia 1966 (Bangkok). Dia turut mewakili Malaysia dalam sukan ragbi. Tidak ramai atlet sehebat ini mewakili negara dalam dua sukan berbeza pada waktu yang sama.
Menerusi buku memoirnya, ‘Me, Rugby & Supermokh’, Cikgu Mad, antara lain, menceritakan hubungan rapat dia dan Mokhtar serta isteri legenda itu, Tengku Zarina Ibrahim. Semuanya bermula pada 1973 – era kebangkitan Mokhtar ketika Syed Ahmad dan Shahruddin Abdulllah mula dilsisihkan – apabila dia menyertai Selangor sebagai jurulatih kecergasan selepas pulang dengan diploma dari Institut Sains Sukan dari Universiti Johannes Gutenberg, Mainz, Jerman Barat.
“Apabila dia diserang MND, saya diberi tanggungjawab memenuhi hajat Mokhtar untuk menunai umrah,” tulis Cikgu Mad, pesara guru yang kini hidup sebagai OKU akibat dihentak kereta sendiri dan lebih malang berlaku di laman rumahnya. “Pada 1990, semua urusan berkaitan dibuat termasuk untuk isteri dan anak gadisnya. Ketika itu dia berkerusi roda. Pergerakannya terhad dan saya urus semua termasuk ketika menyempurnakan rukun.
“Ada satu peristiwa yang tak mungkin saya lupa ketika berada di hadapan Kaabah selepas melakukan ‘Tawaf Widak’. Saya tanya Mokhtar adakah dia berhajat untuk mencium Hajar-al-aswad. Dari renungan matanya, saya tahu dia teruja.
“Saya
mendukungnya, berat tapi saya gagahi juga demi seorang sahabat. Beberapa meter
nak sampai, kami jatuh terduduk. Saya sudah tidak ada tenaga lagi untuk
meneruskannya. Tiba-tiba entah dari mana, seorang lelaki besar dan gagah
mengangkat kami serentak.”
Kata Cikgu Mad, mereka yang berada di sekitar ‘batu hitam’ itu memberi laluan mudah.
“Mokhtar diberi peluang terlebih dahulu mencium sepuas-puasnya, kemudian giliran saya. Sebaik selesai, lelaki gagah itu meletakkan kami di atas lantai. Belum sempat mengucapkan terima kasih, lelaki itu ghaib.
“Mustahil dia
boleh pergi begitu mudah kerana orang di sekeliling cukup padat. Saya tanya
Mokhtar, tapi nampak dia juga keliru. Siapa lelaki itu? Saya tiada jawapan
hingga saat ini.”
Demikian antara catatan menarik daripada Cikgu Mad, lelaki hebat yang satu ketika adalah menantu kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris. Sama seperti seniman agung, P Ramlee, SuperMokh mungkin sudah lama pergi tetapi dia telah mencipta tugu kasih yang terbina kukuh dalam hati penggemarnya.
Bagi mereka,
legenda padang itu tidak pernah mati. Al-Fatihah!
http://www.bacalahmalaysia.com/2016/07/11/memoir-cikgu-mad-dan-supermokh/