Petua
karut ketika berjimak:
Jangan melihat
kemaluan isteri ketika sedang lakukan seks kerana boleh ....
Abd Razak Muthalib
JIKA ada yang
berpesan kepada anda supaya jangan melihat kemaluan isteri ketika sedang
melakukan hubungan kelamin kerana boleh mengakibatkan buta. Bahkan petua
tersebut dikatakan Rasulullah SAW sendiri yang melarangnya. Maka, apa pendapat
anda? Apa yang akan anda lakukan?
Bertenang.
Usah gusar.
Jangan panik.
Sebenarnya apa sahaja petua,
galakan atau larangan yang disandarkan kepada agama, maka langkah
pertama yang
perlu kita lakukan ialah memastikan kesahihan sumbernya. Jadi, disiplinkan diri
untuk mengenal pasti terlebih dahulu apakah dalil yang menjadi sandaran kepada
sesuatu suruhan atau larangan berkaitan agama. Walaupun orang yang menyebutnya bergelar ustaz, tuan guru, habib, mufti
atau sesiapa sahaja. Ini kerana agama ini adalah milik ALLAH SWT yang mempunyai
disiplin dan metode tersendiri. Tidak boleh mengaitkan sesuatu dengan agama
melainkan ia bersandarkan kepada ALLAH dan juga Rasulullah SAW.
Jadi, berbalik kepada larangan
melihat kemaluan isteri ketika bersetubuh kerana ia boleh mengakibatkan buta.
Dari mana larangan sebegini boleh muncul? Sebenarnya ia diambil daripada hadis
palsu:
"Apabila salah seorang
antara kamu semua sedang berjimak (bersetubuh), maka janganlah dia melihat
kepada faraj (kemaluan isteri) kerana perbuatan itu akan mengakibatkan buta,
dan janganlah memperbanyakkan bercakap, kerana hal itu akan mengakibatkan
bisu."
Ibn Al-Jauzi memasukkan hadis ini
dalam senarai hadis palsu dalam bukunya Al-Maudhuat. (Rujuk: Ibn Al-Jauzi,
Al-Maughu'at (Madinah: Maktabah Al-Salafiyah, 1966) 2/272)
Hadis ini dihukum sebagai palsu
kerana dalam sanadnya terdapat penyampai hadis bernama Muhammad bin Abd
al-Rahman Al-Qusyairi. Menurut Imam Al-Zahabi, Muhammad bin Abd al-Rahman
Al-Qusyairi ini adalah seorang yang tidak dipercayai. Imam Al-Azdi dan
Al-Daruqutni pula mengatakan beliau adalah seorang pendusta yang perlu
ditinggalkan hadis yang disampaikan olehnya.
Melihat kepada maksud hadis ini
sendiri kita sudah boleh mengagak ia adalah palsu dan tidak mungkin Rasulullah
SAW mengucapkannya. Mustahil syariat Islam yang telah
menghalalkan hubungan kelamin di antara suami dan isteri, dalam masa yang sama
melarang si suami melihat faraj isterinya.
Menurut hadis diriwayatkan oleh
Ibn Hibban dalam Sahihnya, daripada Sulaiman Al-Taimi bahawa dia pernah ditanya
mengenai apakah hukumnya seseorang itu melihat faraj isterinya? Maka dia pun
menjawab: "Aku pernah bertanya soalan ini kepada 'Atha', lalu dia
menjawab: "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah, dan 'Aisyah menjawab:
"Aku pernah mandi bersama Rasulullah SAW dalam satu bekas, hingga aku
mengatakan: Biarkan air itu untukku, biarkan untukku." (Hadis Hasan, no
5577)
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-'Asqalani
dalam Fath Al-Bari mengatakan: "Hadis ini adalah hujah perihal bolehnya
seseorang untuk melihat aurat isterinya, demikian juga sebaliknya". Maka,
tidak ada bezanya melihat ketika mandi dan ketika berjimak.
Kalaulah perkara ini
dilarang, kemungkinan ia akan menjejaskan kenikmatan ketika hubungan suami dan
isteri. Sedangkan syariat mengizinkan pasangan suami isteri untuk masing-masing
merasai nikmat tersebut. ALLAH menggambarkan dalam al-Quran bahawa si isteri
itu umpama ladang bagi si suami. Jadi, si suami boleh mendatangi isterinya
menurut cara yang disukai pada tempat menanam benih.
Firman-Nya: "Isteri-isteri
kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu
menurut cara yang kamu sukai..." (Surah Al-Baqarah: 223)
Kenapa syariat membolehkan
perkara ini? Sudah tentu salah satu sebabnya ialah untuk memberikan peluang
kepada pasangan suami isteri saling merasai kenikmatan tersebut dengan cara
yang halal lagi diredai.
Cumanya, syariat juga menetapkan
garis panduan yang memang tidak boleh dilakukan semasa hubungan suami isteri.
Antaranya ialah, syariat mengharamkan si suami mendatangi isterinya dari
bahagian belakang (dubur) isterinya berdasarkan beberapa hadis yang diterima.
Antaranya ialah hadis berikut:
"Apabila golongan Muhajirin datang ke perkampungan kaum Ansar, mereka pun
menikahi wanita Ansar. Golongan muhajirin biasa menelungkupkan isterinya ketika
bersetubuh, sedangkan kaum Ansar tidak biasa melakukannya. Suatu ketika ada
seorang lelaki Muhajirin hendak menyetubuhi isterinya daripada kaum Ansar
dengan cara seperti itu (melalui dubur), tetapi si isteri menolak sebelum ada
kejelasan hukumnya daripada Rasulullah SAW. Lalu dia pun berjumpa Rasulullah
SAW. Tetapi dia berasa malu untuk bertanya terus kepada Rasulullah SAW. Maka
dia bertanya kepada Ummu Salamah (isteri Nabi SAW) supaya ditanya kepada
Baginda SAW. Lalu, turunlah ayat 223 daripada Surah Al-Baqarah.
Rasulullah SAW lalu menjawab:
"Tidak boleh (melalui dubur) melainkan pada satu jalan sahaja
(faraj)." (Riwayat Ahmad, Al-Tirmizi dan beliau menyatakan ia sahih)
Berkenaan larangan
memperbanyakkan bercakap ketika bersetubuh suami isteri seperti yang disebutkan
dalam hadis palsu ini, memang ia suatu tindakan yang tidak sesuai. Banyak
bercakap dan berbincang perkara-perkara lain ketika melakukan hubungan intim
memang tidak munasabah, sedangkan perkara tersebut boleh dibualkan pada masa
lain. Tetapi, jika si suami atau isteri mengungkapkan sesuatu yang manis dan
indah yang boleh meningkatkan perasaan kasih sayang ketika itu, maka ia tidak
menjadi kesalahan.
Justeru, kepada pasangan suami
isteri, syariat telah mengikat hubungan anda dengan cara yang halal dan sah.
Isteri adalah hadiah buat suami. Suami adalah anugerah buat isteri. Raikannya
dengan kegembiraan dan kesyukuran. Nikmati ia dengan cara yang halal. Pelihara,
pagari, sirami dan bajai ladang masing-masing agar ia terus subur dan mekar.
Percayalah, kenikmatan dan keseronokan yang dirasai oleh suami isteri sedikit
pun tidak akan disia-siakan di sisi Tuhan kerana pada hubungan intim juga
adalah ladang menuai pahala.
ABD RAZAK MUTHALIB
Penulis ialah Jurulatih Kanan
& Motivator di Akademi magnet Sukses.
Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah
Ilmu Wahyu, UIAM
http://gigitankerengga.blogspot.my/2016/10/petua-karut-ketika-berjimak-jangan_22.html