15 Tahun Lengan dan Pahanya Dicakar
Matahari mula terbenam ke ufuk barat pada suatu petang tahun 1970an. Fatimah Abdul Mukti 50, menutup rapat pintu dan tingkap rumah kedai usangnya di pekan langgar, Alor Setar, Kedah. Dua orang anak perempuannya, Siti Ainon dan Siti Muzalipah sedang mandi dan bersembahyang.
“Ke mana pula
Abang Man ini? Dah lewat tak balik balik lagi,” keluh Fatimah yang bimbang
memikirkan suaminya, Osman Md. Noor, 55, yang masih belum pulang.
Malam
merangkak tua, beredar dari pukul 8.00 kepada 9.00 seterusnya 10.00. Namun
hingga ke pukul 12.00 malam, Osman masih tidak kunjung pulang. Fatimah yang
baring di ruang tamu mula runsing
memikirkan keselamatan suaminya.
“Haaarrrgggh!! Kedengaran bunyi sergahan
kuat. Fatimah tersentak lantas bangun
dan menoleh sekeliling tapi tiada sesiapa pun yang kelihatan. Dadanya berdebar kencang kerana sergahan tersebut
sangat jelas di telinganya. Masakan orang yang menyergah boleh ghaib dalam
sekelip mata.
“Perasaan aku
saja agaknya,”
Fatimah berkata kata sendirian sambal memerhati ke kiri dan ke kanan.
Setelah
pasti tiada sesiapa di ruang tamu, dia berbaring semula namun sedang Fatimah
melayan fikiran, kedengaran pula bunyi angin berdesir kuat menerjah masuk ke dalam
rumahnya. Bunyinya sungguh menakutkan
sedangkan waktu itu tiada sebarang tanda menunjukkan hari hendak hujan atau ribut.
Fatimah
semakin gelisah kerana ketika itu semua tingkap dan pintu telah ditutup rapat.
Dalam keadaan begitu, tidak mungkin angin boleh menerjah masuk dengan sebegitu
ganas.
Belum
reda ketakuran, kedengaran bunyi ketukan di pintu hadapan. Kuat dan bertalu
talu.
“Mungkin abang
agaknya,”
bisik Fatimah sendirian. Bagaimanapun dia tidak berani untuk bangun dan membuka
pintu kerana selalunya suaminya tidak begitu.
Apabila pulang ke rumah selain mengetuk pintu, Osman akan memberi salam
dan memanggil namanya. Tetapi malam ini
….? Fatimah mendiamkan diri. Perasaan takut sudah tidak dapat dibendung lagi.
Bunyi
ketukan terhenti, kemudian kedengaran pula derapan kaki orang berjalan
mengelilingi rumahnya. Sekejap ke sana sekejap ke mari.
Fatimah
menjadi tidak keruan. Jam di dinding menujukkan pukul 12.30 malam dan anak
anaknya sudah nyenyak tidur, sedangkan dia pula sejak tadi tidak dapat melelapkan
mata kerana gementarkan gangguan di luar sana.
“Rrraaauuu!
Tiba tiba kedengaran pula atap rumahnya ditabur pasir. Sekali ini Fatimah tidak
dapat menahan ketakutan. Dia terus menyelubungi tubuhnya dengan selimut. Darahnya
terasa kering kerana belum pernah
diganggu sedemikian rupa.
Entah
pukul berapa suaminya pulang Fatimah
tidak sedar tetapi pagi itu lenganya dan pahanya terasa pedih. Apabila diselak
lengan bajunya, kelihatanlah calar calar yang panjang dan merah seperti dicakar
seseorang yang berkuku panjang.
“Awak tercakar
masa tidur tu,”
kata Osman apabila Fatimah menunjukkan kesan calar itu kepadanya.
“Mana boleh, kuku
saya pendek. Lagipun, mana pernah jadi macam ini,” balas Fatimah, lalu
menceritakan apa yang berlaku malam itu.
Malam
keesokkannya, bukan saja Fatimah, malah Osman dan anak anaknya sendiri mendengar
pelbagai ganguan menakutkan berlaku di rumahnya. Bermula dengan terjahan angin,
diikuti ketukan pintu, atap ditabur pasir, bunyi kerusi ditolak hinggalah
kepada bunyi orang terjun dari alang rumah. Apabila diperiksa, tiada sesiapa di
sekitar rumah tersebut kecuali mereka sekeluarga.
Pagi
esoknya, apabila bangun dari tidur didapati calar calar di lengan dan badan
Fatimah bertambah. Mereka seperti hendak terbit darah. Seperti semalam, cakaran
itu seperti dibuat seseorang berkuku panjang.
Sejak
itu, hampir setiap malam mereka diganggu dengan pelbagai kejadian menakutkan
dan apabila terjaga pada waktu pagi, pasti terdapat kesan cakaran di badan
Fatimah. Kesan calar itu pula lambat hilang dan pedih apabila terkena air.
Kadang kadang selepas seminggu baru ia pulih.
Mulanya
Osman mengsyaki ada sesuatu yang tida, kena dengan rumah yang disewa itu, namun
ternyata dia silap. Kenakalan ‘makhluk’ itu rupa rupanya tidak mengira tempat
kerana ketika bertandang ke rumah anak anaknya yang lain, dia terus dikacau
dengan bunyi bunyi yang sama. Yang sering menjadi sasaran ialah Fatimah.
Oleh
kerana terlalu lama ganggua itu tidak juga lenyap, Osman mengajak isterinya
berpindah ke rumah yang dibelinya di Taman Desa Mutiara, Simpang, Kuala Kedah.
Hari demi hari berlalu, tiada lagi kejadian kejadian menakutkan menimpa mereka.
Pada
mulanya mereka sangka gangguan itu sudah berakhir, namun selang setahun tinggal
di situ bunyi bunyi pelik muncul kembali.
Sudah
hamper 15 tahun keadaan seperti itu berlarutan. Namun sehingga kini Fatimah dan
Osman tidak mengetahui punca sebenar kewujudan gangguan menakutkan itu. Malah
‘makhluk’ yang mengacaunya juga tidak pernah menzahirkan kelibatnya. Anehnya
Osman dan anak anak jarang mendengar gangguan yang dihadapi dan tidak pernah
terkena cakaran seperti yang berlaku kepada Fatimah.
Segala
gangguan itu Cuma terhenti apabila Fatimah menunaikan solat dan berzikir.
Bagaimanapun selepas selesai solat witir dan ketika hendak baca doa, Fatimah
akan diganggu lagi, termasuk almari digoncang, diikuti bunyi botol jatuh
seperti dihempas ke lantai.
Meskipun begitu, apa yang menghairankan mereka ialah ‘makhluk’ tersebut berhenti menggacau di sepanjang bulan Ramadan. Katika itu, Fatimah dapat menjalankan ibadah seperti solat tahajud dan membaca al-Quran dengan tenang. Namun sebaik sahaja tamat bulan Ramadan, bunyi bunyi itu menjelma lagi keesokkannya, badan Fatimah dipenuhi kesan cakar … sehinggalah sekarang.
X -FILES - SIRI KISAH MISTERI UTUSAN
Koleksi Mastika (2000)