Doa Takut Mati
oleh
Rasulullah bersabda, "Nyaris orang kafir
menyerbu dan membinasakan kamu, seperti halnya orang yang menyerbu makanan di
atas hidangan.'
Seseorang bertanya, 'Apakah
disebabkan sedikitnya kami pada waktu itu?'
Baginda bersabda, 'Bahkan kamu waktu itu banyak
sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa takut
musuh-musuhmu terhadap kamu serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit
'wahn'.'
Seseorang bertanya, 'Apakah
'wahn' itu?'
Baginda menjawab, 'Cinta dunia dan takut mati'."
(Riwayat Ahmad, al-Baihaqi, Abu Dawud)
Takut akan kematian (takut
mati) ialah ketakutan yang dimiliki oleh orang yang tidak bersedia bertemu
Tuhan. Mereka berasa tidak tenang dan gundah terhadap kurangnya amal baik dan
perilaku dosa yang dilakukan. Sekiranya boleh hidup tanpa mati; itulah yang
mereka mahu.
Berbeza dengan orang soleh
yang senantiasa bersedia bertemu Al-Khaliq. Mereka tidak terbeban dengan
datangnya kematian kerana yakin dengan janji Allah kepada orang yang beramal soleh. Beramal soleh
dalam erti kata melakukan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Maksiat
dijauhkan Apa yang mereka harapkan ialah redha Allah dan ditempatkan di dalam
jannah.
Allah
berfirman:
"Katakanlah:
Sesungguhnya
aku hanyalah
seorang manusia
seperti kamu,
diwahyukan
kepadaku bahawa
Tuhan kamu
hanyalah Tuhan Yang
Satu; maka
sesiapa yang
berharap akan bertemu
Tuhannya, hendaklah
ia mengerjakan
Amal
yang soleh,
dan janganlah
ia mempersekutukan
sesiapapun dalam
ibadatnya
kepada
Tuhannya." (Al-Kahfi 18: 110)
"Wahai Tuhan yang Maha
Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri dengan Sendiri. Dengan rahmat-Mu aku
memohon pertolongan, perelokkanlah segala keadaanku. Janganlah Engkau
membiarkan aku bergantung kepada diriku semata-mata walau sekelip mata dan juga
kepada seorang pun daripada kalangan manusia.
"Ya Allah,
sesungguhnya aku memohon kepada-Mu agar dipercepatkan mendapat kurniaan
keafiatan daripada-Mu, bersabar atas kedatangan sesuatu bala daripada-Mu, dan
dikeluarkan aku dari dunia ini lalu memasuki ke dalam syurga-Mu. Tiada Tuhan
yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya,
bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian.
"Dia Maha Menghidupkan
dan Maha Mematikan dan Dia Maha Hidup dan tidak akan mati. Maha Suci Tuhan
sekalian hamba dan sekalian negara. Segala puji bagi Allah dengan
sebanyak-banyak pujian, sebaik-sebaik pujian dan diberkati pada setiap keadaan.
Allah Maha Besar, terlalu agung keagungan-Nya, kebesaran-Nya dan kekuasaan-Nya
pada setiap tempat. Ya Allah, sekiranya Engkau telah menulis kematianku, maka
ampunilah dan rahmatilah aku daripada dosa-dosa dan tempatkanlah aku di dalam
Syurga 'Adn.
"Tiada Tuhan melainkan
Allah, Dia Maha Menghidupkan dan Mematikan, Dia Maha Hidup dan tidak akan mati.
Maha Suci Tuhan segala hamba dan negara. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian
alam dengan sebanyak-banyak pujian sebaik-sebaik pujian dan diberkati pada
setiap keadaan. Allah Maha Besar, terlalu agung keagungan-Nya, kebesaran-Nya
dan kekuasaan-Nya pada setiap tempat. Ya Allah, sekiranya Engkau memberikanku
penyakit untuk mencabut rohku, maka letakkanlah rohku dalam golongan roh-roh
orang yang terdahulu mendapat kebaikan dan jauhkanlah aku daripada neraka
sebagaimana Engkau menjauhkan orang yang terdahulu mendapat kebaikan
daripada-Mu."
Q&A Isu
#26 m/s 48-49