“Mimpi
Nabi Muhammad
Bukan
Calang Calang Orang”
Datuk Hj. Abu Hassan Din al-Hafiz
Ada
seorang sahabat menceritakan dia pernah bermimpi bertemu Rasulullah beberapa
tahun lalu. Pada mulanya dia tidak tahu
itu Nabi Muhammad. Tetapi di dalam mimpi
itu dia terpesona melihat wajah seseorang yang bercahaya bak bulan purnama,
memakai serban dan jubah putih tersenyum.
"Hati
kecil saya terdetik mengatakan itulah Nabi Muhammad s.a.w.!" cerita
sahabat saya itu meskipun dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah baginda
yang disinari cahaya.
Selepas
bermimpi itu, beliau terus menceritakan kepada bapanya. Lalu bapanya meminta
supaya merahsiakan mimpi bertemu Nabi bimbang menimbulkan fitnah. Tidak lama
kemudian sahabat saya itu mengerjakan umrah dan telah melawat makam Nabi
Muhammad s.a.w. di Masjid Nabawi di Madinah.
Walaupun
kini beliau telah menjadi seorang yang terkenal, hidup senang dan bersifat
pemurah lagi tawaduk tetapi sahabat saya itu tidak mahu lagi bercerita kisahnya
bermimpi bertemu Nabi Muhammad itu meskipun beberapa kali didesak dan dirayu.
Ada
seorang lagi sahabat ini mengaku pernah bermimpi Rasulullah. Kisah itu berlaku
sewaktu lelaki ini berada dalam zaman 'kejahilan yang amat sangat, minum arak,
berjudi, berzina dan kaki perempuan. Malah saya mendapat tahu lelaki ini juga
terlibat kegiatan maksiat siang dan malam.
Beliau
menceritakan, suatu malam, dia terjaga daripada tidur. Lama dia termenung
memikirkan mimpinya. Semasa bermimpi, dia melihat seorang lelaki yang
bercahaya-cahaya dilimpahi nur pada wajahnya, tetapi memberi isyarat supaya dia
taat kepada Allah dan Rasulullah, mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan
apa yang dilarang.
Seperti
kisah pertama, lelaki kedua ini juga seolah-olah mengetahui itulah baginda Nabi
Muhammad s.a.w. walaupun tiada siapa
memberitahunya. Bahkan dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah dalam
mimpinya itu kerana dilimpahi cahaya.
Selepas
bermimpi itu, lelaki berkenaan terus menangis dan mengambil wuduk, bersolat dan
bertaubat nasuha dinihari itu. Sejak bermimpi itu lelaki berkenaan kembali
menjadi seorang Muslim yang sebenar.
Beliau
tidak lagi mahu terlibat dengan sebarang kegiatan maksiat seperti dulu.
Kehidupan beliau juga senang dan diberkati Allah. Beliau juga
sudah mengunjungi makam Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah setelah
mengerjakan umrah.
Kedua-dua
kisah di atas pengakuan kisah benar antara mereka yang pernah bermimpi bertemu
Rasulullah semasa tidur. Syukurlah kedua-dua kisah di atas mereka mendapat
petunjuk supaya taat kepada Allah dan Rasul. Malah lelaki kedua itu diberi
hidayah dan bertaubat selepas bermimpi bertemu Rasulullah.
PERSOALANNYA
adakah kedua-dua kisah mereka ini benar-benar bermimpi 'bertemu Nabi Muhammad
s.a.w.' dan bukannya cuma mainan tidur?
"Kalau
betul itu adalah Rasululullah, maka dia bukanlah calang-calang orang. Dia
adalah manusia istimewa kerana terpilih untuk bertemu dengan pesuruh
Allah," jelas Datuk Haji Abu Hassan Din al-Hafiz, 64, ulama terkenal tanah
air.
Beliau
yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur, menegaskan memang
terdapat hadis-hadis yang menyatakan bahawa: "Barang
siapa yang telah melihatku di dalam tidurnya (mimpi), maka ia sesungguhnya
telah melihatku, kerana syaitan tidak (mampu) menyerupai gambaranku." - (Hadis riwayat al-Bukhari)
Begitu
juga ada hadis lain yang berbunyi: "Barang
siapa yang telah melihatku di dalam tidurnya (mimpi), maka ia sesungguhnya
telah melihatku, kerana syaitan tidak (mampu) menyerupaiku, dan mimpi seorang
mukmin adalah satu juzuk dari 46 juzuk dari kenabian!" - Hadis riwayat al-Bukhari.
Bagaimanapun,
Datuk Abu Hassan Din menjelaskan, hadis riwayat al-Bukhari itu adalah
pernyataan Nabi Muhammad kepada para sahabatnya yang bertanya semasa baginda
masih hidup.
Bagaimanapun,
persoalan timbul apabila ada umat Islam di akhir zaman yang mengaku bermimpi
berjumpa Rasulullah s.a.w. sedangkan mereka tidak pernah melihat wajah dan rupa
sebenar Nabi Muhammad seperti sahabat-sahabat baginda tadi.
Bagaimanakah
umat akhir zaman ini hendak memastikan apa yang dilihat itu benar-benar wajah
Rasulullah di dalam mimpi dan bukan khayalan atau syaitan semata-mata?
"Itulah
yang menjadi tanda tanya ramai orang, malah saya sendiri sering kali diajukan
soalan sedemikian. jadi benarkah yang hadir di dalam mimpi seseorang itu adalah
Rasulullah s.a.w.?
"Jawapannya
mungkin betul dan mungkin juga boleh jadi tidak! Kita tidak ada jawapan yang
konkrit terhadap soalan yang samar-samar kesahihannya," jelas Datuk Abu
Hassan Din lagi.
Lalu
beliau bertanya: "Pernahkah seumur hidup kita bersua muka dengan
Rasulullah? Jawapannya sudah tentu tidak, malah ayah ibu dan datuk nenek kita
sendiri pun tidak pernah hidup sezaman dengan Rasulullah.
"Adakah
kita kenal dengan Rasulullah? Kita hanya digambarkan tentang pesuruh Allah ini
hanya melalui hadis-hadis dan al-Quran sahaja. Jadi bagaimana kita boleh
pastikan itu adalah Rasulullah, hanya sekadar yang datang dalam mimpi itu
mengaku: Ya... Ana Rasulullah ataupun terdetik di hati mengatakan: Ya! Inilah
Rasulullah! Semua itu fakta yang tidak kuat!" jelasnya.
Jadi,
bagaimana pula kita boleh pastikan yang hadir di dalam mimpi itu benar-benar
Rasulullah?
"Sebab
itulah saya katakan tadi, perkara ini tidak perlu dijadikan isu dan jika benar
itu adalah Rasulullah mengapa perlu diheboh-hebohkan?
"Sebab
kita semua tidak pernah melihat Rasulullah dan hidup sezaman dengannya. Tidak
perlu diheboh-hebohkan benda yang tidak pasti," terang Datuk Abu Hassan
Din.
Benarkah
ada nas dalam al-Quran atau hadis-hadis mengatakan jika kita mimpi bertemu
dengan Rasulullah ini
adalah benar dan sahih, malah jika seseorang bermimpi bertemu Nabi akan
mendapat syafaat ataupun kelebihan di akhirat kelak?
"Tidak!
Tidak ada nas ataupun hadis yang mengatakan jika seseorang itu bermimpi
berjumpa Rasulullah dia akan mendapat pahala, syafaat ataupun kelebihan.
"Seingat
saya hanya satu sahaja hadis yang mengatakan: Sesiapa yang menziarahi kuburku
maka dia wajib mendapat syafaatku! - Hadis riwayat Dar Qutni.
"Tak
ada pun hadis yang mengatakan jika seseorang itu mendapat mimpi berjumpa
dengan Rasulullah akan mendapat syafaat," tegas Datuk Abu Hassan Din lagi.
Beliau
juga menerangkan jika ada si polan atau si polan itu mengatakan dia bermimpi
Nabi Muhammad datang berjumpa dengannya dan mengajar ilmu-ilmu, zikir, wirit
yang tidak pernah diajar sebelum ini, itu juga tidak benar sama sekali.
"Itu
lagilah pembohong. Kita sendiri tahu, kewafatan Rasulullah itu adalah setelah
sempurnanya ajaran Islam. Jadi, jika Rasulullah muncul di dalam mimpi dan
mengajar zikir-zikir dan wirit bermakna Rasulullah wafat dalam keadaan ajaran
Islam belum lagi sempurna!" tegas Datuk Abu Hassan Din.
Bukankah
syaitan itu tidak boleh menyerupai atau pun menjelma dalam bentuk wajah Nabi Muhammad?
Jadi bagaimana pula dengan situasi ini?
"Ya!
Memang menurut alim ulama syaitan tidak boleh menyerupai wajah Rasulullah.
Tapi kita kena ingat iblis pernah berjanji kepada Allah seperti yang terdapat
dalam surah al-Hijr. Ayat 15:39: Wahai Tuhanku! Kerana
Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan
memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia
ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya."
Sambil
membelek-belek tafsir al-Quran, Datuk Abu Hassan Din menjelaskan syaitan tidak
jemu-jemu berusaha untuk menyesatkan umat Nabi Muhammad pada akhir zaman.
"jadi
kita perlu ingat memang syaitan tidak boleh menyerupai Rasulullah tapi dia
boleh menggunakan tipu muslihat. Mungkin boleh menyerupai orang lain, seperti
Sayidina Ali r.a, Sayidina Abu Bakar r.a dan Sayidina Othman r.a. dan mengaku:
'Ana Rasululullah.' Siapa tahu? Sedangkan mereka semua itu (yang bermimpi) pun
kita tidak pernah berjumpa dan hidup sezaman dengan Baginda.
"Saya
tidak katakan yang mimpi berjumpa dengan Rasulullah itu adalah bohong. Cuma
kita tidak bolehlah terima seratus peratus mimpi tersebut sebagai mimpi yang
betul.
"Sebab
mimpi ini ada pelbagai jenis, ada yang datang daripada syaitan, ada daripada
khayalan kita hari-harian dan ada ilham dari Allah. Sedangkan dalam al-Quran
pun ada menyebut tentang mimpi itu adalah tidak sahih seperti kita lihat dalam
surah Yusof."
"Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: Sesungguhnya aku
mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang
kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai
lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir), terangkanlah kepadaku
tentang mimpiku ini, kalau kamu orang-orang yang pandai mentakbirkan mimpi.
"Mereka menjawab: Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang
bercampur-aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang
sedemikian) itu." - Surah Yusof. Ayat 43 dan 44.
Datuk
Abu Hassan Din seterusnya berpesan: "Pesan saya janganlah mudah sangat
percaya tentang mimpi, kerana
ternyata mimpi itu hanya mainan tidur dan bercampur-baur. Kita tidak tahu mimpi
itu sahih ataupun tidak.
"Jika
kita mimpi bertemu Rasulullah, buat apa diheboh-hebohkan. Tak mungkin
Rasulullah menyuruh diheboh-hebohkan. Jadi seelok-eloknya diam sahaja kerana
ini mungkin akan menimbulkan pelbagai spekulasi masyarakat kepada seseorang
itu.
"Jika
mimpi itu menyuruh seseorang itu membuat sesuatu, tengoklah benda yang disuruh
itu benda baik atau tidak, berlandaskan ajaran agama ataupun tidak. Jika
perkara yang disuruh itu baik tidak jadi halangan untuk dilaksanakan, tapi jika
benda itu menyuruh ke arah kejahatan itu sah-sah adalah syaitan!"
Sekarang
jelaslah, bahawa mereka yang dapat bermimpi bertemu Rasulullah itu bukanlah
calang-calang orang seperti ditegaskan Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz tadi.
Seperti
dua kes tadi, wajarlah mereka merahsiakannya jika mimpi itu benar-benar membawa
kebaikan kepada dirinya. Sebab sekarang ini, banyak sangat kita lihat di
Internet dan blog, orang mengaku bermimpi bertemu Rasulullah.
Jadi,
ikutlah nasihat Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz tadi, jika bermimpi bertemu
Rasulullah tidak perlulah diheboh-hebohkan sebab ia boleh menimbulkan
kontroversi dan riak di dalam masyarakat.
Wallahuaklam!
MASTIKA
Feb 2013