Mimpi Jumpa
Rasulullah
Raja Raja
Melayu Bermimpi
Rasulullah Bukan
Mitos
MIMPI bertemu Nabi Mu¬hammad
s.a.w. bukan sahaja berlaku di kalangan ahlul bait, para ulama dan wali-wali
Allah. Bahkan ia juga berlaku ke atas beberapa orang sultan di Alam Melayu.
Malangnya mimpi berjumpa nabi
tersebut sering disalah tafsir oleh paraorientalis Barat dan sarjana
tempatan yang terdiri
daripada orang Melayu sendiri sebagai hanya suatu mitos atau perkara
khayalan semata-mata.
Walhal, Nabi Muhammad s.a.w.
pernah berjanji dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Sahih Bukhari yang
bermaksud: "Berilah nama-nama kalian dengan
namaku, dan jangan memakai gelar seperti gelarku, dan barang siapa bermimpikan
aku dalam tidurnya sungguh ia telah melihataku, maka sungguh syaitan tidak
mampu menyerupai diriku, dan barangsiapa yang berdusta dengan mengatas namakan
namaku dengan sengaja, maka hendaknya dia bersiap akan tempatnya di dalam
neraka."
Mimpi
Merah Silu @ Sultan Malikul Saleh
DALAM Hikayat Raja Pasai, selain
menceritakan keturunan raja-raja Pasai juga menceritakan tentang mimpi Merah
Silu bertemu Rasulullah s.a.w. Semasa berburu di hutan, anjing Merah Silu yang
bernama si Pasai telah menyalak kuat dan berdakap tujuh kali dengan pelanduk.
Di atas sebuah bukit ada seekor semut sebesar kucing. Merah Silu makan semut
tersebut dan tempat itu dijadikan negeri bernama Semudera. Lama-kelamaan ia
disebut sebagai Samudera.
Dalam satu riwayat disebutkan
Nabi Muhammad s.a.w. pernah berwasiat kepada para sahabat supaya berdakwah di
negeri Samudera setelah baginda wafat. Bawa sebuah kapal dan alat kelengkapan
dan ambil seorang fakir dari negeri Mengiri untuk mengislamkan seluruh rakyat negeri
Samudera.
Tidak lama kemudian Nabi Muhammad
s.a.w. wafat. Syarif yang mentadbir Kota Mekah ketika itu mahu melaksanakan
wasiat Nabi Muhammad s.a.w.
Syeikh Ismail
ditugaskan keSamudera. Syeikh
Ismail singgah di negeri Mengiri. Raja Mengiri iaitu Sultan Muhamad seorang
yang berketurunan daripada sahabat baginda Sayidina Abu Bakar as-Siddiq. Anak
Sultan Muhamad menyamar sebagai fakir menumpang kapal tersebut. Kapal itu
belayar ke Samudera.
Merah Silu bermimpi bertemu dengan
Nabi Muhammad s.a.w. Merah Silu melihat Nabi Muhammad berada di hadapannya
sambil menopang dagunya dan menutup matanya selama empat jam. Kemudian Nabi
Muhammad s.a.w. mengajar Merah Silu mengucapkan dua kalimah syahadah. Merah
Silu pun mengikut baginda mengucapkan dua kalimah syahadah.
Kemudian Baginda Nabi meludah ke
dalam mulut Merah Silu. Nama Merah Silu ditukar oleh Baginda lalu diberi nama
Sultan Malikul Saleh. Sultan Malikul Saleh diperintahkan Rasulullah hanya
memakan binatang halal yang telah disembelih sahaja.
Nabi berkata lagi dalam masa
empat puluh hari, akan datang sebuah kapal dari Mekah dan Sultan Malikul Saleh
hendaklah menerima agama Islam yang di-bawanya. Apabila Merah Silu terjaga
daripada tidur, Merah Silu mendapati kemaluannya telah bersunat dan mulutnya
lancar membaca al-Quran 30 juz.
Sebuah kapal dari Mekah telah
berlabuh di Pelabuhan Samudera di Teluk Terli. Syeikh Ismail menghadap Sultan
Malikul Saleh dan memintanya mengucap dua kalimah syahadah. Sultan Malikul
Saleh pun mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar. Sultan Malikul Saleh
diberikan senaskhah al-Quran oleh Fakir Mohamad.
Sultan Malikul Saleh dapat
membaca dengan lancar sekali. Kemudian Syeikh Ismail berjaya mengislamkan
seluruh rakyat Samudera. Syeikh Ismail menabalkan Sultan Malikul Saleh menjadi
Raja Samudera Darul Salam. Menteri yang bernama Tun Seri Kaya diberi nama Sayid
Ghiatuddin dan Baba Kaya dengan nama baru Sayid Semayamuddin.
Selepas habis tugasan, Syeikh
Ismail kembali belayar pulang ke Mekah. Sultan menghadiahkan fidyah ambar, kapur
barus, ganaru, cendana, kemenyan, kelembak, cengkih dan pala kira-kira seratus
bahara.
Fakir Mohamad tinggal di Samudera
dengan mengajar agama Islam. Sementara itu satu lagi kaum di Samudera yang
enggan memeluk agama Islam telah bertindak melarikan diri ke hulu Pasangan yang
kini dikenali sebagai orang Gaya.
Namun kerajaan Islam
Samudera-Pasai runtuh juga dikuasai Majapahit apabila Sultan Samudera Pasai
yang terakhir bernama Sultan Ahmad Perumudal Perumal berlaku zalim dan bernafsu
serakah hingga sanggup menodai anaknya sendiri.
Mimpi
Raja Kecil Besar @ Sultan Muhammad Syah
MELAKA menerima keda-tangan Islam
pada zaman pemerintahan Raja Kecil Besar. Pengislaman Raja Melaka itu dianggap
oleh orientalis dan diikuti oleh sarjana tempatan sebagai suatu mitos
kedatangan Islam semata-mata. Menerusi Sulalatus Salatin, Raja Kecil Besar
telah diriwayatkan menerima agama Islam secara langsung dari Rasulullah s.a.w.
melalui mimpi.
Pada suatu malam Raja Kecil Besar
bermimpi berpandangan dengan keelokan wajah Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian Rasulullah
s.a.w. mengajar Raja Kecil Besar mengucap dua kalimah syahadah. Raja Kecil
Besar ditukar namanya oleh Rasulullah dengan nama Sultan Muhammad Syah. Selepas
itu Rasulullah s.a.w. memberitahu Sultan Muhammad Syah pada keesokan hari pada
waktu Asar akan tiba sebuah kapal dari Jeddah dan orang-orang dari kapal itu
akan mendirikan solat di pantai Melaka.
Rasulullah menitahkan Sultan
Muhammad Syah untuk menuruti sahaja kata-kata orang dari kapal itu. Dengan
penuh takzim, Sultan Muhammad Syah berjanji akan menuruti segala kata-kata dan
perintah Rasulullah. Kemudian Rasulullah pun ghaib dan Raja Muhammad Syah pun
tersedar dari tidurnya.
Keesokan harinya pada hari siang,
Sultan Muhammad Syah mendapati badannya berbau narawastu. Zakar baginda sudah
dikhatankan. Sementara itu pula mulut Sultan Muhammad Syah tiada henti-henti
menyebut kalimah syahadah. Kelakuan dan tingkah laku Raja Kecil Besar dipandang
aneh. Raja Perempuan bimbang melihat perlakuan raja dan memberitahu Bendahara.
Ketika Bendahara sampai, baginda masih menyebut: "La ilia haillallah
Muhammadur Rasulullah!"
Sultan Muhammad Syah pun
menceritakan kepada Bendahara tentang mimpinya. Bagi membuktikan mimpi Sultan
Muhammad Syah adalah benar, Sultan Muhammad Syah menunjukkan zakarnya yang
telah dikhatankan. Sultan juga memaklumkan kepada Bendahara akan sabda
Rasulullah s.a.w. akan kedatangan sebuah kapal dari Jeddah pada waktu Asar
nanti.
Pada waktu Asar, sebuah kapal
dari Jeddah berlabuh di Melaka. Makhdum kapal itu bernama Syed Abdul Aziz.
Mereka turun mendirikan solat di pantai Melaka. Orang-orang Melaka hairan
melihat kelakuan orang dari atas kapal itu yang sedang tunggang-tonggek.
Sultan Muhammad Syah yang
diiringi pembesar negeri pun tiba di pelabuhan lantas menjemput Makhdum Syeikh
Abdul Aziz menaiki gajah bersama-sama Sultan Muhammad Syah diikuti oleh
rombongan makhdum ke Istana Melaka untuk mengajar hukum-hakam agama Islam
kepada Sultan Muhammad Syah dan mengislamkan rakyat Melaka ketika itu. -
mohdaliatan7@gmail.com
Mastika Februari
2013
Link berkaitan