Bolehkah yang uzur terus makan?
Soalan:
Seseorang yang boleh berbuka kerana musafir,
bolehkah dia teruskan makan apabila sudah sampai ke tempat yang dituju ataupun
kena tahan diri sehingga waktu berbuka. Macam itu juga bagi yang sakit pada
awal hari tapi sembuh sebelum waktu berbuka, bolehkah dia terus makan atau kena
tunggu sehingga masuk waktu berbuka?
Jawapan:
1. Para ulama seterusnya berbeza pendapat mengenai seseorang musafir yang berbuka puasa; apakah dia wajib menahan diri dari makan dan minum apabila sudah sampai ke negeri atau tempat tujunya, sedangkan orang ramai berpuasa. Pendapat yang terpilih; dia tidak wajib menahan diri dari makan dan minum kerana dia tidak berpuasa dan perbuatan itu tidak memberi apa-apa makna kepadanya. Ia bukan suatu puasa yang sah kerana dia telah pun berbuka. Tiada dalil syarak yang mewajibkannya berbuat demikian. Kata Abdullah bin Masud r.a:
“Sesiapa yang makan pada awal hari, maka dia boleh makan pada akhir hari” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra).
Demikian juga bagi wanita haid,
nifas dan sakit. Mereka boleh makan tanpa perlu menahan diri pada siang hari
pada bulan Ramadan.
2. Namun, hendaklah mereka
menyembunyikan perbuatan makan di siang hari tersebut. Sekalipun syarak
mengizinkan mereka, namun orang ramai tidak mengetahuinya, maka itu akan
menjadi tohmahan dan fitnah. Begitu juga ia boleh menggalakkan perbuatan tidak
berpuasa bagi mereka yang tidak layak berbuka pada bulan Ramadan. Islam agama
yang berusaha mengelakkan fitnah dan salah sangka dalam kalangan manusia.
3. Maka, seseorang yang mempunyai
alasan yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan seperti faktor
musafir ini –seperti perbahasan di atas-, maka dia boleh berbuka dan diganti
pada hari-hari yang lain.