Mayat Hitam Jadi Putih
Selepas Diwudukkan
Diceritakan oleh
Ustaz Haron Ibrahim
TELAH
banyak cerita dan kisah yang kita dengar atau baca mengenai kejadian
mayat-mayat yang diaibkan Allah. Kisah dan kejadian-kejadian' itu memang
menakutkan, tapi yang lebih penting bagi saya ialah kita sebagai hamba-Nya
hendaklah insaf dan membersihkan diri kita supaya kita juga nanti tidak akan
diaibkan sedemikian rupa.
Sepanjang
lebih 15 tahun menguruskan jenazah, memang banyak pengalaman pelik yang telah
saya lalui. Kisah yang ingin saya ceritakan kali ini ialah mengenai jenazah
yang mendapat kemuliaan daripada Allah. Saya percaya, kisah ini dapat dijadikan
pedoman supaya kita sentiasa memilih jalan hidup yang lurus dan diredai Allah.
Kalau
tidak silap saya, kisah ini berlaku dalam 12 tahun yang lalu. Ketika itu saya
baru dua tiga tahun bekerja dengan Pejabat Agama Islam Klang. Yang menimbulkan
keinsafan ialah apabila Allahyarham itu saya wudukkan saja, kulitnya yang hitam
tiba-tiba bertukar menjadi putih kemerah-merahan. Wajahnya pula perlahan-lahan
bertukar seperti sedang tersenyum. Sangat tampan, berbeza dengan raut wajahnya
semasa hidup.
Mayat
tanpa waris ini saya uruskan di Hospital Klang dan umurnya dalam lingkungan
60-an. Yalah...orang dah tua, wajahnya orang kata tak tampan berbanding orang
muda. Tambahan pula Allahyarham ini mualaf, hitam pula kulitnya. Sudahlah
begitu, kaki kanannya cacat
Semasa
memandikannya, tak ternampak perubahan apa-apa. Tidak ada yang ganjil berlaku.
Tapi yang luar biasanya, apabila kena saja wuduk, dengan takdir Allah kulitnya
yang hitam dengan tidak semena-mena berubah warna menjadi kemerah-merahan. Wajahnya
yang kita kata tak lawa tiba-tiba pula menjadi tampan, dan yang menginsafkan
saya, mukanya dalam keadaan tersenyum. Cukup tampan, manis dan menyejukkan
mata. Bukan saya sahaja, malah arwah Anjang Aki yang sudah banyak pengalaman menguruskan
jenazah juga terperanjat dengan kejadian itu.
"Haron!
Haron," tiba-tiba Anjang Aki memanggil saya. "Mayat ini cantiklah. Mari
cepat tengok,"katanya lagi sambal menyuruh saya memandang ke arah jenazah
yang sedang kami uruskan itu.
Tanpa
berlengah saya terus pandang wajah Allahyarham. Allah Maha Besar... betul apa
yang dicakapkan oleh Anjang Aki itu. Waktu itu kami menyaksikan kebesaran Allah
dan kemuliaan yang diberikan-Nya kepada hamba-Nya yang soleh.
Mulanya
memang kami tak sangka akan berlaku kejadian ini sebab semasa jenazah itu
dimandikan tak ada perubahan berlaku. Tapi apabila saya mula wudukkan saja,
bermula di bahagian muka, kulitnya yang hitam tiba-tiba beransur-ansur jadi
putih.
Lebih
menakjubkan, lepas itu kami saksikan macam darah dimasukkan ke dalam badannya.
Dimulai dengan bahagian muka. Mula-mula sikit, tapi makin lama makin banyak.
Darah itu kemudiannya turun perlahan-lahan sampai ke hujung kaki. Selain
keanehan itu, tidak ada keanehan Iain yang berlaku. Badannya sejuk macam mayat
biasa.
Bagi
saya, kejadian tersebut menyerlahkan betapa Allah amat menyayangi hamba-Nya
yang soleh. Balasan baik itu diberi dan ditunjukkan-Nya di dunia lagi.
Allahyarham
ini memang saya kenal. Dia penduduk tetap Klang dan seorang yang sangat baik.
Allahyarham selalu berulang-alik ke Masjid Sultan Sulaiman, Klang. Saya memang
cam Allahyarham sebab sebelum itu saya dapat tahu dia meninggal dunia. Tambahan
pula kaki kanannya cacat. Betis dan pahanya seperti melekat.
Apa
yang mengagumkan kami ialah Allahyarham ini walaupun miskin, fakir, tapi dia
tak pernah meminta-minta. Hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang. Kerjanya ialah menjual ubat-ubatan tradisional dari satu tempat
ke satu tempat.
Walaupun
pendapatannya sedikit, tapi dia cuma terima wang harga ubatnya saja. Kalau
orang beri dia lebih, sebagai sedekah, dia tak ambil. Dia akan pulangkan balik
wang itu kerana prinsip hidupnya ialah dia tidak mahu orang bersimpati dengan
dirinya. Dia mahu berdikari walau macam mana sulit sekalipun.
Saya
juga diberitahu, apabila Allahyarham membeli roti, selalunya dia akan beli dua
ketul. Sebagai contoh, kalau roti itu harganya 50 sen seketul, dia akan beli
dua ketul. Seketul dia makan dan seketul lagi dia beri pada budak yang tolong
membelikan roti itu.
Selain
itu, Allahyarham cuma ada sepasang pakaian saja dan sehelai tuala. Apabila dia
hendak mandi, pakaian yang kotor itu dia basuh. Selepas mandi pakaian itu
dijemur dan dia pakai tuala. Apabila pakaiannya sudah kering, baru dia pakai semula
pakaian tadi. Tuala itu dia jemur semula supaya boleh dipakai balik.
Satu
lagi, Allahyarham tidak mempunyai isteri dan anak. Selain itu dia suka
berhijrah dari masjid ke masjid kerana tidak mempunyai rumah sendiri. Kalau
Allahyarham hendak beli rumah memang tak mampu sebab dia tak ada wang. Tapi
Allahyarham ini bukan orang yang suka meminta-minta. Walaupun dia layak untuk
mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor, tapi dia tak mahu
memohon.
Begitulah
kemuliaan yang Allah berikan kepada orang yang soleh dan zuhud. Bagi saya yang
mengenali Allahyarham, memang layaklah dia mendapat kemuliaan sedemikian rupa.
Salin & tempek
dari
Siri Kisah Misteri
Utusan. Mayat Pedoman & Ikhtibar. Koleksi Kisah Benar Mastika