Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

14 June 2013

UMUM: Bomoh Temberang:- .... ditipu Tok Gajah



BOMOH TEMBERANG
Muslihat Tok Gajah
Peram Duit 3 Hari
 





SEJAK seminggu yang lalu, saya pelik melihat perangai Ismail yang lebih mesra dengan panggilan Mail oleh kawan-kawan. Susah benar hendak berbual dengannya. Sewaktu melintasi depan kedai kopi juga dia hanya mengangkat tangan sahaja. Biasanya dia mesti akan berhenti melepak.
 
"Susah benar nak tengok Mail sekarang ni. Apa yang dia sibukkan til," soal saya kepada Dolah.
 
"Kau tak tahu ke? Dia nak jadi orang kaya sekarang ni. Sebab tulah sibuk," balas Dolah sambil ketawa.
 
Saya kenal benar perangai Dolah, dia memang suka mengusik. Tetapi apa sebenarnya maksud Dolah?
 
Kata Dolah, Mail sekarang sibuk mencari barang kebal. Katanya ada 'projek baik'. Tetapi apa projeknya Dolah tidak ceritakan kepada saya. Bagi mendapatkan kepastian, malam itu saya pergi ke rumah Mail. Kebetulan sewaktu saya sampai, Mail baru sahaja keluar dari kereta Kancilnya. Saya terus menyapa Mail.
 
"Sibuk benar kau Mail sekarang ni. Dari mana," soal saya.
 
Mail terkejut dengan teguran saya. Dia kemudian tersengih apabila melihat saya berada di belakangnya. Dia mengajak saya berbual di dalam rumah. Mail membuka cerita. Katanya, dia sekarang sibuk mencari ba-rangan kebal seperti batu delima merah, parang lama yang tern- bus, kulit kerbau landau, besi kuning atau apa sahaja yang boleh membuatkan si pemakainya kebal.
Kenapa? soal saya lagi.
 
Balas Mail, dia telah bertemu dengan seseorang yang boleh tarik duit. Hanya khadam barangan ke­bal sahaja yang berupaya menarik duit itu.
 
"Betul ke Mail? Tak berdosa ke?" soal saya dengan penuh persoalan.
 
Kata Mail, perkara itu tidak salah. Mereka hanya tarik duit orang yang tidak mengeluarkan zakat. jadi duit itu datang daripada sumber yang bersih. Orang yang menarik duit ini juga bukan calang-calang orang. Dia orang alim.
 
"Kalau aku sebut nama pak cik ni mesti kau tak percaya. Satu Malaysia kenal dia. Bukan calang-calang orang," kata Mail dengan penuh bangga.
 
Siapa? soal saya lagi.
"Tok Gajah!" balas Mail ber-sungguh-sungguh.
 
Terkejut saya mendengar ja-wapan Mail. Bukankah Tok Gajah telah meninggal dunia. Siapa tak kenal dengan Tok Gajah, pahlawan Melayu Pahang yang gagah perkasa menentang Inggeris. Mustahil! Tetapi Mail bersung-guh-sungguh mengatakan lelaki yang dikenalinya itu adalah Tok Gajah. Lelaki itu sendiri mengaku dia sebagai Tok Gajah. Dia men-dakwa di tubuhnya mempunyai parut semasa berperang dengan British. Saya dalam dilema. Antara per­caya  dengan  tidak.  Mail  terus menukar kembali kepada topic asal. Dia bertanya kepada saya adakah saya tahu di mana hendak mencari barang-barang kebal tersebut. Saya mengatakan kepadanya, kalau tidak salah, bapa saudara ada menyimpan sebentuk besi kuning. Mail bersungguh-sungguh meminta saya untuk meminjam besi itu.
 
Dipendekkan cerita, saya berjaya mendapatkan besi tersebut. Mail mengajak saya untuk bertemu dengan Tok Gajah dan melihat sendiri rupa pahlawan Melayu yang terbilang itu. Pada mulanya saya menolak ajakan tersebut, tetapi apabila Mail bersungguh-sungguh, akhirnya saya setuju. Malam Selasa berikutnya, saya bersama Mail menuju ke rumah cucu Tok Gajah di Machang, Kelantan. Sampai di sana, seorang lelaki menjemput kami masuk. Melangkah masuk sahaja ke dalam rumah, saya lihat seorang lelaki yang sangat tua sedang duduk   ber-sila di ruang tamu. Lelaki itulah yang dikatakan sebagai Tok Gajah.
 
Memang, sekiranya melihat daripada raut wajahnya, umur lelaki itu sangat lanjut. Kulit mukanya sudah kendur dan menggeleber. Seterusnya kami dibawa masuk ke sebuah bilik yang ditutupi dengan kain kuning. Melihat keadaan da­lam bilik itu, dengan tidak semena-mena saya berasa seriau. Saya menyerahkan besi ku­ning itu kepada Tok Gajah. Dia terus menilik besi itu lalu meng-genggamnya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Dia mengangguk-anggukkan kepala.
 
"Ini betul besi kuning. Rasanya benda ni boleh buat," balas Tok Gajah dengan nada yang sangat perlahan. Mail tersenyum lebar. Dia menepuk-nepuk paha saya berkali-kali.
 
"Kita cuba dulu," balas Tok Gajah.
 
CucuTok Gajah menghamparkan sehelai kain kuning. Lalu Tok Ga­jah memejamkan mata dan mem­baca sesuatu. Saya terlopong me­lihat suasana itu. Mail pula dari tadi lagi tersengih-sengih seperti kerang busuk. Apa yang meng-gembirakannya pun saya tidak tahu. Hampir 20 minit berlalu, kain kuning yang ter hampar tiba-tiba sahaja bergerak. Kain itu dilihat naik sedikit demi sedikit. Sungguh ajaib. Bagaimana kain itu boleh bergerak sendiri. Mata saya tidak berkalih ke mana-mana. Hanya tertumpu di situ. Saya tidak sabar untuk melihat apakah yang berada di bawah kain itu. Sebaik kain dibuka, saya ternampak ada dua batang buluh dan tiga keping duit RM10.
 
Tok Gajah menghulurkan se-batang buluh berserta sekeping duit sepuluh ringgit kepada saya. Kata Tok Gajah itulah buluh perindu. Dari mana datangnya buluh perindu dan duit itu, saya tidak tahu. Lalu, Tok Gajah mula bercerita mengenai khasiat buluh perindu. Selepas itu ceritanya mula berkisar mengenai zaman peperangan me-nentang British dahulu. Mendengar hujah dan cerita daripada Tok Gajah, sedikit demi sedikit saya mula percaya yang lelaki tua di depan saya ini adalah Tok Gajah.
 
"Ini baru permulaan. Nampaknya menjadi. Ingat dengan syarat yang aku cakap," kata Tok Gajah kepada Mail. Spontan Mail menganggukkan kepala. Semasa dalam perjalanan pulang, saya masih lagi tertanya-tanya kepada Mail dari mana datangnya buluh perindu itu. Perkara itu benar-benar mengujakan saya.
 
"Kan aku dah cakap. Dia Tok Gajah. Sekarang macam ni. Kau nak kaya tak?" soal Mail.
 
Kata Mail, sekiranya mahu, saya perlu melabur sedikit. Tok Gajah mahu sedikit ganjaran atas kerja yang dilakukannya. Tok Gajah tidak boleh memakan duit yang ditarik tadi, tetapi dia hanya boleh mengambil duit yang disedekahkan. Tambah Mail, kerja tarik duit bukanlah satu kerja yang mudah. Tok Gajah terpaksa berperang dengan orang di alam ghaib untuk keluarkan duit itu. Saya makin teruja dengan cerita Mail. Berapa upahnya? soal saya lagi.
 
Menurut Mail, Tok Gajah akan memberikan RM100 ribu bagi setiap RM100 yang kita laburkan. Wow! Begitu banyak. Sekiranya mahu banyak, besarkan modalnya. Tetapi modalnya hanya sekali bagi sahaja. Tidak boleh tambah untuk kali kedua. Lalu tanpa berfikir panjang, saya terus bersetuju de­ngan syarat itu. Hati saya mula berbunga riang Dalam fikiran saya sudah terbayang saat-saat menjadi orang kaya baru. Mail memberikan tempoh hanya tiga hari untuk saya mencari modal untuk dilaburkan.
Sampai di rumah, saya terus tersandar di kerusi. Fikiran saya melayang teringatkan akan kereta besar, rumah besar dan juga percutian mewah di negara-negara Eropah. Semua itu sudah lama saya impikan. Tetapi impian itu tiba-tiba sahaja tersentak. Saya menyeluk poket belakang seluar lalu mengeluarkan dompet. Sebaik dibuka, hanya beberapa keping duit sepuluh ringgit dan lima ringgit sahaja. Aduh! Saya menepuk dahi.
 
Dalam bank juga setelah dihitung, hanya terperam RM200. Kalau RM200 maknanya baru RM200 ribu. Tidak cukup hendak beli semua itu. Harapan saya untuk menjadi kaya makin suram. Kepala saya ligat mencari cara untuk menambahkan modal pelaburan. Semalaman saya tidak dapat lelapkan mata. Malam itu saya terlena bersama harapan saya yang semakin kelam. Pagi esoknya, sebaik sahaja bangun daripada tidur, tiba-tiba sahaja saya mendapat satu idea yang sangat baik. Idea itu mampu merealisasikan impian saya menjadi orang kaya. Segera saya siapkan diri dan terus pergi ke tempat kerja dengan membawa harapan setinggi gunung.
 
"Din! Kau nak kaya," bisik saya kepada xxxxx, Din membuntangkan matanya memerhatikan saya. Dia pelik apabila pagi-pagi lagi soalan itu saya ajukan. Din nampak seperti berminat. Saya menceritakan ke-padanya apa yang berlaku malam tadi dan juga bagaimana kehebatan Tok Gajah. Sekiranya dia berminat, dia akan diberikan RM10 ribu bagi setiap seratus yang dilaburkan. Itulah cara terbaik untuk mencapai impian saya. Setelah ditilik dan direnung, akhirnya Din setuju untuk melabur sebanyak RM500.
 
Selepas waktu rehat, Rahim pula datang bertemu saya. Bisiknya, dia juga mahu membuat pelaburan. Saya terkejut dari mana dia tahu perkara ini. Katanya dia mendapat tahu dari Din. Malah Rahim mahu melabur sebanyak RM500. Tiba-tiba sahaja perasaan tamak datang dalam diri. Saya mula mengira keuntungan. Duit di tangan ada RM1,200. Pulangan yang saya dapat dalam RM1.1 juta setelah menolak pelaburan Din dan Rahim sebanyak RM50 ribu seorang. Rasanya jumlah itu masih kecil. Saya meminta Din dan Rahim mencari lagi tiga atau empat orang yang ingin melabur. Untung-untung saya mendapat laba lebih lagi. Dipendekkan cerita, Din dapat mencari lagi duit pelaburan sebanyak RM7,700. Wah! Hebat sungguh Din kerana berjaya mencari wang sebanyak itu dalam masa sehari saja. Saya berasa sungguh seronok.  Akhirnya   impian  saya tercapai.
 
 
Penat kira not RM100 setinggi bantal
TIBA hari yang dijanjikan, saya bersama Mail pergi ke rumah Tok Gajah. Kami berdua sudah tidak sabar untuk menukar taraf hidup daripada orang   miskin,   kepada   seorang jutawan. Selang beberapa jam kemudian, upacara dimulakan. Tok Gajah menghidupkan sebatang colok dan juga kemenyan. Dia juga menghamparkan kain kuning di hadapannya. Beberapa minit kemudian, kain itu sedikit demi sedikit mula bergerak dan mula menaik. Nam-pak seperti sesuatu berada di bawahnya. Tidak sabar saya untuk melihatnya. Lebih kurang hampir sejam, upa­cara menarik duit selesai. Perlahan-lahan Tok Gajah menyelak kain kuning yang terhampar itu. Saya terjenguk-jenguk untuk melihat apa yang ada di bawah kain itu. Kami gembira bukan kepalang apabila dengan mata saya sendiri, saya melihat duit RM100 bersusun-susun setinggi bantal tidur.
 
"Jumlah semua ni RM50 juta," kata Tok Gajah sambil memejamkan matanya.
RM50 juta! Wow! Saya bersorak girang di dalam hati. Kalau boleh mahu sahaja saya melompat setinggi bumbung.
 
"Tetapi duit ni belum matang. Belum boleh ambil. Datang lagi tiga hari," kata Tok Gajah.
 
Saya sedikit hampa. Tetapi se-mangat untuk menjadi kaya masih belum pudar. Kami menyerahkan semua wang pelaburan kami berdua yang bernilai lebih kurang, RM15 ribu kepada Tok Gajah. Dua hari kemudian, cucu Tok Gajah menghubungi Mail. Dia meminta kami berdua pergi dan mengira duit tersebut. Tanpa dalih, kami terus pergi ke sana. Perjalanan ke sana mengambil masa hampir satu jam. Sebelum mengira wang, Tok Gajah membacakan sesuatu dan meniupkan di muka saya dan Mail. Katanya untuk menghalang gangguan makhluk ghaib. Sebaik pintu bilik dikuak, saya nampak bertimbun duit berada di atas lantai. Semuanya duit not seratus.
 
Tanpa berlengah, kami mula mengira bahagian masing-masing. Jumlah keseluruhan bahagian saya lebih kurang berjumlah RM8.9 juta. Sekeping demi sekeping saya mengiranya lalu memasukkan ke dalam karung guni. Kami selesai mengira lebih kurang pukul 8.00 pagi. Sebaik keluar dari bilik, badan saya te-rasa sangat penat. Tok Gajah me-ngatakan wang itu sudah boleh dibawa balik. Waktu itu, tubuh yang letih serta mata yang hampir tertutup terus segar-bugar.
 
"Tapi... duitnya tak boleh pakai lagi. Karung guni ni kena simpan tempat gelap selama seminggu baru benar-benar matang," kata Tok Gajah.
Kami mengangguk. Tok Gajah mengambil guni kami lalu mem-bacakan sesuatu. Dia melepaskan kepada kami. Katanya lagi, duit itu jangan dilangkah. Dia juga ber-pesan supaya menggunakan duit itu ke jalan kebaikan, jangan sekali-kali menggunakan wang itu untuk jalan maksiat dan keburukan. Sebelum pulang, Tok Gajah meminta supaya kami berdua me-nyembelih seekor kambing jantan dan dagingnya diberikan kepada orang miskin. Kambing itu pula perlu dibeli dengan cucunya dengan harga seribu ringgit seekor. Kami bersetuju. Perkara itu akan kami lakukan keesokan harinya dengan senang hati.
 
Tiba di rumah, saya terus menyimpan wang itu ke dalam almari. Saya merebahkan tubuh ke atas katil. Saya terlena bersama satu senyuman yang sungguh manis. Malam itu saya terpaksa pergi ke rumah ibu saudara saya untuk meminjam wang membeli kambing. Saya berjanji akan membayarnya seminggu kemudian. Keesokannya, saya dan Mail te­lah menyembelih dua ekor kam­bing bagi melangsaikan syarat Tok Gajah. Daging itu kami agihkan kepada orang miskin. Seketul pun kami tidak mengambilnya.
 
Sehari demi sehari saya rasakan sangat lambat berlalu. Din dan Rahim juga mula bertanya tentang hasil pelaburannya. Mereka mula berasa ragu dengan saya. Saya meminta mereka bersabar. Saya juga berjanji akan menggandakan wang mereka. Mendengar kata-kata itu, mereka terus diam.
 
Genap seminggu, saya membuka almari di mana wang itu disimpan. Perlahan-lahan saya menarik guni itu keluar. Saya menghidu guni wang itu. Pergh! Baunya menusuk ke jiwa. Bibir saya juga tidak henti mengukir senyuman. Apabila guni wang itu dibuka, saya rasakan bagaikan mahu luruh tangkai jantung apabila mendapati semua wang yang berada di dalam guni itu bertukar menjadi duit yang dibakar oleh kaum Cina semasa kematian. Saya tersandar di katil. Wajah Din, Rahim dan ibu saudara saya mula bermain di mata. Tetapi bayangan wajah Tok Gajah dan cucunya lagi membuatkan saya berasa sangat-sangat marah. Belum sempat saya menelefon Mail, dia awal lagi menghubungi saya.
 
"Kita dah kena tipu. Ci**i betul orang tua tu. S**l," marah Mail.
 
Selepas itu kami segera ke rumah Tok Gajah. Tetapi apabila sampai di sana, kami sudah terlambat. Rumah itu telah kosong. Mereka berdua telah melarikan diri entah ke mana. Walaupun kami cuba menjejaki mereka, namun sehingga kini mereka masih belum ditemui. Saya bercadang untuk membuat laporan polis, tetapi Mail melarang. Katanya perkara itu akan memalukan diri kami sendiri.
 
Disebabkan Tok Gajah, saya terpaksa menanggung hutang ham-pir RM10 ribu. Tidak cukup dengan itu, besi kuning bapa saudara saya juga telah dilarikannya. Akibat terlalu tamak dan percaya dengan bomoh, akhirnya ia memakan diri. Selepas kejadian itu, saya telah berhenti kerja dan menjadi pelarian hampir lapan bulan. Saya malu bertemu dengan kawan-kawan serta ibu dan bapa saudara saya. Saya menyesal tidak dapat berfikir secara logik, padahal mana mungkin Tok Gajah, pahlawan Pahang itu boleh menjelma semula pada zaman ini. Saya benar-benar diperbodohkan oleh bomoh penipu.
Sekarang, barulah saya sedar, tia-da jalan pintas untuk berjaya. Saya juga serik dengan bomoh. Nasihat saya, berhati-hatilah. Memang ramai bomoh temberang di luar sana. Saya telah menjadi mangsanya.
 
Nasihat Mastika: Walaupun telah ramai mangsa diperdaya dan ditipu bomoh tarik duit ini, tapi masih ada orang Melayu yang tidak serik-serik lagi sanggup mengikut segala telunjuk bomoh temberang ini demi untuk menjadi kaya-raya dalam sekelip mata.
 
Ingat, jangan terburu-buru menyerahkan wang atau barangan berharga kepada bomoh-bomoh temberang ini. Jika merasa khuatir diperdaya pihak tidak bertanggungjawab laporkan segera kegiatan tersebut di balai polis berdekatan. Mastika percaya, segala bentuk tipu daya dan muslihat bomoh temberang ini boleh dibanteras sekiranya mangsa-mangsa tampil membantu pihak berkuasa menanganikes-kes sebegini.-PENGARANG (sahidan. Jaafar @gmail.com)
 
MASTIKA Mac 2013





<<<<<<<<<<<<  ®  v  ®  >>>>>>>>>>>>
 
** catatan  w@gim@n**
Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana  artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.
 
2013  ® ©HAK CIPTA  SELEBET  INTERNATIONAL 
* Jadilah seorang bloger yg sentiasa menghargai
hasil kerja  blogers @ penulis @ penerbit lain dengan tanpa segan silu
memberi  kredit line  kepada mereka . Paparkan kreativiti
mereka  dengan  menampilkan dari mana asal usul
bahan  asal yg anda salin dan tempek itu.