SAYA berkunjung ke sebuah restoran. Memandangkan restoran berkenaan tidak menunjukkan logo halal, saya lalu bertanya kepada pelayan restoran tersebut tentang status halal makanan yang dihidangkan. Katanya, restoran tersebut memang menghidangkan makanan halal. Tapi perasaan saya masih waswas. Namun saya tetap membuat pesanan. Saya cuba mengelak daripada makan ayam kerana khuatir jika tidak disembelih. Soalannya, apakah perasaan waswas saya itu menunjukkan makanan itu tidak halal atau memadaikah saya hanya membaca 'bismillah' untuk menghilangkan rasa waswas tersebut? Apa yang saya perhatikan, restoran tersebut ramai dikunjungi oleh Melayu Islam.
HUKUM mencari makanan yang halal adalah wajib, kecuali jika dalam keadaan yang darurat sehingga boleh memudaratkan nyawa. Halal di sini bukan hanya dalam aspek bahan sahaja, Tetapi termasuk kaedah menyediakan, keadaan pekerja yang menyediakan makanan, cara penyimpanan dan pembungkusan, cara penghantaran dan dari mana wang yang kita dapati untuk membeli makanan itu. Di Malaysia urusan ini diuruskan oleh JAKIM dan agensi agama di negeri-negeri.