Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

18 December 2014

Hidup & mati ketentuanNYA: Akhirnya Saya Mengerti ... Nyawa itu Milik ALLAH

Oleh
Norimanah Seman

SELAMA sembilan hari pemuda yang bernama Saifol itu berkelana di Kuala Lumpur mencari ketenangan. Tandas awam diJalanTuanku Abdul Rahman berhadapan panggung wayang lama menjadi tempat tidurnya, dan beristirahat siang dan malam. Rambutnya kusut seperti fikirannya, badan pula tidak terurus, dan pakaiannya compang-camping.

Sejak keluar dari rumah sembilan hari lalu, kemeja-T biru bergambar monyet korek hidung itulah yang melekat di badan-nya. Baju dan seluarnya tidak pernah berganti, selepas mandi, baju itu disarung kembali. Baunya jangan ceritalah masam, hapak, meloyakan bercampur aduk dengan arak yang tumpah ke baju-nya.


Begitulah perjalanan hidup Saifol berkelana dari satu tempat ke satu tempat mengikut komuter KTM. Ke mana saja kaki melangkah, dia akan mengikut saja, tidak ada arah tujuan. Bila penat di mana saja dia akan melabuhkan malamnya tanpa mengira tempat dengan memeluk botol arak.

Jambang dan misainya tidak terurus. Badan yang sedikit berisi dulu, kini semakin melengkung, mukanya pucat, dan matanya layu tidak bermaya. Apabila siang, Saifol duduk melepak di kerusi panjang di hadapan tandas awam itu tanpa menghiraukan orang yang datang silih berganti untuk melepaskan hajat. Semua sangsi kehadirannya yang tidak diketahui siuman atau pun gila. Hinggakan penjaga tandas di situ ringankan mulut bertanya sendiri kerana curiga melihat anak muda yang sihat bugar, tapi tidak keruan.

"Kamu ni siapa, dan kenapa duduk di sini?" soalan pertama yang keluar dari mulut penjaga tandas.

Panjang ceritanya...
Saya datang ke Kuala Lumpur pada awal 2006 setelah tidak tahan tinggal di kampung kerana kerja tidak menentu. Semangat saya kental untuk berubah, memikirkan diri sudah dewasa dan tidak ada masa depan. Kawan-kawan saya yang lain semuanya sudah bekerja dan ada teman wanita, tapi saya apa pun tiada.

Kisah hidup saya ini panjang sangat, berliku-liku. Saya memang jahat, tetapi saya tidak pernah jahat dengan perempuan. Sentuh perempuan pun, tidak pernah. Masa sekolah dulu kawan-kawan saya semuanya lelaki, dan saya pernah menjadi anggota satu kumpulan, Secret Shadow Society atau SSS. Geng-geng saya semuanya benci perempuan.

Jadi, tidak adalah peluang saya untuk dapat kekasih kerana kami memang menghindari perempuan. Tambahan pula, saya pun sebenarnya takut hendak rapat dengan orang perempuan.

Kalau cerita tentang jahat, sayalah orang yang paling jahat sekali di kampung saya. Ketika itu, saya baru tingkatan tiga, tapi saya sudah ikut kumpulan budak-budak tingkatan enam yang free thinker. Mulanya memang seronok sangat dapat berkawan dengan budak-budak besar, saya rasa pun sudah besar, dan tidak ada siapa yang berani ganggu.

Kawan baik saya waktu itu bernama Abang Dayak. Dia budak tingkatan enam. Masa itu tahun 1996, Abang Dayak adalah idola saya kerana dia berfikiran terbuka. Saya selalu lari dari asrama untuk mengikut Abang Dayak balik ke rumah. Semasa bermalam di rumahnya, saya mula mengenal dan mempelajari apa yang dimaksudkan dengan SSS.

Abang Dayak seorang yang free thinker. Bebas, dia hanya percaya pada diri sendiri. Apabila saya tengok caranya, hati saya mula terpikat dan ingin hidup sepertinya yang bebas. Saya banyak membaca risalah-risalahnya tentang aliran itu. Akhirnya saya ambil keputusan untuk menjadi ahli group SSS.

Sebelum menjadi ahli, saya diminta bersumpah dengan darah lidah. Itu sebagai simbol perjanjian mengaku bahawa saya adalah pengikut kumpulan SSS. Bermula daripada situlah saya mengisytiharkan diri keluar daripada Islam. Sejak itu saya tidak pernah sembahyang, tidak percaya pada Tuhan dan semua amalan ditinggalkan. Peliknya    saya tidak rasa bersalah pun, semuanya seronok saja, rasa lapang.

Pergi sekolah pun setakat pergi saja, orang lain belajar, saya hanya termenung. Tapi saya tidak pernah kacau orang. Penampilan pun mula berubah, rambut jadi punk mencacak. Dengar lagu underground, itu yang paling seronok sekali.

Entahlah... saya tak pernah terfikir pun untuk memilih jalan hidup seperti itu, tapi apabila bersama dengan Abang Dayak, saya rasa lapang. Bebas untuk lakukan apa saja, mabuk, melalak, hisap ganja, ambil pil kuda... semuanya biasa.

Pergi sekolah, saya pakai stoking bola panjang sampai ke lutut. Di dalam stoking itu penuh dengan ganja dan pil kuda untuk dijual di sekolah. Saya pernah pergi ke Kuala Lumpur, membawa empat kilogram ganja dengan menaiki bas untuk dijual.

Pejam celik pejam celik, saya sudah masuk tingkatan empat. Aktiviti haram makin hebat. Setiap malam pondok di hadapan rumah, tempat saya dan kawan-kawan melalak dan terbongkang mabuk. Orang tua? Marah, terutamanya ayah. Dia tidak boleh pandang muka saya langsung. Bergaduh dengan ayah setiap hari sampai kami tidak boleh bersua muka. Tapi dengan emak, itu syurga saya, sekali pun saya tidak pernah melawan.

Masa sekolah saya berlalu begitu saja tanpa satu pun pelajaran yang masuk ke benak. Semuanya berlalu begitu saja bagaikan tidak ada apa-apa. Habis tingkatan empat, saya masuk pula ke tingkatan lima.

Aktiviti menjual ganja sudah semakin perlahan kerana stok sukar diperoleh. Apabila pembekal sudah tidak mampu untuk membekalkan permintaan, saya ambil keputusan untuk berhenti menjual. Sudah tidak ada apa hendak buat, saya mula terfikir, selama lima tahun sekolah tidak pernah sekali pun saya belajar atau mengulang kaji pelajaran.

Suatu hari saya bertemu dengan kawan karib semasa sekolah rendah, persahabatan terjalin kembali. Dia mengajak saya menubuhkan study group untuk peperiksaan. Di dalam hati tertanya-tanya, bolehkah otak hendak terima pelajaran lagi sedangkan selama ini tidak ada satu pun yang masuk?

Disebabkan malu untuk menolak, saya ikut juga study group itu. Biasanya rumah dialah yang jadi markas kami belajar. Hari pertama, bosan. Hari kedua sama juga. Hari ketiga jemu, hinggalah hari kelima barulah saya ada minat untuk belajar. Sebelum ini kawan-kawan yang lain belajar, saya sibuk petik gitar dan dengar lagu.

Sewaktu minat saya datang untuk belajar, hanya tiga bulan saja sebelum peperiksaan. Ketika itu saya mengulang kaji dengan bersungguh-sungguh. Keputusannya saya mendapat pangkat dua SPM. Dapat pula tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Kisah Abang Dayak sudah saya lupakan, rasa apa yang dibuat selama ini salah kerana tidak mengaku Tuhan.

Bermula dari itu, tekad hendak kembali ke jalan benar semakin kuat. Setiap saat saya mengucap kalimah syahadah yang telah tiga tahun tidak pernah saya ucapkan. Saya takut sangat Tuhan tidak menerima diri saya sebagai Islam. Lidah saya sentiasa mengucap, hingga setiap saat hanya kalimah Allah saja yang bermain di lidah.

Tapi... bukan itu masalah saya sebenarnya, walaupun saya pernah mengaku Tuhan tidak wuju'd dan murtad. Yang menjadikan diri saya seperti  ini bukan masalah itu, tapi perempuan

2006...

Saya mula bekerja di kilang Perodua di Rawang, Selangor. Perkenalan dengan Zai bermula di dalam bas sewaktu pulang bercuti dari kampung. Kali pertama bertentang mata dengannya, saya dapat rasa inilah perempuan idaman saya. Sebelum sampai ke rumah sewa di Bukit Sentosa, Rawang saya sempat hulurkan nombor telefon.

Malam itu Zai telefon saya dan bermulalah perkenalan kami. Zai mengasuh anak-anak kakaknya yang tinggal berhampiran rumah sewa saya. Hati mula berbuga kerana itulah kali pertama saya jatuh cinta dengan perempuan.

Saya pendekkan cerita, dalam masa dua bulan berkenalan, kami terus bertunang. Tidak sampai enam bulan bertunang, Zai sudah mula buat perangai. Setiap kali ajak keluar ada saja alasannya. Saya mula syak mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan dia. Akhirnya terbukti Zai bermain cinta dengan kawan saya.

Untuk menguatkan lagi keyakinan saya, kebetulan mesej-mesej cinta dalam telefon bimbit Zai yang dikirimkan oleh kawan saya, semuanya dapat saya baca. Ketika itu, kepala saya macam terkena panahan petir. Tiga hari saya demam, sasau dan macam orang gila. Kalau ada pistol ketika itu lebih baik saya tembak saja kepala ini.

Pertunangan kami diputuskan. Selepas putus tunang, saya terus berhenti kerja kerana tidak boleh berikan tumpuan. Hancur perasaan saya dan terasa gelap dunia ini. Saya berkelana ke Kuala Lumpur dengan duit di dalam bank sebanyak empat ribu ringgit.

Setiap malam saya ke kelab, disko dan minum sampai mabuk. Fikiran saya singkat, hati hancur cinta tidak kesampaian. Saya nekad hendak membunuh diri. Saya pergi ke flat Sri Rampai, Setapak. Dengan botol arak masih di tangan, saya terjun dari tingkat empat dengan harapan untuk mati.

Saya jatuh di atas rumput, tapi tidak mati, cedera pun tidak, hanya luka sedikit saja di kepala. Apabila orang datang berkerumun, saya lari curi motosikal orang pula, dan pusing satu KL. Saya bawa motosikal laju-laju dengan harapan apabila berlanggar, akan terus mati. Peliknya, walaupun tidak pakai topi keledar tapi tidak ada polis yang menahan saya.

Setibanya di hadapan Jusco Wangsa Maju, saya pulas minyak habis-habis apabila nampak kereta hendak membelok ke stesen minyak. Motosikal saya hancur dilanggar, dan saya melambung ke atas jalan raya. Saya hanya pening pening lalat saja, tapi tidak cedera pun. Saya tidak mati juga walaupun motor sudah hancur. Ketika orang ramai sibuk mengusung saya untuk dibawa ke hospital, saya segera bangun dan berlari.

Susahnya nak mati...!

Di dalam hati saya hanya ingat nak mati saja. Tidak kira walau dengan cara apa sekali-pun, saya akan cabut nyawa saya. Dari Wangsa Maju, saya menaiki LRT hingga Masjid Jamik, Kuala Lumpur. Saya mesti mati! Waktu tengok arus Sungai Klang deras, berderau darah saya. Saya terus terjun, saya mesti mati kali ini. Ramai orang menjerit-jerit bila nampak saya tenggelam timbul di dalam air sungai yang berkeladak.


Saya hanya senyum saja, kerana memang sudah niat hendak mati. Tapi belum sampai ajal... saya tersangkut pada perangkap sampah. Ramai orang tolong mengangkat saya naik ke tebing sungai. Hidup lagi rupanya saya. Dengan badan penuh lumpur, saya lari ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mandi di tandas awam yang menjadi 'kediaman' saya selama ini.
Selesai mandi dan keringkan baju, saya naik LRT pergi ke Wangsa Maju lagi. Tujuannya adalah ke kawasan rumah flat empat tingkat. Niat, tetap tidak berubah, untuk membunuh diri. Sambil duduk di koridor tingkat empat, saya sempat habiskan sebotol arak.

Kepala sudah berpinar-pinar, tiba-tiba ada orang sergah. Saya pun terus terjun... tapi tak mati juga! Saya raba-raba kepala yang sakit dan berdarah sedikit.

Melihat orang semakin ramai berkerumun, saya mula panik, di dalam keadaan yang tidak berapa stabil saya bangun. Saya lari lintang pukang kerana tidak mahu dihantar ke hospital.

MASIH HIDUP

Setelah empat kali cubaan membunuh diri gagal, ia membuatkan saya sedar bahawa nyawa ini bukan milik saya. Bukan mudah untuk mencabut nyawa selagi belum ajal. Selagi belum sampai masanya, tiada apa yang boleh dilakukan. Saya sendiri pun tidak tahu bila masanya akan tiba, hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui.

Banyak perkara jahat yang saya laku-kan, termasuk pernah murtad, tetapi Allah belum mahu mencabut nyawa saya. Cuma sekarang, saya selalu berfikir, adakah Allah masih menerima saya sebagai hamba-Nya setelah begitu banyak dosa yang saya lakukan? Adakah saya diterima sebagai Islam? Sekarang lidah ini tidak pernah berhenti mengucap kalimah syahadah, dengan harapan ia diterima Allah.

Hari ini, saya adalah orang baru yang tidak pernah terfikir lagi untuk membunuh diri atau menjauhkan diri daripada Islam. Saya cuba untuk menjadi seorang Islam yang baik dan taat. Semoga taubat saya diterima. ©


AL ISLAM Februari 2009