Hukum
ucapan sempena perayaan agama lain
21 Dec 2017, 8:00 pm
21 Dec 2017, 10:11 pm
ULASAN
Islam mengharamkan
seseorang Muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf
kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan
mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran atau melakukan
amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah.
Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada
maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau
ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul,
maka dia menjadi kafir.
Firman Allah, surah al-Nahl, ayat 106 (bermaksud):
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman
(maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur)
sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang
terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah,
dan mereka pula beroleh azab yang besar.
Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan
kita menzalimi bukan Muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada
bukan Muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita.
Firman Allah, surah al-Mumtahah, 8-9
(bermaksud):
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik
dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu
kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah
hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang
memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa
yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan
yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman
Allah, surah al-Nisa, 86 (bermaksud):
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan
sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik
daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah
sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”
Ada ulama haruskan
Inilah adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi
sesama Muslim atau kepada bukan Muslim. Sehingga Ibn Abbas RA menyebut:
“Jika firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah
memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga.’” (Riwayat al-Bukhari
dalam Al-Adab al-Mufrad).
Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat
firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.
Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah
sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain –secara
langsung atau tidak langsung dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat
baik kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf
pendapat tentang hal ini.
Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf
kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara
bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain,
sebaliknya sekadar melakukan kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak
memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan
tersebut dengan syarat-syarat tertentu.
Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas
al-Quran dan al-sunnah sebagai asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran
mempengaruhi para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini.
Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran
Muslim begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut
kelihatan keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain.
Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman
kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan
keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan
mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.
Syeikh Islam Ibn Taimiyyah dalam karyanya Iqtida
al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah
dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini.
Terasnya ayat al-Quran
Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan
mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan
tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredai agama mereka.
Fokus mereka adalah penyertaan seorang Muslim
kepada upacara perayaan bukan Muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang
mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh sesetengah para ulama
terutama dari negara yang dominan penduduk Muslim seperti Arab Saudi. Maka
Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan
agama lain.
Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European
Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana Muslim
membolehkan Muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan
mereka.
Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih
dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam surah
al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan
Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.
Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena
perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf
al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa.
Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh
Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi SAW:
“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAW
satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada
baginda: 'Itu jenazah seorang Yahudi."
Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa
(insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai
menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah
tersebut.” (Fatwa Mustafa al-Zarqa, muka surat 356. Damsyik: Dar
al-Qalam).
Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan
selamat sempena hari raya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti
mengiktiraf akidah mereka.
Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan
selamat hari raya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan
syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur
seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.
Maka, memadai sekadar ‘selamat hari raya’ atau
‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hari
raya Islam mereka mengucapkannya.
Namun, seorang Muslim tidak boleh turut
merayakan hari raya agama lain. Sebabnya, perayaan agama merupakan upacara
agama. Bukan Muslim pun tidak patut disuruh merayakan hari raya kita.
Perpaduan antara kita sesama rakyat Muslim dan
bukan Muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat
baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.
Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam
dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang
harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.
DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN merupakan Mufti
Perlis.
Rencana ini merupakan pendapat penulis dan tidak
semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. Ia disiarkan pertama kali
di Facebook beliau.
Artikel itu ditulis bagi menjawab soalan
berikut:
Dr MAZA, kita negara yang berbilang agama. Ramai
yang mempunyai kawan pejabat, jiran dan lain-lain yang bukan Muslim. Apabila
tiba hari raya kita mereka mengucapkan selamat hari raya. Masalahnya, apabila
tiba giliran hari raya agama mereka pula, kita rasa macam serba salah. Bolehkah
seorang Muslim berikan ucapan selamat hari raya agama lain. Saya takut rosak
akidah, tapi ramai pemimpin dan kawan-kawan Muslim yang lain ucapkan. Saya pun
risau juga kawan-kawan bukan Muslim kecil hati, tapi saya pun nak jaga akidah
saya. Bolehkah Dr Asri berikan pandangan?
https://www.malaysiakini.com/news/406181