Tentang Wagiman
Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........
Tentang blog ini
Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.
Pengikut Setia
04 July 2013
UMUM: Bomoh Temberang: Bomoh Mek bikin panas
BOMOH TEMBERANG Bomoh Mek Bikin Panas Dalam kelambu Oleh: Nuek Kau jangan risau, bomoh yang aku nak kenalkan ada kau ni memang terbaik. Semua orang kenal dia. Dia ni bukan saja power dalam bab-bab menilik, tapi semua masalah pun boleh settle dalam sekelip mata!" Itulah ayat pertama Kamarul ketika saya mula-mula menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan pagi itu. Saya hanya mengangguk-ang-gukkan kepalaseolah-olah bersetuju dengan apa yang dikatakannya. Dalam hati masih rasa berbelah bagi, maklumlah saya ni bukanlah percaya sangat dengan alam mistik dan bomoh ni. Tapi, atas dasar hormat saya turutkan jua kata kawan saya ni. Lagipun orang dah bersusah payah nak tolong, takkan kita nak tolak pula. Tak salah untuk berikhtiar. Manalah tau kalau dah tertulis itu memang rezeki saya. Segalanya bermula dua hari lepas, bila mana pembantu rumah warga Indonesia yang telah saya gajikan selama dua tahun melarikan wang tunai dan barangan kemas milik isteri saya. Waktu tu memang saya rasa cukup terbakar', dahlah selama ni mi sekeluarga layan dia seperti audara sendiri, ajak makan bersama, keluar shopping, pergi bercuti, tup-tup boleh pula dia buat perangai macam tu. Nasib baiklah dua orang anak saya yang berusia enam dan lapan tahun pergi ke sekolah waktu tu, kalau tidak lagi haru. Silap haribulan mahu dia tinggalkan budak-budak tu dalam bilik, kemudian kunci rumah dan terus cabut lari. Fuhh! Simpang malaikat empat puluh empat! Saya mengandaikan pembantu rumah saya yang bernama Wati ini telah merancang awal untuk melakukan modus operandi ter-sebut. Bayangkan saya keluar menghantar anak bongsu ke tadika pukul 8.00 pagi, tapi bila saya kembali ke rumah pukul 10.00 pagi dia sudah lesap. Bila saya cari di sekitar taman perumahan kelibat dan bayangnya pun tak nampak, sedangkan dari rumah saya nak ke perhentian bas pun terpaksa mengambil masa hampir setengah jam jika berjalan kaki. Jadi, pastinya dia sudah merancang dengan seseorang yang akan menunggunya di sekitar perumahan kami. Tak apa, bab itu kita tak payah sentuh panjang lebar, nanti lagi 'terbakar' dan hilang mood pula saya nak bercerita, jadi kita terus saja pergi ke bab berjumpa bomoh di Kelantan ini. Ikutkan hati, saya memang berat nak pergi, maklumlah kejadian berlaku di rumah saya di Kuala Lumpur, tetapi cari bomoh sampai ke Kelantan pula. Tapi nak buat macam mana? Dah isteri yang beria-ia suruh saya pergi setelah dapat tahu dari seorang rakan yang kononnya di Kelantan ni terdapat seorang 'bomoh power' yangmampu menilikbarang-barang hilang. Dari bertekak dan bermasam muka, baik saya turutkan. Lagipun saya kasihan dan simpati melihat keadaannya yang sentiasa bersedih kerana mengenangkan barang-barang berharga yang dikumpul dengan hasil titik peluh selama ini hilang dalam sekelip mata. Selepas bersarapan, kami menaiki kereta menuju ke rumah bomoh tersebut. Saya tidak punya banyak masa untuk singgah di rumah teman saya ini kerana petangnya saya akan berangkat semula ke Kuala Lumpur. Perjalananyangmengambil masa hampir setengah jam itu akhirnya berbaloi bila saja kami sampai di tangga rumah bomoh tersebut. Saya pun malas nak ingat apa nama kampungnya, yang pasti nak ke rumahnya memang sedikit azab, kerana terpaksa melalui lorong-lorong kecil, denai dan belukar. Sebaik saja salam disahut, kami terus dipersilakan naik. Saya dan rakan bersila di ruang tamu sementara tuan rumah yang merupakan wanita separuh abad yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Mek Yah' itu duduk menghadap kami berdua. Kami dihidangkan dengan segelas air dan sepiring kuih, lantas saya terus bercerita tentang tujuan utama saya datang ke situ. "Mu jange bimbe (bimbang)... bare (barang) hok ile (hilang) tu Mek Yah gerenti boleh kelik (balik). Mu cerito gapo bare hok ile tuh?" kata Mek Yah penuh yakin. Saya mengerutkan dahi kerana tidak berapa faham dan jelas dengan apa yang dituturkan oleh Mek Yah itu. Maklumlah saya ni anak jati Perak, bila sesekali terdengar loghat Kelantan yang pekat begitu pastilah rasa janggal. Kamarul yang cepat menangkap situasi ketika itu lantas membisikkan sesuatu ke telinga saya. Saya ter-senyum sambil mengangguk-ang-gukkan kepala. Tanpa banyak soal saya menceritakan secara terperinci kejadian yang berlaku itu kepada Mek Yah. "Ohh... Lagu tu! Tok jadi ma-saloh sangat. Bendo mudoh jah tu... Bendo hok besa (besar) lagi Mek Yah beso (biasa) selesaikan!" jawab Mek Yah sedikit riak. Saya sekadar terlopong sambil mengangguk-anggukkan kepala. Hebat sungguh Mek Yah ni, bisik hati saya. Tidak lama kemudian Mek Yah menjemput saya mengikutnya ke bilik perubatan. Sebaik masuk, hidung saya terus ditusuk oleh bau asap kemenyan yang cukup kuat. Kelihatan sebuah kelambu besar berwarna kuning yang diikat di tengah ruang tamu bilik. Di sekelilingnya penuh dengan barang-barang perubatan yang diletakkan di dalam pinggan seperti beras kuning, sirih, bunga-bungaan, bertih jagung dan pelbagai lagi barangan yang saya sendiri kurang pasti apa nama dan kegunaannya. Kemudian Mek Yah muncul di hadapan saya dengan jubah serba kuning. Tergamam saya seketika. Sekali pandang tak ubah seperti seorang sami Buddha yang ingin pergi bertapa. Mek Yah terus menjemput saya masuk ke dalam kelambu dan terus duduk menghadapnya. Mek Yah bersila sambil memejamkan matanya. Mulutnya berkumat-kamit membaca mantera dan serapah yang saya sendiri langsung tak faham apa biji butirnya. Yang pasti bukannya petikan dari ayat-ayat al-Quran mahupun hadis. Mek Yah mengambil pisau dan terus memotong sebiji li-mau nipis yang ada di pinggan bersebelahannya. Saya agak ter-kejut kerana sebelah limau yang dipotong itu dipegang di telinga dan sebelah lagi dipegang berhampiran mulutnya, sekali pandang tak ubah seperti seseorang yang sedang bercakap di telefon. Mek Yah terus memulakan upacara berinteraksi dengan 'makh-luk' perantaraannya. "Haaa... Mek nok mintak tolong nih... Tolong cari bare saing Mek hok ile... keno bawak lari ko ore gaji... Hooo... bareemas... Nyanyo (naya) ko saing Mek mari jauh nih. Mu kena tolong tuh!" kata Mek Yah seolah-olah sedang berbual dengan seseorang. "Loni (masa ni) Mek nok tahu bare emas saing Mek ni ado situ lagi ko dop (tidak)? Ko ore wak lari jauh doh? Hooo... Ado situ lagi lah. Molek-molek. Kalu gitu gak terimo kasih banyok. Pah lagu mano? Kiro bulih balik la nih. Kalu gitu sene (senang) lah hati Mek," tutur Mek Yah lagi sambil mengangguk-anggukkan kepala. Saya sekadar memerhatikan adegan yang pelik itu. Sesekali saya menahan nafas untuk mengamati, kut-kut dapat mendengar suara 'makhluk' yang sedang berinteraksi dengan Mek Yah itu, tapi ternyata hampa. Yang saya dengar cumalah suara loghat Mek Yah dan kokokan ayamnya di bawah rumah. Tak lama kemudian Mek Yah mencampakkan limau tersebut ke dalam mangkuk yang berisi air sambil meneruskan bacaan jampi dan serapahnya. Hampir tiga minit berlalu barulah upacara tersebut selesai. Saya menarik nafas lega. Mek Yah dah menjalankan tugasnya dan kini saya tak sabar-sabar untuk bertanya apa yang perlu saya buat selepas ini. "Gini. Kes ni kiro (kira) bereh (beres). Saing Mek Yah setuju nok tolong awok. Nati sapa (sampai) KL, buat supo (serupa) skalo jah. Bare hok ile tuh gerenti bulih balik. Bangun tido esok pagi, terus bukok (buka) laci. Gerenti bare hok ile tu ado semula. Nati saing Mek Yah letok situh balik. Jange duk bimbe," kata Mek Yah penuh yakin. Saya menganggukkan kepala tanda faham. Setelah memberikan pengeras saya mengucapkan te-rima kasih dan terus meminta diri. Kamarul kemudiannya terus menghantar saya ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa kerana penerbangan saya aka berlepas sekitar dua jam saja lagi. Saya tak sabar untuk pulang ke Kuala Lumpur dan menyampaikan berita baik ini kepada isteri. Hari sudah senja ketika saya sampai di Kuala Lumpur. Saya terus menuju ke rumah dan menceritakan pertemuan saya bersama Mek Yah siang tadi kepada isteri. Terlopong isteri saya mendengarnya walaupun ada sedikit sebanyak yang saya tokok tambah sendiri untuk menyedapkan cerita. Malam itu saya dan isteri masuk tidur awal kerana tak sabar nak bangun keesokannya untuk melihat 'keajaiban' yang dijanjikan oleh Mek Yah siang tadi. Kringggg! Kringggg! Kringggg! Kringggggg! Deringan jam loceng menge-jutkan kami berdua. Saya dan isteri bingkas bangun dari katil menuju ke almari. Waktu tu kami berdua berebut-rebut dan bertolak-tolak sesama sendiri untuk membuka almari tersebut. Yang lawaknya kami hampir berlanggar sesama sendiri, kerana masih mamai maklumlah basuh muka pun tak sempat. Ketika laci dibuka kami berdua serentak menjengah ke dalamnya... Tapi... langsung tak nampak kelibat barang kemas seperti yang dijanjikan oleh Mek Yah semalam. Saya dan isteri terus menyelongkar sehingga bertaburan segala dokumen bank dan peribadi di atas lantai dengan harapan 'perantara' Mek Yah tu tersalah letak di tempat lain. Hampir 15 minit kami menyelongkar dan menggeledah almari tersebut, namun barang kemas yang dicari tetap tak kelihatan. Isteri saya sudah putus asa dan mengeluh kecewa. Saya apatah lagi, tambah pula bila teringatkan susah payah datang ke Kelantan semalam. Secara tiba-tiba saya terus terbayangkan wajah Mek Yah dan limau nipisnya. Huh! Mendidih darah saya dibuatnya. Nasib baiklah Mek Yah jauh di Kelantan. Kalau dekat dengan tempat saya ni, mahu saya pergi ke rumahnya dan ajak dia masuk dalam kelambunya. Saya nak suruh dia dail dan telefon 'kawan' perantaraannya semalam. Saya nak bercakap de-ngannya sendiri. Kalau saya tak dengar apa-apa nanti, siap Mek Yah! NOTA PENGARANG: Secerdik-cerdik manusia terpedaya juga dengan tipu helah bomoh seperti Mek Yah. Pengalaman seperti dilalui Nuek dan Anita dari Batu Kurau yang dicabul dan diperdaya bomoh-bomoh temberang begini sepatutnya menjadi pengajaran berguna kepada kita. Rupa-rupanya dalam dunia ini ramai sangat manusia yang meraih laba hasil tipu helah mereka memperdaya orang lain yang berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan. Nasihat kami di Mastika, berhati-hatilah. Jangan terpedaya dengan bomoh-bomoh temberang begini. - Pengarang (sahidan.jaafar@gmail. com) MASTIKA Mac 2013 <<<<<<<<<<<< ® v ® >>>>>>>>>>>> ** catatan w@gim@n** Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini. 2013 ® ©HAK CIPTA SELEBET INTERNATIONAL ™ * Jadilah seorang bloger yg sentiasa menghargai hasil kerja blogers @ penulis @ penerbit lain dengan tanpa segan silu memberi kredit line kepada mereka . Paparkan kreativiti mereka dengan menampilkan dari mana asal usul bahan asal yg anda salin dan tempek itu.