Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

30 August 2013

Bicara Agama: Murtad org Islam: Rintihan Ibu Lina Joy



BICARA AGAMA
Ragam & Pengajaran
Taktik murtadkan penganut Islam
JUANI MUNIR ABU BAKAR
Gambar:
FAIRUZ IZYANA AYUB
 
KISAH Azlina Jailani yang memohon perintah mahkamah untuk memaksa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memadamkan perkataan Islam daripada kad pengenalan pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu.
 
Isu yang menimbulkan kontroversi sehingga mendatangkan pelbagai pandangan dan polemik pelbagai pihak itu akhirnya menemui titik noktah apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azlina yang didakwa mengaku murtad.
 
 
Puan Kalthum Omar. Ibu Azlina Jailani @ Lina Joy
 
Bagaimanapun keputusan itu tidak memberi makna kepada keluarga Azlina apabila wanita tersebut bertindak melarikan diri daripada sanak-saudara termasuk ibunya sendiri sejurus keputusan mahkamah diumumkan.
 
Bagi Kalthum Omar sendiri, hati ibu mana tidak tersentuh apabila menyaksikan dengan mata sendiri anak kandung bergelut dengan isu akidah. Apatah lagi bertindak tinggal berjauhan seberang laut iaitu di Australia.
 
Malah lebih menyayat, jelas warga emas berusia 78 tahun itu, Azlina yang turut dikenali sebagai Alin oleh ahli keluarganya enggan pulang ke tanah air walaupun puas dipujuk olehnya sendiri dan adik-beradik lain.
 
Walaupun Azlina dilihat memencilkan diri, Kalthum yang kini uzur kerana menghidap penyakit kencing manis berkata, anak ketiga daripada enam adik-beradik itu selalu menelefon beliau dan terbaru dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
 
"Mana tidak sedih, kalau benda ini terjadi pada Mak Som sendiri lebih-lebih lagi melibatkan soal akidah. Tetapi hati yang kecil ini selalu menadah tangan berdoa kepada Allah semoga hati Alin terbuka untuk kembali ke pangkuan jalan.
 
"Mak Som dan arwah suami telah puas didik Alin dengan ajaran agama. Tetapi mungkin tersilap pandang untuk beri pendidikan kepadanya," luah Kalthum dengan suara lemah malah terpaksa berkerusi untuk ke mana-mana lokasi.
 
Ketika menceritakan kisah bagaimana Azlina boleh terlibat dalam lubuk kerosakan akidah, Kalthum terdahulu menyatakan bahawa anaknya telah diberikan pendidikan agama sepenuhnya dan dibesarkan dalam keluarga bahagia.
 
 
Tetapi beliau menyedari perilaku Azlina mula berubah apabila anak gadisnya itu mula berkerja di salah sebuah hotel di ibu negara dan seterusnya mengenal seorang lelaki beragama Kristian.
 
Kalthum tidak menganggap perkenalan itu di tahap serius sehingga membawa ke bibit percintaan kerana Azlina tidak pernah menceritakan berkenaan lelaki terbabit.
 
"Pada masa itu, arwah bapa Azlina, Jailani Sharif sedang sakit dan Mak Som terpaksa menjaga suami setiap masa sehingga menyebabkan tidak ada masa untuk menumpulkan terhadap soal anak-anak.
 
"Mungkin daripada kealpaan itu, Azlina terjerumus dalam alam percintaan dengan lelaki berkenaan sehingga sanggup menukar agama kepada Kristian semata-mata untuk mengahwininya," ujar Kalthum yang tidak bersetuju dengan permintaan Azlina untuk berkahwin dengan lelaki tersebut.
 
Rentetan daripada kisah itu, Kalthum berkata, Azlina dikatakan menukar agama dan berlaku prosedur mahkamah seperti mana terpapar di media-massa arus perdana.
 
Namun begitu, Kalthum bersyukur kerana ramai pihak, khususnya umat Islam Malaysia kerana sentiasa berdoa agar Azlina kembali ke jalan yang benar iaitu bertaut kepada akidah Islamiah.
 
"Sedih memang sedih tetapi Mak Som tidak berhenti berdoa agar dia kembali kepada agama Islam dan balik kepada keluarga. Terima kasih pada semua yang banyak membantu selama ini," katanya dalam program Wacana Agenda Kristian Sedunia: Rujukan Khas Malaysia.
 
Program itu merupakan anjuran bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), baru-baru ini.
 
Dalam pada itu, Pengerusi Pembela, Dr. Yusri Mohamad berkata, walaupun kisah yang menyayatkan hati itu melibatkan hubungan ibu anak, sebenarnya ia serius kerana berkaitan dengan soal pegangan akidah.
 
Akidah Islam
 
Ujar Yusri, soal akidah Islam harus dipertahankan kerana ia merupakan asas utama dalam pegangan kehidupan seseorang manusia.
 
"Oleh demikian, marilah kita berdoa agar Azlina dapat kembali kepada Islam termasuklah ke pangkuan keluarga.
 
"Saya sendiri tersentuh dengan kisah ini, tetapi dengan kudrat doa daripada seorang ibu seperti Mak Som, insya-Allah Azlina pulang ke jalan yang benar," kata Yusri.
 
Walaupun kisah yang terjadi kepada Azlina merupakan antara salah satu kes yang terjadi dalam negara ini, ia tidak bermakna umat Islam Malaysia harus berkonflik dengan agama-agama lain.
 
Hal berkenaan ditegaskan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dengan menyatakan agama lain tidak dinafikan hak mereka walaupun Islam merupakan Agama Persekutuan.
 
Ujar Asyraf Wajdi, hal berkenaan dinyatakan dengan menyoroti Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
 
Tetapi bagi beliau, adalah dikesalkan apabila konflik-konflik yang terjadi kepada umat Islam khususnya berkaitan akidah berlaku apabila pihak-pihak terbabit tidak memahami lunas undang-undang seperti mana dinyatakan menerusi perlembagaan.
 
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi menggesa agar umat Islam negara ini bersatu-padu dalam mempertahankan akidah Islamiah daripada mengutamakan kerjasama dengan pihak-pihak yang mengugat agama Islam.
 
"Dalam soal ini tidak semestinya bersatu dalam satu parti dan sebagainya tetapi ia diterjemahkan melalui semangat bersatu-padu atau ukhuwah Islam untuk mempertahankan kalimah Allah," tegas Asyraf Wajdi.
 
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), A. Karim Omar berkata, dendam Perang Salib menerusi prinsip Emas, Kemegahan dan Injil merupakan asas gerakan untuk melunturkan agama Islam dalam Alam Nusantara.
 
A. Karim memberitahu, hal berkenaan dijelaskan oleh pelbagai penulisan termasuklah sebuah buku karangan penulis Barat iaitu Louis B. Wright dengan menyatakan kisah pelayaran dan penjajahan Portugis, Sepanyol dan Inggeris.
 
Jelasnya lagi, pelbagai saluran telah dilakukan oleh mereka untuk menyebarkan dakyah itu dengan memperkenalkan pelbagai agenda tersurat dan tersirat dan salah contohnya adalah penjajahan Portugis di Melaka.
 
Namun begitu, A. Karim berkata, dalam hal ini orang Kristian mengakui adalah sukar untuk mereka menyebarkan agama mereka di dalam kalangan orang Melayu dan ini dibuktikan melalui dokumentasi satu penulisan.
 
"Dalam dokumen yang bertajuk Once Hopeless Frontier But Now With Comprehensive Contextualization jelas menunjukkan bahawa satu ketika dahulu usaha penyebaran agama Kristian sangat sukar.
 
"Maka dengan sebab itu, gerakan berkenaan memperkenalkan strategi licik kontekstualisasi menerusi cara mengekalkan identiti serta nilai-nilai kehidupan asal seseorang yang beragama Islam tetapi bertindak mengkristian orang Melayu," jelas beliau.
 
A. Karim berkata, cara halus itu akan menggunakan elemen-elemen tempatan termasuklah dalam menggunakan kalimah Allah untuk mengelirukan dan kemudian memudahkan usaha menyebarkan agama mereka.
 
Sehubungan itu, A. Karim mengesa semua pihak termasuk pihak berkuasa untuk memainkan peranan mereka dalam dalam menangani isu serius yang dilihat semakin aktif untuk merosakkan akidah umat Islam.
 
Beliau memberi contoh, ketika zaman Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, negarawan itu memperkenalkan dasar penerapan nilai-nilai Islam sehingga agenda itu berjaya menggugat gerakan memesongkan akidah umat Islam di Malaysia.
 
http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130829/ba_06/Taktik-murtadkan-penganut-Islam
 
Utusan Malaysia online - 29/08/2013
 
 
Link Berkaitan:-
 
SIASATAN EKSLUSIF MURTAD - Rayuan Ibu Lina Joy
 
Kes Lina Joy: Reaksi Marhaen

 
 
<<<<<<<<<<<<  ®  v  ®  >>>>>>>>>>>>
 
** catatan  w@gim@n**
Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana  artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.
  
2013  ® ©HAK CIPTA  SELEBET  INTERNATIONAL 
* Jadilah seorang bloger yg sentiasa menghargai
 hasil kerja  blogers @ penulis @ penerbit lain dengan tanpa segan silu
  memberi  kredit line  kepada mereka . Paparkan kreativiti
 mereka  dengan  menampilkan dari mana asal usul
bahan  asal yg anda salin dan tempek itu.