Gelatin
haiwan termasuk babi halal dimakan –
Yusof
Al-Qardhawi
Friday, June 6, 2014
Ulama tersohor dunia Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi memberitahu gelatin
haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan, termasuk di dalam produk
makanan setelah ia ditransformasikan menjadi bahan yang lain.
Memetik kenyataan daripada laman rasmi ulama tersebut, beliau menjawab
kekeliruan pengguna, terutamanya dari masyarakat Islam berkenaan status halal
sesuatu produk yang dicampuri unsur mengelirukan termasuk haiwan tersebut.
"Di sana terdapat perkara yang dilupakan oleh banyak pihak iaitu
isu transformasi bahan (perubahan zat). Kami berkata: Apabila sesuatu najis
ditransformasikan, ia menjadi suci, iaitu sesuatu bahan itu mungkin pada
asalnya adalah babi, kemudian ia bertransformasimenjadi sesuatu bahan yang lain
- asalnya ialah babi tetapi ia diambil dan ditransformasikan menjadi sesuatu
yang lain - contohnya menjadi sabun.
"Para fuqaha' berkata, contohnya, sesuatu perkara seperti tinja
dan sebagainya, apabila ia diambil dan dikenakan api serta dinyalakan, maka
abunya adalah halal kerana ia telah menjadi bahan yang lain. Mereka berkata:
Jika seekor anjing masuk ke dalam takung garam dan mati di dalam takung garam
itu hingga garam memusnahkannya, hinggakan apabila kamu mencarinya kamu tidak
menjumpainya disebabkan anjing itu sendiri telah menjadi garam, maka garam itu
boleh digunakan untuk makan, minum dan segala-galanya, kerana ia telah
mengalami transformasi bahan.
"Hukum ditetapkan bergantung kepada `illah (sebab) yang ada dan
yang tiada. Maka `illah dalam hal ini ialah ia tidak kembali wujud. Oleh itu,
apabila daging atau tulang babi telah bertransformasi, - dan saya mendengar
daripada saudara kami Dr. Muhammad Hiwari, dan dia adalah antara doktor
akademik yang tinggal di German untuk tempoh yang sangat panjang, dan dia
mempunyai kajian yang sangat baik dalam hal ini, - dia berkata kepada kamu:
Kemuncak hal ini adalah, ia boleh diambil dan digunakan sebagai ubat gigi, dan
digunakan sebagai sabun, dan digunakan sebagai gelatin (atau jeli) yang asalnya
ialah babi, kerana ia telah menjadi sebatian kimia yang baru menyebabkannya
tertakluk kepada hukum yang baru (iaitu halal)," ujar Yusuf Al- Qardhawi
dipetik sebagai berkata.
Bulan lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury
- coklat susu dengan kacang Hazel serta coklat susu dengan badam, dikesan
mengandungi DNA babi atau 'porcine'.
Apa yang menjadi persoalan sehingga kini adalah KKM dikatakan membuat
ujikaji itu, sehingga terjumpa DNA babi, setelah memilih coklat berkenaan
secara rawak di pasaran.
Setelah isu itu mencetuskan kemarahan ramai pihak Jabatan Kemajuan
Agama Islam Malaysia (Jakim) pula memainkan peranannya dan membuat ujikaji yang
sama namun coklat itu diambil terus dari kilang Cadbury dan bukannya diambil
secara rawak dari pasaran, seperti mana dibuat KKM.
Perkembangan terbaru selepas ujikaji yang dilakukan oleh Jakim itu
mengesahkan dua produk Cadbury tersebut adalah tiada unsur babi sekaligus halal
untuk dimakan.
Meskipun begitu, rakyat Malaysia kini masih berasa was-was berikutan
masyarakat terdedah kepada membeli coklat yang sama diambil KKM untuk ujikaji
itu dan bukannya produk yang selamat (dari kilang) sepertimana di analisa
Jakim.
~ RakyatNews
disalin & tempek dari: http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WlbZpgZQ==