Anda Musykil
Oleh:
Muhd. Zaidi Ramli
Benci Ibu tidak
hormat ayah
Assalamualaikum
Ustaz,
SOALAN
Mohon
pandangan daripada ustaz. Apakah hukum seorang anak ‘membenci’ sikap ibunya
yang membelakangkan suaminya dalam apa jua urusan kehidupannya? Dengan kata
mudah, apa jua perkara yang dilakukan oleh si ibu tidak pernah mendapat izin
daripada suaminya. Misalnya keluar rumah sesuka hati. Alasan yang diberikan, si suami juga tidak
pernah memberitahu si isteri jika keluar dari rumah atas sesuatu urusan.
Bukan
itu sahaja, si ibu juga sering menceritakan keaiban si suami dihadapan kawan
kawannya. Dengan alasan untuk melepaskan tekanan yang dialaminya. Masalah
rumah tangga dijaja ke sana ke mari
tanpa menghiraukan perasaan si suami.
Lantaran
sikaa si ibu yang sedemikian, maka si anak ada kalanya terpaksa ‘membenci’
ibunya. Bukan kerana benci kepada ibu
yang melahirkannya tetapi benci kerana sikap dan perbuatan yang
dilakukannya. Lebih malang, apabila
perbuatan si ibu di tegur, maka akan berlakulah sedikit ‘pertengkaran’ lalu si
anak dikatakan bersikap derhaka. Harap
ustaz dapat menjelaskan, derhakakah anak jika bersikap demikian?
JAWAPAN
Sikap
si isteri yang suka membelakangkan suami, keluar rumah tanpa keizinan dan
mengaibkannya di hadapan rakan adalah satu perbuatan mungkar, berdosa besar dan
dilaknat oleh Allah. Suami mempunyai hak
untuk dihormati selagi dia mempunyai sifat ihsan terhadap isteri. Imam al-Suyuti ada meriwayatkan hadis yang
menjelaskan kenapa penghuni neraka banyak dikalangan kaum wanita. Antara sebabnya
ialah si isteri sering menafikan secara total ihsan dan budi baik suami apabila
si suami melakukan kesalahan.
Apabila
berlaku kemungkaran orang Islam wajib mencegahnya sama ada dengan tangan, lidah
atau hati. Mencegah mungkar dengan hati
itu adalah tergolong dalam selemah lemah iman.
Perasaan
benci saudari pada sikap keji ibu kandung yang tidak menghormati suaminya
adalah satu daripada bentuk pencegahan mungkar. Perbuatan tersebut tidak berdosa bahkan ia
wajib dan mendapat ganjaran pahala pula.
Cuma
sebagai nasihat, jangan sekali kali bertegang leher dengan ibu kita kerana
Allah menyuruh kita berbuat baik kepada kedua dua ibu bapa dan melarang kita
meninggikan suara.
Barangkali
saudari boleh mendapatkan khidmat pihak ketiga untuk mencari punca krisis
mereka. Kita tidak boleh meletakkan
kesalahan kepada ibu sahaja. Mungkin ada faktor lain yang kita tidak
ketahui. Yang salah tetap salah dan
lebih baik jika kita mencari jalan penyelesaian yang praktikal supaya kedua dua
orang tua kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Saudari perlu banyak berdoa kepada Allah agar mereka
berdua mendapat taufikNya.
Ruangan ini dikendalikan oleh Mohd.
Zaidi Ramli. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkahwinan Dan Pembangunan
Keluarga Jabatan Agama Islam, Wilayah Persekutuan. Sekiranya pembaca mempunyai sebarang
kemusykilan agama, sila kemukakan soalan soalan ke alamat zaidi71_fnr@yahoo.com atau shamsinor-uksb@yahoo.com.my
|
Al Islam Disember
2010