Ibu Susuan Masih Perawan
Munakahat:
Ustaz Badli Shah Alauddin
SOALAN:
Semasa cuti Aidilfitri
dikampung baru baru ini, anak lelaki
kedua saya yang berumur tiga tahun telah disusukan oleh sepupu saya yang
berumur 25 tahun tetapi masih anak dara (belum berkahwin). Kami sekeluarga
sebenarnya agak hairan melihat seorang yang belum berkahwin, namun boleh
menghasilkan susu. Saya mempunyai beberapa persoalan:
1. Adakah anak saya nanti boleh
dianggap sebagai anak susuan kepada sepupu saya tersebut walaupun dia masih
anak dara?
2. Berapa kali penyusuan yang
menjadikan anak saya sebagai anak susuanya?
3. Benarkan pendapat yang
menyatakan jika anak saya yang berumur 6 tahun (anak sulung) turut menyusu
dengan sepupu saya tersebut, maka dia juga boleh dikira sebagai anak susuan?
Ummi
Danish Haykal: Bukit Beruang, Melaka
JAWAPAN:
Tahniah kerana mengambil berat
terhadap masalah penyusuan ini. Tidak ramai masyarakat kita yang mengambil tahu
tentang persoalan penyusuan sedangkan antara faktor berlakunya pengharaman selama
lamanya terhadap wanita yang ingin dikahwini (al-muhharramat min al-nisa’)
adalah faktor penyusuan (al-muharramat bi al-rada’ah) Perkara ini boleh dirujuk
menerusi surah al-Nisa’ ayat 22-24.
Dari segi bahasa, rada’ah
bermaksud perbuatan menjilat susu dan payudara secara mutlak, baik daripada
manusia atau haiwan yang besar atau kecil. (Rawdah al-Talibin, jil.7 hlm.122,
al-Sharqawi ‘ala Tahrir, jil. 2, hlm.219, al-Hidayah, jil. 1, hlm. 115, Sharh
al-Muhtaj,hl,. 136 dan Kashf al-Qanna’, jil.3, hlm. 40)
Menurut istilah pula, rada’ah
adalah sampainya susu wanita ke dalam perut. Melihat kepada takrif ini, perkara
yang perlu diberi perhatian ialah kalimat “susu” dan “wanita”.
Jika yang disedut oleh bayi itu merupakan
darah atau nanah, maka ia tidak dianggap sebagai rada’ah.
Begitu juga jika yang menyusukan
bayi itu terdiri daripada golongan lelaki, khunsa atau haiwan, maka ia juga
tidak dikira sebagai rada’ah. (Mughni al-Muhtaj, jil. 3, hlm.144)
Susu
Gadis Perawan
Adapun persoalan puan berkenaan
perawan atau anak dara yang menyusukan bayi puan, hal ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Mungkin sebelum
ini seorang wanita hanya mempunyai susu selepas dia hamil atau melahirkan. Kini, perkembangan teknologi perubatan telah berjaya
mencipta pil hormon atau suntikan untuk
menghasilkan susu badan. Tidak perlulah kita bahaskan disini punca adanya dalam
kalangan anak dara yang bersunguh sungguh menyuntik hormon demi menghasilkan
susu. Pasti ada sebab yang kuat untuk mereka lakukan sedemikian.
Dari sudut implikasi hukum,
seorang perawan-baik sudah akil baligh atau belum-jika sudah berumur sembilan tahun
dan payudaranya sudah berisi air susu, kemudian dia menyusukan bayi, maka
terjadi perhubungan mahram. (Al-Qalyubi, jil. 2, hlm. 12, Mughni al-Muhtaj,
jil. 3 hlm. 41, Tabyin al-Haqa’iq, jil. 2, hlm. 185, al-Mabsut, jil. 5, hlm.
131, Bidayah al-Mujtahid, jil. 2, hlm. 23)
Penulis berpendapat, pandangann
paling unggul adalah pandangan majoriti ulama fiqah iaitu dikira mahram
persusuan kerana terciptanya daging dan menguatkan tulang. Ini seperti yang
dijelaskan oleh pengarang al-Muhazzab (jil. 2, hlm. 157):
“Jika
seorang perawan mempunyai air susu, atau seorang al-thaib (tidak perawan) yang
tidak bersuami, mempunyai air susu, kemudian dia menyusukan bayi, kedua duanya
menjadi mahram persusuan kerana susu seorang perempuan menjadi gizi bagi si
bayi.”
Anak
Berumur 6 Tahun yang Menyusu
Dalam hal ini, para ulama berbeza
pendapat mengenai usia bayi yang menyusui tersebut sehingga boleh menyebabkan
ibu susuannya haram untuk dinikahi.
Antara dalil yang dikemukakan
olek kelompok ini ialah firman Allah yang bermaksud:
“Dan ibu ibu itu
menyusui anak anaknya selama dua tahun secara sempurna. Hal itu bagi mereka
yang hendak menyempurnakan susuannya.” (Surah a—Baqarah 2: 233)
Selain itu terdapat hadis riwayat
Ibn Abbas yang menyatakan: “Bukan disebut
menyusui, kecuali selama dua tahun.” (Riwayat al-Baihaqi, sanad sahih)
Namun tidak dinafikan ada
pendapat Imam Abu Hanifah yang menyatakan bahawa usia susuan yang menyebabkan
haram untuk dinikahi adalah selama 30 bulan. Selain itu, ada pula pendapat
Zahiriyyah, “Ata’ dan Imam al-Laith yang menyatakan bahawa menyusui ketika
sudah besar ataupun ketika kecil sama sahaja boleh menyebabkan haram untuk
dinikahi.
Daripada ketiga tiga
pendapat ini, penulis lebih cenderung dengan pendapat jumhur ulama yang
menyatakan bahawa yang menjadikan haram untuk dinikahi itu adalah apabila
menyusui anak susuan pada dua tahun pertama sahaja, Ini kerana keterangan serta
hujah yang dibicara seputar hal ini sangat jelas dan sahih.
Majalah Siasah Isu48
07 – 20 Jun Mei 2013
m/s 71-72