Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

27 July 2011

Amalan Rejab, Syaaban: Hadi palsu

UMUM
Oleh
Nazirul Hisham
 
Amalan Rejab dan Syaaban
Tertipu dengan kepalsuan!
 
 
Perkara ini bukan baru untuk dibincangkan.  Tetapi masih ramai yang masih tidak endah.  Apatah lagi kalau di dalam majlis majlis ilmu, masih perkara yang sama disogokkan tentang kelebihan Rejab dan Syaaban.  Dan banyak hadis hadis yang diuar uarkan termasuklah hadis yang bermaksud, “ Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”
 
Bahkan sebagai gambaran untuk menguatkan betapa mulianya dua bulan terakhir sebelum Ramadhan tiba, maka hadis ini pula dibawakan, “Tidak ada seorangpun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat di antara waktu Maghrib dan Antamah )waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak  dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan surah al-Ikhlas sebanyak  dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat atas ku sebanyak 70 kali. Dan demi diriku yang ditangan-NYA, tidak melainkan akan Allah mengampunkan akan sekalian dosanya.”
 

Sedar atau tidak kedua dua hadis tersebut ternyata palsu! Tapi yang pasti, ramai yang mengambil kesempatan di atas hadis hadis tersebut untuk melipat gandakan amalan amalan ibadah di bulan bulan terbabit.  Malah ada pula yang mengamalkan berpuasa penuh di bulan tersebut dan menyambungnya kebulan Ramadhan.  Kata mereka “Inilah sunah Rasulullah!”
 
 Tidak termasuk pula amalan menyambut kedatangan Nisfu Syaaban tatkala buku amal diangkat ke langit untuk digantikan dengan buku yang baru.  Maka berlumba lumbalah masyarakat untuk ‘menutup’ dan ‘membuka’ lembaran buku dengan amal amal yang baik termasuklah membaca Yaasin sebanyak tiga kali.
 
Kenapa tiga kali?  Sebab ada tiga doa yang hendak dipohon.  Antaranya memohon keselamatan dunia dan akhirat.  Kedua, memohon keberkatan umur panjang dan ketiga memohon rezeki yang halal.
 
Apa rasionalnya tiga kali bacaan Yaasin dan kenapa hendak dihimpunkan ‘permintaan permintaan’ itu dalam satu doa dan dalam bacaan Yaasin?  Ternyata sukar untuk dijawab kerana ia memang tidak ada dalam mana mana nas. Cuma apa yang berlaku hanya ikutan atau taklid.
 
Pendakwah bebas, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam artikelnya yang dipetik dari blog ‘Minda Tajdid’, menjelaskan, hadis berkenaan Nisfu Syaaban yang boleh dipegang ialah hadis yang bermaksud,
 
“Allah melihat kepada hamba hamba-NYA pada malam Nisfu Saaban,
maka DIA ampuni semua hamba hamba-NYA kecuali musyrik (orang orang syirik)
dan yang bermusuh (orang yang benci membenci.” Riwayat Ibnu Hibban, alBazzar
dan lain lain)
 
Pun begitu, hadis tersebut tidak langsung mengaitkannya dengan amalan amalan ibadat tertentu pada malam tersebut. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika menjawab soalan berkaitan amalan malam berkenaan menjelaskan, “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada  sebahagian negeri orang Islam.”
 
Justeru tegas Dr. Asri, masyarakat harus kembali kepada rujukan al-Quran dan sunah yang dipastikan sabitannya mengikut yang diputuskan oleh pada ulama hadis. “Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu …” ujar Dr. Asri.
 
Lambakan Hadis Palsu
 
http://www.tryimg.com/uploads/afcb8cd82a.jpg
Fadhlan Othman
pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah,
Fakulti Pengajian Islam. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
 
Sementara itu, Fadlan Othman, pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam. Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), turut mengakui, lambakan hadis palsu dalam masyarakat khususnya berkaitan ganjaran ganjaran tertentu, mengakibatkan masyarakat menjadi keliru dalam menilai sesuatu amal ibadat.
 
Katanya ketika ditemui, secara umumnya terdpat dua kategori hadis yang dibahaskan. Satu yang diterima iaitu maqbul yang meliputi hadis sahih dan sebenar benarnya yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w s endiri.  Manakala,  satu lagi adalah mamdhud, iaitu hadis yang tertolak yakni maudhu’ dan juga hadis daif. Dan hadis hadis inilah yang sering di uar uarkan dalam masyarakat mungkin  dengan harapan, untuk menggalakkan masyarakat melebihkan amalan untuk beribadat.
 
“Bukan saya kata tidak boleh buat, tetapi kenalah betul dengan caranya seperti yang di ajar oleh Rasulullah s.a.w. Bukan kerana kelebihan atau fadhilatnya yang kelihatan ‘tinggi menggunung’ namun tiada nilai isinya disisi Allah s.w.t
 
“Harus diingat, bahawa amalan yang dilakukan oleh masyarakat seharian terbahagi pada dua bahagian iaitu ketaatan dan maksiat.  Jadi, jika kita hendak mendapatkan ketaatan tersebut, dalil dalil tersebut perlulah diteliti sebaik mungkin yang mana satu  boleh digunakan  dan tidak boleh digunakan,” jelasnya.
 
Namun menurut Fadhlan, sekalipun wujud limpahan hadis palsu dan daif dalam menceritakan kelebihan Rejab dan Syaaban dengan amalan amalan serta ganjaran tertentu, tidak dinafikan kehadiran rejab dan Syaaban ada dinyatakan dalam nas al-Quran.
 
Salah satunya Allah menyebut Rajab sebagai bulan haram sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah at-Taubah ayat 36 yang bermaksud,
 
“ Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan,
dan ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi,
di antaranya empat bulan haram …”
Ujar Fadhlan, diantara bulan bulan tersebut adalah Zulkaedah, Zulhijah, Muharram dan Rejab. Istimewanya bulan bulan ini kerana Allah s.w.t telah mengangkatnya sebagai bulan yang suci dan sebarang pertempuran dan peperangan yang adanya pertumpahan darah, oleh sebab sebab tertentu.
 
 
Imam Ibnu Katsir, menyebut, empat bulan yang diharamkan ialah Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram yang disebut secara berturutan manakala satu lagi bulan ialah Rejab, yang tidak berturutan.  Ketiga tiga bulan berturutan tersebut,  ada kaitannya dengan haji dan umrah.  Zulkaedah, diharamkan kerana masyarakat Arab menahan diri mereka dari berperang sebelum berangkat menuju rumah Allah pada bulan ZUlhijjah.  Manakala Muharram dilihat sebagai awal tahun bulan Islam.  Sebaliknya Rejab, sebagai bulan pertengahan umat Islam dan pada bulan tersebut umat Islam bersiap sedia untuk amalan amalan seterusnya iaitu Syaaban dan Ramadhan.
 
Beramallah Dengan Istiqamah
 
Sementara itu, menyentuh bulan Syaaban, Fadhlan menjelaskan, kelebihan terletak pada ibadah sunat seperti puasa dan solat yang dilakukan Nabi s.a.w  berpuasa pada satu bulan melebihi bulan Syaaban.  Baginda berpuasa bulan Syaaban kesemuanya.  Baginda sering berkata, “Ambil amalan yang kamu mampu lakukan kerana Allah tidak akan bosan kecuali  jika kamu bosan.  Sebaik baik solat kepada Nabi s.a.w ialah apa yang diteruskan walaupun sedikit.  Jika Baginda melakukan satu solat, Baginda akan meneruskannya.” Malah kelebihan Syaaban juga dikaitkan dengan hadis  yang telah dinyatakan diatas.
 
“Sungguh cantik percaturan Allah s.w.t dalam menyusun bulan bulan tersebut.  Jika diperhatikan, susunan itu memberikan peluang kepada kita untuk melakukan  persediaan dalam melakukan ibadah.  Tidak dinafikan, kadang kala iman seseorang manusia ini bertambah dan berkurang mengikut musim musim yang tertentu.  Dan Allah Taala telah memberikan isyarat kepada kita untuk menambahkan ibadah semaksimum mungkin dan secara beristiqamah dengan menyusun bulan bulan tertentu, bukan hanya menunggu kemunculan fadilat itu sahaja dan melakukannya bulat bulat tanpa mengambil hadis yang sah, ujarnya.
 
Fadhlan berpesan agar, masyarakat merujuk terlebih dahulu kepada alim ulama sebelum melakukan sesuatu kerana ia akan ditanya oleh Allah kelak.  Firman Allah yang bermaksud,
 
“Pada hari itu, manusia akan keluar berselerak
(dari kubur masing masing) untuk diperlihatkan kepada
mereka (balasan) amal amal mereka. Maka sesiapa berbuat
kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya
(dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat
kejahatan seberat zarah, nescaya akan
dilihatnya (dalam surat amalnya).”
Surah AL-Zalzalah ayat 6-8.
 
AL ISLAM Julai 2011
 
Pautan Tambahan
Hadis Palsu Rejab, Syaaban -  Minda Tajdid
Berdosa ikut hadis palsu bulan Rejab
Malam Nisfu Syaaban ( contoh: Blog penyebar hadis palsu)

 
<<<<<<<<<<<<  ®  v  ®  >>>>>>>>>>>>
 
** catatan  w@gim@n**
Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana  artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.
 
2011  ® ©HAK CIPTA  SELEBET  INTERNATIONAL  ™
* Jadilah seorang bloger yg sentiasa menghargai
 hasil kerja  blogers @ penulis @ penerbit lain dengan tanpa segan silu
  memberi  kredit line  kepada mereka . Paparkan kreativiti
 mereka  dengan  menampilkan dari mana asal usul
bahan  asal yg anda salin dan tempek itu.