Hutang Puasa:Waris hanya perlu bayar fidyah?OlehAhmad Nasaruddin Abdul Rahman
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sesiapa mati dan tertanggung atas dirinya qada puasa bulan Ramadhan, maka hendaklah di berimakan bagi pihaknya seorang miskin bagi setiap hari (yang ditinggalkannya)” – Riwayat Imam Tirmidzi dari Ibnu Umar r.a Profesor Madya Dr. Anisah Abdul Ghani,Pensyarah Fiqh dan Usul, Jabatan Syariah,Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM)
Menurut Profesor Madya Dr. Anisah Abdul Ghani, Pensyarah Fiqh dan Usul, Jabatan Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), memberi makan (fidyah) merupaka satu cara menggantikan puasa Ramadhan yang tertinggal disebabkan keuzuran yang diterima oleh syarak atau tidak. Sekiranya seseorang itu mati sebelum sempat menggantikan puasanya, hukumnya tertakluk pada perincian di bawah: 1. Jika sebelum kematiannya ia tidak berkesempatan langsung atau tidak berkemampuan sepanjang hayatnya menggantikan puasa yang tertinggal, kerana ditimpa sakit yang berterusan atau keuzuran lain, maka tidak berdosa dan gugurlah tuntutan ganti itu daripadanya kerana kegagalan mengganti itu bukanlah dari kelalaiannya. 2. Jika sebelum kematian, seseorang mempunyai cukup masa dan kemampuan untuk mengganti puasa yang tertinggal, tetapi tidak menggantikannya kerana lalai atau menaggguhkannya, dalam hal ini disunatkan ahli keluarganya berpuasa bagi pihaknya. Ini bersandarkan hadis Rasulullah yang dirawayatkan oleh Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Aisyah r.a yang bermaksud, “Sesiapa mati dan tertanggung ke atas dirinya qada puasa, maka walinya (ahli keluarganya) hendaklah berpuasa untuknya.” Mengenai cara pembayaran hutang puasa yang ditinggalkan si mati oleh waris, Dr. Anisah menjelaskan, mengikut pendapat mazhab Shafie (pendapat baru-qauli jaded), waris tidak boleh menggantikan puasa fardu yang ditinggalkan oleh si mati dengan berpuasa. Sebaliknya menggantikannya dengan membayar fidyah iaitu sehari dengan satu cupak makanan asasi. Ini disebabkan puasa merupakan ibadat badaniyyah yang tidak boleh digantikan oleh orang lain melainkan orang yang meninggalkan ibadat itu sendiri. Bagi pendapat mazhab Shafie (pendapat lama – qauli qadim) pula dibolehkan jika waris ingin menggantikan puasa yang ditinggalkan si mati dengan berpuasa atau membayar fidyah. Manakala pendapat mazhab Hanafi menggatakan, ia bergantung pada wasiat simati. Sekiranya si mati meninggalkan wasiat menggantikan puasa kepada waris, maka waris wajib membayar fidyah. Siapa Tanggung Dosa? Bagaimana pula hukum puasa yang ditinggalkan oleh si mati? Adakah dosa tertanggung kepada waris sekiranya tidak dilangsaikan hutang puasa tersebut? Dr. Anisah berkata, “Jika waris tidak menggantikan puasa yang ditinggalkan oleh simati, maka hukum berdosa tertanggung kepada si mati dan tidak jatuh berdosa kepada waris. Melainkan sekiranya si mati ada meninggalkan wasiat kepada waris untuk menggantikan puasa yang ditinggalkannya semasa hidup, maka waris wajib bertanggungjawab. Sekiranya tidak dilaksanakan maka hukum berdosa tertanggung kepada orang yang diwasiatkan”. Mengenai pengagihannya pula, adakah sama bilangan jumlah hari antara anak lelaki dan perempuan atau pun dilebihkan bilangannya kepada anak lelaki berbanding perempuan dalam urusan menggantikan puasa? “Pengagihan menggantikan puasa, berbeza dengan pengagihan harta pusaka. Agihan puasa sama sahaja bilangannya kepada anak lelaki dan perempuan. Namun sekiranya salah seorang anak sanggup mengambil tanggungjawab menggantikan puasa si mati, maka terlepas tanggungan kepada anak yang lain. “Ia bergantung pada kesepakatan anak anak atau waris si mati. Sekiranya tidak ada yang sanggup, maka bilangan puasa yang di tinggalkan, hendaklah di agih agihkan sama rata kepada semua anak lelaki dan perempuan,” ujarnya. Bagaimana Kalau Orang Luar Mahu Menggantikannya? Dalam hal ini jelas Dr. Anisah, orang yang tiada kaitan pertalian darah seperti rakan atau kenalan si mati juga boleh menolong menggantikan puasa si mati. Tetapi dengan syarat mendapat keizinan terlebih dahulu mewasiatkan kepada rakannya untuk menggantikan puasa yang ditinggalkannya. Jika rakan atau kenalannya itu berpuasa bagi pihaknya tanpa izin adalalah daripada ahli keluarga si mati atau tanpa waist daripadanya, maka ganti puasa itu tidak diterima oleh syarak. Menurut Dr. Anisah, dalam konteks masyarakat Islam di Negara kita yang berpegang kepada mazhab Shafie, cara menggantikan puasa si mati adalah dengan membayar fidyah. Kadar fidyah ialah secupak beras kepada fakir miskin bagi satiap hari puasa yang ditinggalkan. “Kadar fidyah akan bertambah sejajar dengan pertambahan tahun yang diabaikan qada puasa. Sebagai contoh, andainya seseorang meninggalkan puasa selama satu hari pada tahun pertama dan tidak menqada puasanya hingga masuk bulan Ramadhan tahun yang ketiga, maka diwajibkan qada puasa selama satu hari hari dan membayar fidyah sebanyak 3 cupak beras. Puasa tidak berganda, tetapi fidyah digandakan tahun yang ditinggalkan sebagai denda kerana meninggalkan puasa. “Berbalik pada persoalan fidyah, pada hari ini secupak beras itu lebih sesuai dinilai dari segi wang ringgit berdasarkan nilai uruf, iaitu nilaian semasa ditentukan oleh baitulmal dan boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang secara zahirnya fakir atau miskin, termasuklah kepada saudara mara sendiri yang berada dalam kategori tersebut. Nasihat Dr. Anisah, sekiranya seseorang itu jatuh sakit, maka hendaklah mewasiatkan kepada anak anak, hutang yang ditinggalkan supaya waris dapat membantu melangsaikan hutang sekiranya mati. Ia bagi mengelakkan tertanggung di akhirat kelak. Kepada waris si mati pula, sebelum diagihkan harta pusaka, waris perlu membayar fidyah terlebih dahulu, dengan mengambil dari harta peninggalan si mati untukmenjelaskan hutang hutang yang ditinggalkan si mati seperti hutang puasa, hutang haji dan sebagainya. AL ISLAM Julai 2011 <<<<<<<<<<<< ® v ® >>>>>>>>>>>> ** catatan w@gim@n** Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.2011 ® ©HAK CIPTA SELEBET INTERNATIONAL ™* Jadilah seorang bloger yg sentiasa menghargai hasil kerja blogers @ penulis @ penerbit lain dengan tanpa segan silu memberi kredit line kepada mereka . Paparkan kreativiti mereka dengan menampilkan dari mana asal usul bahan asal yg anda salin dan tempek itu.