Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

30 November 2020

X-Files Mastika: Zahar Tempah Nisan Siapa?

 

Zahar Tempah Nisan Siapa?

X –FILES : SIRI KISAH MISTERI UTUSAN

Sambil menyedut angin malam yang dingin, Zahar Ahmad membawa isterinya Alimah Muhammad menaiki motosikal menyelusuri dari blok ke satu blok kawasan Felda Chini, Pekan, Pahang.

Begitulah perangai Zahar, 47 sejak beberapa minggu lalu. Saban malam dia asyik mengajak Alimah, 47, bersiar siar. Sekali sekala Alimah terasa hairan dengan perangai suaminya kerana sebelum itu dia tidak pernah berbuat demikian. Malahan Zahar hanya keluar malam jika pasukan RELA yang dianggotainya mengadakan operasi.

Malam itu, 6 Jun 1999, Alimah terasa Zahar lebih mesra dengannya. Hampir setiap ceruk kawasan perumahan peneroka di Felda Chini mereka lalui. Kemudian Zahar mengajak isterinya singgah di rumah Abu Seman Yaakub, pembuat batu nisan di Chini 5. Dari Chini 2, Zahar membelok ke jalan besar yang melintasi kawasan perkuburan menuju ke simpang menghala ke Chini 5.

“Abang, ni kan jalan kubur? Tanya Alimah.

Dia hairan mengapa suaminya menggunakan jalan itu sedangkan terdapat jalan lebih dekat. Tetapi suaminya tidak bercakap sepatah pun. Dia terus meredah kegelapan malam menuju ke rumah Abu Seman.

“Seman! Seman!” laung Zahar memangil rakannya itu.

Abu Seman menjengah di pintu. “Oh … Zahar, masuklah,” pelawanya.

Aku datang saja nak tanya. Batu nisan yang aku tempeh dah siap ke belum? Siapkan cepat aku nak pakai esok,” kata Zahar.

“Dah siap separuh,” jelas Abu Seman.

Abu Seman menerangkan kepada Zahar reka bentuk batu nisan tersebut dan memberitahu cuma pelekat nama yang belum ditampal. Alimah terkejut apabila mendengar perbualan antara suaminya dan Abu Seman. Kenapa Zahar tidak memberitahunya dia menempah batu nisan dan untuk siapa? Setahunya tiada keluarganya yang baru meninggal.

Walaupun persoalan itu menerjah nerjah benaknya, dia langsung tidak terfikir untuk bertanya. Mulutnya tidak tergerak untuk bersuara.

Sedang Zahar dan Abu Seman rancak berborak, Alimah masih memikirka persoalan tentang batu nisan itu. Setelah dua jam berbual bual, Zahar mengajak Alimah pulang.  Tetapi sebelum beredar Zahar sekali lagi berpesan supaya Abu Seman menyudahkan tempahannya.

Sejak menerima tempahan daripada Zahar, tidak terlintas di hati Abu Seman bertanya nama siapa yang perlu ditulisnya pada batu nisan itu. Sejurus Zahar pulang baraulah Abu Seman tersedar.

Jika benar Zahar hendak gunakan batu nisan itu esok, kenapa dia tidak beritahu nama dan tarikh lengkap si mati? Fikir Abu Seman. Tak apalah .. aku tanya esok, bisik Abu Seman dalam hati.

Di rumah, Zahar berbaring di dalam bilik sambal menggosok kakinya yang terasa sakit. Sementara anak anaknya Norliza, 23, Norlizam, 22, Norazmi, 14, Norfida, 11, Mohd. Nor Farhan, 7 dan Noralfaizahyu, 4, masih asyik menonton televisyen.

“Limah, tolong urutkan kaki abang ni, lenguh sangat,” pinta Zahar sambal mengeluh.

Lantas Alimah duduk bersimpuh dan mengurut perlahan lahan kaki suaminya. Sedang asyik memicit micit, Alimah dilanda seribu pertanyaan. Bagaimanapun dia tidak sampai hati bertanya, takut kalau kalau menyinggung perasaan suaminya.

Alimah terasa kaki suami nya terlalu sejuk. Malah apabila Zahar berlunjur pelipatnya rapat ke lantai. Alimah teringat kata orang tua tua yang pernah di dengarnya. “Kalau pelipat kaki rapat ke lantai, tandanya orang itu nak mati.” Meremang bulu romanya tiba tiba. Dia terus mengurut sehinggalah Zahar memintanya berhenti.

Seawal jam 6.00 pagi esoknya, Zahar bersiap siap hendak ke hutan memburu ayam. Sambil menggalas selaras senapang patah, Zahar bersiul siul. Dia menyanyi perlahan lahan lagu kegemarannya sambal mengikat tali butnya.

Semalam dia berjanji hendak memburu bersama jirannya Khosin Saad, namun begitu pagi itu dia tidak singgah di rumah Khosin sebaliknya terus keluar bersama rakan lain, Hatta Zainal Abidin.

Kira kira jam 9.00 pagi Zahar dan Hatta pulang membawa beberapa ekor hasil buruan. Zahar bersandar di dapur rumahnya sambal memerhatikan isterinya menyiang ayam tersebut. Tiba tiba terdengar Zahar mengaduh panjang sambal mengurut urut dadanya berulang kali..

“Di hutan tadi dua kali abang sesak nafas … rasa nak pengsang,katanya.

Tanpa berkata walau sepatahpun, Alimah mengambil minyak angina lalu mengurut dada suaminya. Dia semakin hairan apabila terasa badan Zahar terlalu sejuk seperti berendam air batu.

“Limah seoranglah ke ladang hari ini … abang nak ke hospital,” katanya apabila melihat Alimah bersiap siap ke ladang.

“Balik nanti, tolong ambil abang di hospital,” pesan Zahar lagi.

DI ladang Alimah asyik memikirkan tingkah laku suaminya. Terlalu berlainan gurauan dan kata katanya. Teringatkan badannya yang terlalu sejuk menimbulkan perlagai persoalan. Alimah tiba tiba sayu. Perasaanya cukup hiba dan tanpa sedar air matanya bergenang. Dia terbayang sesuatu … ah! Semuga dijauhkan Allah, bisik hatinya.

Menjelang tengahari, Alimah pulang. Sambil mengesat peluh, dia teringat pesan suaminya. Lantas dia meminta Norliza agar mengambil Zahar. Belum sempat Norliza menghidupkan enjin motosikal, tiba tiba seorang jirannya datang tergesa gesa.

“Mak cik! Pak Cik Zahar tenat … siapkan baju bajunya,” kata jiran itu termengah mengah.

Seperti halilintar khabar itu pada Alimah. Fikirannya berkecamuk. Dia tidak tahu apa harus dinyatakan. Dia kaku disitu.

Sedang dia bersama Norliza mengemaskan pakaian Zahar, terdengar enjin motosikal masuk ke halaman rumah. Diamati dan kemudian enjin itu dimatikan.

“Kak Limah, ada kain batik lepas,” tanya Hatta sebaik dia muncul di pintu.

Mendangar perkataan ‘kain batik lepas’ Alimah bertambah sebak. “Ya Allah … Abang Zahar,” terkeluar kata kata itu dari mulut Alimah. Dia dapat menangkap maksud Hatta itu.

“Sabar … sabar, dah janji dia,” kata Hatta apabila melihat air mata Alimah mengalir.

Anak anaknya menggerumuni ibu mereka. Ada yang mula menangis. Dalam sekelip mata terdengarlah suara tangisan anak anak Zahar.

Alimah dan anak anaknya dibawa Hatta ke Hospital Chini. Diselimut jenazah Zahar dengan kain batik yang dibawanya. Ketika itu barulah Alimah faham dengan pesan allahyarham supaya ‘mengambilnya’ di hospital. Setelah membawa jenazah suaminya pulang, Alimah menghubungi Abu Seman.

“Apa kata kau Limah? Jangan bergurau! Kan semalam kamu berdua datang ke rumah aku,” kata Abu Seman.

Ini bukan main main Man,” balas Alimah sebak.

Abu Seman bergegas kerumah Zahar yang tidak berapa jauh dari rumahnya. Orang ramai mula berdedai dedai ke rumah Zahar. Abu Seman membuka penutup muka jenazah. Sambil  bersedekah al-Fatihah, tanpa disedari, air matanya menitis.

Kata kata terakhir Zahar tergiang giang di telinga. “Siapkan cepat batu nisan itu … aku nak pakai esok.”

Abu Seman sedih mengapa semasa Zahar menempah nisan langsung dia tidak bertanya untuk siapa? Mengapa dia hanya menerima sahaja tanpa menanyakan nama si mati dan tarikh kematian pelanggan yang memesan seperti yang selalu dilakukannya.

Pukul 1.00 tengah hari, Abu Seman  membawa nisan itu ke rumah Zahar selepas menulis nama dan tarikhnya 7 Jun 1999.

Kisah Zahar menempah nisan sebelum meninggal dunia menimbulkan tanda tanya kepada penduduk Felda Chini. Mereka sering bertanya, benarkah Allahyarham mengetahui tarikh ajalnya? Apakah Zahar mempunyai kelebihan tersendiri sehingga dapat mengetahui hari kematiannya?

Koleksi Mastika (2000)

X –FILES : SIRI KISAH MISTERI UTUSAN