Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

16 May 2012

Umum: Makan ubat sebelum atau selepas makan??


Pengambilan Ubat-ubatan
Mengapa Sebelum atau Selepas Makan?
Oleh
Noordin Othman,
Pensyarah di Kulliyah Farmasi,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
 
 
KEFAHAMAN tentang penggunaan ubat-ubatan amat penting dalam membantu pesakit merawat masalah kesihatan mereka. Dengan memahami terapi ubat-ubatan dengan sempurna, pesakit dapat memaksimumkan faedah yang akan diperoleh dan mengurangkan risiko daripada penggunaan ubat-ubatan. Kefahaman terhadap rawatan yang rendah bukan sahaja boleh menyebabkan penurunan kualiti penjagaan kesihatan malah boleh meningkatkan perbelanjaan dalam bidang kesihatan.
 
Di Amerika Syarikatdilaporkan kefahaman yang rendah tentang penyakit dan rawatan telah menyebabkan pertambahan sehingga AS$236 bilion dalam perbelanjaan kesihatan pada tahun 2007.
 
 
Pelbagai maklumat dalam penggunaan ubat-ubatan sering dipandang mudah oleh pengguna. Apabila kefahaman tentang ubat-ubatan yang dimakan rendah, ia boleh menyebabkan pesakit tidak memakan ubat-ubatan seperti yang diarahkan. Penggunaan ubat-ubatan secara berkualiti yang sering digalakkan oleh pihak kerajaan tidak mungkin tercapai jika pengguna masih meneruskan
 
sikap sambil lewa dalam merawat masalah kesihatan mereka. Antara isu penggunaan ubat-ubatan yang perlu difahami oleh pengguna termasuklah masa terbaik untuk mengambil ubat-ubatan, sama ada diambil sebelum atau selepas makan?
 
Ramai pengguna sering dinasihatkan oleh doktor atau ahli farmasi supaya mengambil ubat sebelum atau selepas makan. Namun begitu, masih ada yang kurang jelas mengenai apakah yang dimaksudkan dengan sebelum atau selepas makan.
 
Pengambilan ubat-ubatan sebelum makan bermaksud sesuatu ubat itu diambil semasa perut kosong, iaitu kira-kira 30 minit atau sejam sebelum pengambilan makanan atau dua jam selepas pengambilan makanan.
 
Pengambilan selepas makan pula bermaksud ubat-ubatan diambil semasa terdapat makanan di dalam perut seperti pada tengah atau peringkat akhir proses pengambilan makanan atau sebaik-baik sahaja mengambil makanan.
 
Secara umumnya, terdapat dua faktor utama sesuatu ubat-ubatan perlu diambil sama ada sebelum atau selepas makan:
 
• Pengambilan pada waktu tertentu bagi memaksimumkan kesan terapeutik ubat-ubatan.
Bagi sesetengah ubat-ubatan, kehadiran makanan perlu bagi membantu penyerapan sempurna ubat-ubatan daripada sistem penghadaman ke dalam darah yang seterusnya boleh meningkatkan kesan terapeutik ubat-ubatan. Sebagai contohnya ubat Saquinavir, sejenis antiretroviral yang mempunyai tahap kelarutan air yang lemah. Apabila Saquinavir diambil bersama-sama makanan, enzim daripada hempedu akan meningkatkan proses perungkaian ubat tersebut yang seterusnya meningkatkan penyerapan ke dalam darah.
Pengambilan bersama-sama makanan boleh meningkatkan penyerapan Saquinavir lebih daripada dua kali ganda berbanding dengan pengambilan tanpa makanan. Cuba bayangkan jika pengguna mengambil Saquinavir sebelum makanan, penyerapan ubat ini akan berada pada tahap minimum dan mungkin menyebabkan kegagalan dalam proses rawatan.
 
Manakala Acarbose, sejenis ubat untuk kencing manis perlu diambil bersama-sama makanan bagi memastikan penyerapan karbohidrat ke dalam darah daripada sistem penghadaman dapat dilambatkan. Acarbose bertindak dengan mengawal paras gula dalam darah dengan memperlahankan tindakan beberapa bahan kimia yang menguraikan makanan kepada gula. Pengambilan Acarbose bersama-sama makanan dapat mengelakkan peningkatan paras gula yang berlebihan selepas pengambilan makanan.
 
Ubat-ubatan yang bertindak di kawasan mulut dan kerongkong mestilah digunakan selepas pengambilan makanan. Sediaan seperti Nistatin dan Miconzole yang digunakan bagi mengatasi masalah jangkitan kulat dan ulser di bahagian mulut akan mempunyai kesan tindakan terapeutik yang lama jika diambil selepas makan. Jika diambil sebelum makan, ubat-ubatan ini mungkin akan dibawa bersama dengan makanan ke sistem pencernaan apabila makanan diambil oleh pesakit dan ini akan memendekkan tindakan terapeutik ubat-ubat tersebut.
 
• Pengambilan pada waktu tertentu bagi mengurangkan masalah kesihatan. Penggunaan antasid bagi mengatasi masalah pedih hulu hati (gastroesophageal reflux disease) adalah contoh terapi ubat-ubatan yang tergolong dalam kumpulan ini. Simptom berkait dengan pedih hulu hati biasanya berlaku selepas mengambil makanan. Oleh sebab itu, pengambilan antasid semasa pengambilan makanan akan mampu memberikan kesan mengurangkan masalah pedih hulu hati yang optimum. Antara contoh antasid yang terdapat dalam pasaran Malaysia ialah Maalox, Actal dan Gelusil.
 
Ubat-ubatan untuk rawatan kencing manis daripada kumpulan Sulfonilurea seperti Glipizade, Glicazide dan Glibencamide perlu dimakan sebelum makanan diambil bagi mengelakkan risiko penurunan paras gula dalam darah yang berlebihan (hipoglisemia). Di samping itu, seperti juga ubat-ubatan daripada kumpulan Sulfonilurea, Repaglinide, ubat kencing manis daripada kumpulan Meglitinide perlu juga diambil sebelum makan. Malah pesakit tidak perlu mengambil Repaglinide jika mereka tidak mengambil sebarang makanan
 
Sesetengah ubat-ubatan perlu diambil selepas makan bagi mengurangkan risiko kesan sampingan. Ubat-ubatan seperti Allopurinol (digunakan dalam rawatan gout) dan Bromocriptine (digunakan dalam rawatan penyakit Parkinson) boleh menyebabkan mual dan muntah. Oleh sebab itu, ubat-ubat tersebut perlu diambil selepas makan bagi mengurangkan risiko mual dan muntah.
 
Ubat-ubatan daripada kelas Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs (NSAIDS) seperti Naproxen, Mefenamic dan Diclofenac (sering digunakan bagi merawat inflamasi dan menahan kesakitan terutamanya pada bahagian sendi) dan juga ubat-ubatan daripada kumpulan steroid seperti prednisolone dan dexamethasone (sering digunakan dalam rawatan asma dan artritis) mungkin boleh menyebabkan ulser pada sistem penghadaman. Pengambilan ubat-ubatan daripada kumpulan ini bersama-sama makanan boleh mengurangkan risiko kesan sampingan yang mungkin diperoleh daripada penggunaan ubat-ubatan tersebut.
 
Makanan yang diambil oleh pesakit boleh mempengaruhi tindakan ubat-ubatan. Oleh hal yang demikian, kefahaman tentang kepentingan pengambilan ubat-ubatan sebelum atau selepas makan seperti yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi amat penting kerana ia mempunyai implikasi terhadap rawatan yang diterima oleh setiap pesakit. Kesedaran pesakit tentang pengambilan ubat-ubatan secara berkualiti perlu diberi keutamaan bagi rawatan masalah kesihatan mereka.
 
Dewan Kosmik Disember 2010


<<<<<<<<<<<<  ®  v  ®  >>>>>>>>>>>>
 
** catatan  w@gim@n**
Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana  artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.
  
2012  ® ©HAK CIPTA  SELEBET  INTERNATIONAL 
* Jadilah seorang bloger yg sentiasa menghargai
 hasil kerja  blogers @ penulis @ penerbit lain dengan tanpa segan silu
  memberi  kredit line  kepada mereka . Paparkan kreativiti
 mereka  dengan  menampilkan dari mana asal usul
bahan  asal yg anda salin dan tempek itu.