Tentang Wagiman

Assalamualaikum kepada semua pengunjung. Untuk makluman semua, Wagiman bukan seorang ustaz (baru nak start). Wagiman cuma insan biasa, tidak punya apa apa kelebihan dari apa jua sudut . Tiap soalan yang menerjah email atau tagboard akan Wagiman jawab berdasarkan kefahaman Wagiman kepada soalan yang diajukan dengan di iringi sedikit ilmu rawatan. Jika pengunjung melakukan apa yang Wagiman sarankan dan berjaya keluar dari masalah yang dihadapi janganlah diberikan kepujian itu kepada Wagiman kerana kepujian dan sanjungan itu hanya milik ALLAH jua kerana tanpaNYA kita semua tidak akan dapat melakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Insya-Allah, semua email akan Wagiman layan seadanya. Lambat atau cepat bergantung kepada masa yang Wagiman miliki. Segala kemuskilan sila email kepada ........

Tentang blog ini

Blog ini grenbara.blogspot.com adalah sambungan kepada blog utama sy di grenbara.bravejournal.com. Oleh kerana Bravenet.com (pelayan utama bravejournal.com) telah mengenakan terma dan syarat baru kpd semua penguna percuma mereka, maka sy terpaksa mencari pelayan lain bagi meneruskan kesinambungan grenbara di alam siber ini. Sy akan terus mengekalkan grenbara.bravejournal tetapi hanya akan melakukan update seterusnya disini.


Pengikut Setia

Anda Pengunjung ke

12 April 2012

Mencari Rahsia 40: Apabila usia menjengah 40

Mencari Rahsia 40
Apabila usia menjengah  40
 
 USIA menjengah 40 tahun. Rambut yang hitam berkilat mula dihiasi bunga-bunga putih yang cantik. Bunga itu pula diberi nama uban. Itulah bunga kematangan namanya. Tapi kenapa 40 tahun baru  dikatakan matang?
 
Orang Barat kata, Life begins at forty. Orang kita kata tunggu 40 tahun baru hendak taubat. Tapi Nabi Muhammad s.a.w. diangkat menjadi rasul ketika usia 40 tahun. Ketika fizikal dan tenaga sudah sampai kepada tahap maksimum dan semakin menurun. Kena­pa tidak pada usia 25 atau 35 tahun ketika semangat masih membara, jiwa bergelora dan tenaga dicas penuh? Tentu ada rahsianya Allah menetapkan pilihannya begitu?


Usia 40 ini menjadi lebih menarik apabila al-Quran di dalam surah al-Ahqaaf ayat 15 ada menyebut tentang itu. Allah berfirman yang bermaksud,
 
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada Mu)."
 
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Faisal Ahmad Shah, kalimat 40 banyak disebut di dalam al-Quran yang men­jadi simbol pada hukuman, ganjaran kebaikan, tempoh masa dan gambaran pada suatu peristiwa atau keadaan.
 
Namun, ayat yang membincangkan usia 40 tahun selain di dalam surah al-Ahqaaf, ia juga disebut di dalam surah Faatir. Walaupun ayat itu tidak menye­but secara terang tentang usia 40 tetapi kebanyakan ulama mentafsirkan umur yang cukup itu adalah 40 tahun.
 
Surah Faatir ayat 37 bermaksud,
"Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang salih, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan." (Lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat1? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran. Oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan."
 
Ayat di atas mengisahkan bagaimana orang kafir dimasukkan ke dalam neraka. Dan, apabila mereka telah dimasukkan ke dalam neraka maka mereka merayu kepada Allah agar memberi peluang sekali lagi untuk beramal, bertaubat dan beriman. Maka Allah menjawab dengan ayat itu, "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir..."
 
Kemudian para ulama membincangkan tentang umur yang cukup itu. Ada sebahagian ulama yang berpendapat bahawa usia yang cukup itu adalah 60 tahun kerana bersesuaian dengan hadis nabi yang mengatakan bahawa usia umatku adalah antara 60 hingga 70 tahun.
  
 "Ulama yang lain seperti al-Hasan, al-Kalbi dan Masruq yang dikutip daripada Ibnu Abbas mengatakan 'melan­jutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir' di dalam ayat itu adalah ketika berusia 40 tahun. Mereka juga mengatakan bahawa penduduk Madinah jika telah mencapai umur 40 tahun mereka akan menumpukan pada hal ibadat," jelasnya.
 
KENAPA 40 TAHUN?
 
Memang benar Nabi Muhammad s.a.w. diangkat menjadi rasul ketika berusia 40 tahun. Untuk menjelaskan rahsia di sebaliknya, Dr. Faisal berpendapat usia itu adalah lambang kedewasaan atau kematangan dan sudah cukup sempurna untuk memikul tanggungjawab. Pada usia 40 tahun secara logiknya manusia sudah mencapai puncak kehidupan baik dari segi fizikal, intelektual, emosi dan spiritual. Semuanya itu boleh dicapai dengan pengalaman kehidupan yang dilalui oleh manusia. Satu peralihan daripada alam muda remaja menuju kepada alam yang lebih dewasa.
 
Kadang-kadang kita juga tertipu dengan momokan yang mengatakan jika sudah mencecah umur 40 tetapi masih tidak bertaubat maka keadaan hidupnya akan berterusan hingga ke akhir hay at.
 
 Kemudian ada pula yang mendakwa bahawa ada hadis nabi yang me­ngatakan tentang usia 40, antara maksudnya apabila usia sudah mencapai 40 tahun di mana kebaikan tidak dapat mengatasi kejahatan maka tempatnya adalah neraka jahanam.
 
Dr. Faisal menafikan sekeras-keras-nya kenyataan itu. Ia sebenarnya bukan hadis, sebaliknya hanyalah ungkapan orang tua-tua. Pintu taubat sentiasa terbuka selagi matahari belum terbit dari barat, nyawa tidak sampai di halkum dan sebelum hari kiamat. Malah Allah akan gembira selagi kita mahu bertaubat. Dan, kegembiraan Allah itu melebihi kegembiraan orang yang kehilangan binatang tunggangannya di padang pasir. Allah lebih gembira menerima taubat seorang hamba berbanding kegembiraan lelaki tadi yang menjumpai kembali binatang tung­gangannya .
 
"Jika dikaji dari sudut falsafahnya boleh diterima akal, jika sudah ber­usia 40 tahun tidak taubat lagi maka hidupnya akan berterusan begitu.  Namun itu jangan dijadikan pegangan kerana qadak dan qadar Allah, tidak ada siapa yang tahu. Ada juga orang yang baik dan beramal soleh sepanjang hidupnya tetapi pada saat kematiannya ia sesat maka tempatnya di dalam nera­ka. Berbeza dengan orang yang jahat semasa muda tetapi ketika hendak mati ia insaf dan bertaubat maka tempatnya di syurga. Qadak dan qadar Allah yang ditentukan, kita hanya mampu beramal dan berdoa kerana nasib kita tidak ada siapa yang tahu kecuali Allah.
 
"Usia kita siapa yang tahu? Mungkin kita akan dijemput Allah ketika usia 25 tahun. Mati datang di dalam banyak keadaan, ada ketikanya ia da­tang mengejut. Sebab itulah kita sen­tiasa bersedia menggunakan umur sebagaimana yang nabi selalu ingatkan, "dua nikmat yang kita selalu abaikan, kita tertipu dengan nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan masa." Adakah ketika umur 40 tahun kita masih lagi sihat dan mempunyai masa lapang?
 
"Umur 40 tahun itu bukanlah satu had masa untuk kita bertaubat atau had masa tunggu umur 40 tahun, baru hendak mula melakukan ibadat atau kebaikan. Tidak ada istimewanya dengan usia 40 itu, cuma al-Quran hendak bercerita tentang umur kema­tangan dan kelebihan bagi yang mensyukuri nikmat kerana diberikan ke-sempatan mencapai umur 40. Tidak ada keistimewaan tentang nombor-nombor itu," tegasnya.
 
Kemudian timbul pula persoalan, ada yang menganggap usia 40 tahun adalah umur akil baligh kali kedua.
 
Sebelum hendak menjawab soalan itu Dr. Faisal menerangkan dahulu tentang usia akil baligh. Katanya, yang dikatakan akil baligh adalah apabi­la muncul tanda-tandanya. Rasanya semua orang tahu apa tanda-tanda itu. Pun begitu, semasa zaman Rasulullah s.a.w. usia 15 tahun dikatakan sudah akil baligh walaupun belum keluar tanda-tandanya. Kenyataan itu adalah berdasarkan pemilihan pemuda yang akan dipilih Nabi untuk menyertai tentera Islam bersamanya.
 
"Bukannya tunggu 40 tahun barulah dikatakan akil baligh. Namun demikian ada juga positifnya jika orang menyedari usia 40 tahun dan memikirkan untuk berubah serta menilai semula amalan yang pernah dilakukan.
 
Terkujur jasad seorang hamba
mengharap secebis rahmat dari PENCIPTANYA
 
"Itu satu perkembangan yang baik, sedar bahawa usia sudah 40, ilmu di dada belum penuh, amalan sedikit dan berniat untuk berubah. Islam tidak meletak had umur untuk bertaubat dan melakukan ibadat. Jika yang sedar umur sudah 40 tahun dan mula beralih arah kepada kebaikan maka itu juga satu perkara yang baik daripada tidak terfikir langsung untuk berubah.
 
"Cuma masalahnya, ramai di antara kita yang telah bertaubat ketika usia 40-an suka bercerita apa yang per­nah dilalukan semasa muda. Misalnya bercerita bahawa kita pernah minum arak, tidak pernah solat, jarang puasa dan pernah buat perkara tidak elok. Semua rahsia itu tidak boleh dicerita-kan kepada orang lain, itu adalah aib kita. Hanya kita dengan Allah saja yang boleh mengetahuinya. Sekalipun kita pernah melakukan zina, ia juga tidak boleh diberitahu kepada orang lain selagi belum disebut di mahkamah.
 
"Apa saja dosa yang kita buat tidak boleh diceritakan kepada orang lain. Walaupun tujuan menceritakannya untuk pengajaran, pun tidak boleh. Jika hendak bercerita juga jangan gunakan nama kita tetapi gunakan sipolan bin si polan.
 
"Contohnya, cerita tentang seorang selebriti yang kembali ke jalan Allah ketika umur 46 tahun mengaku tidak pernah solat, berpuasa dan beribadat sepanjang tempoh itu. Orang akan pandang serong pada pengakuan itu dan akan mendatangkan aib pula pada empunya diri. Yang menjadi kesan negatifnya pula adalah pada orang muda yang menjadi peminat selebriti itu lalu menjadikannya contoh. Mereka akan mengambil sikap bahawa sebelum umur 40 boleh buat segala kejahatan dan tunggu lepas usia 40 barulah ber­taubat.
 
"Memanglah ada yang menganggap itu mengaku kesilapan sendiri. Namun sebenarnya mengaku kesilapan hanya pada Allah dengan bertaubat dan insaf. Jika melakukan kesilapan dengan orang lain kita kena minta maaf asalkan kita tidak bercerita atau isytihar.
 
"Ulama ada membincangkan ten­tang hal mengumpat orang lain di dalam majlis yang besar, mencaci dan hentam. Sesetengah ulama berpendapat kita kena minta maaf dengan orang yang kita umpat dan terang-kan apa yang kita umpat. Manakala ada ulama lain yang mengatakan tidak perlu minta maaf dengan orang yang diumpat sekiranya orang itu tidak tahu bahawa kita mengumpatnya, cukuplah sekadar kita mendoakan kebaikannya sebagai ganti apa yang telah kita umpat," ulas Dr. Faisal.
 
AL Islam Julai 2011
 
4.Empat puluh yang indah
3. 40 yang Maksimum
2. Apabila usia menjengah 40...
1. Kisah Helang




<<<<<<<<<<<<  ®  v  ®  >>>>>>>>>>>>
 
** catatan  w@gim@n**
Jika anda bercadang untuk menyebar atau menyalin atau menempek artikel ini dimana mana blog atau media cetak pastikan anda meletakkan nama asal penulis dan penerbit artikel dan jangan lupa url (http://) dimana  artikel ini di salin. Sebarang penerbitan semula bagi tujuan komersil hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada penulis atau media/syarikat dimana artikel ini diterbitkan. Sebarang tindakan mahkamah daripada pihak berkenaan adalah diluar tanggungjawab pemilik blog ini.
  
2012  ® ©HAK CIPTA  SELEBET  INTERNATIONAL  ™
* Jadilah seorang bloger yg sentiasa menghargai
 hasil kerja  blogers @ penulis @ penerbit lain dengan tanpa segan silu
  memberi  kredit line  kepada mereka . Paparkan kreativiti
 mereka  dengan  menampilkan dari mana asal usul
bahan  asal yg anda salin dan tempek itu.